8 Syawal 1432
6 September 2011
Kepada;
YB Saudara Khairy Jamaluddin bin Abu Bakar
Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Pejabat Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia
Tingkat 28, Menara Dato’ Onn
Jalan Tun Ismail
50480 Kuala Lumpur
Yang Berhormat Saudara;
JEMPUTAN RASMI BERDEBAT ISU ‘MENCARI KEBENARAN FAKTA SEJARAH KEMERDEKAAN NEGARA’
Perkara di atas adalah dirujuk.
Dewan Pemuda PAS Malaysia menjemput saudara dan Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia untuk berdebat di atas tajuk ‘Mencari Kebenaran Fakta Sejarah Kemerdekaan Negara’. Jemputan ini adalah ekoran timbulnya kontroversi kenyataan Timbalan Presiden PAS, Tuan Haji Mohamad Sabu, yang menyentuh tragedi Bukit Kepong serta sejarah kemerdekaan negara.
Atas penolakan Haji Mohamad Sabu terhadap cabaran debat dengan saudara baru-baru ini, kami dengan ini mempelawa saudara untuk mengadakan debat mengenai isu ini bersama Dewan Pemuda PAS Malaysia. Kami merasakan platform yang paling layak untuk saudara adalah di atas pentas Pemuda UMNO bersama Pemuda PAS.
Kami berpendapat, isu ini perlu diperjelaskan secara ilmiah dan akademik untuk pengetahuan rakyat. Selama ini rakyat dipesongkan terhadap sejarah perjuangan kemerdekaan negara yang ditulis dengan versi penjajah.
Justeru atas platform perdebatan, wajar diadakan majlis ini bagi menghuraikan segala kekusutan yang timbul. Kami juga tidak berniat mahu mencetus persengketaan antara Pemuda PAS dan Pemuda UMNO, tetapi bermaksud membedah sejarah, mencari ketulenan peristiwa yang pernah berlaku dalam sejarah kemerdekaan negara tercinta.
Kami menyerahkan kepada saudara untuk meletakkan syarat, tarikh, lokasi dan masa yang bersesuaian dengan saudara untuk diadakan majlis perdebatan ini. Sebaiknya biarlah ia diadakan secara terbuka untuk ditonton agar dapat dinilai secara hikmah oleh rakyat.
Kami mengharapkan agar saudara sedia menerima pelawaan ini bagi membuktikan keikhlasan saudara untuk mencari kebenaran. Untuk sebarang makluman, saudara boleh menghubungi saya selaku Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia ditalian 019 7701830. Kami menanti sebarang respons saudara berhubung jemputan rasmi kami ini.
Sekian terima kasih.
Disediakan oleh;
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia
019 7701830
Ulasan
Catat Ulasan