Pendahuluan
Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,
Mutakhir ini, negeri
perkembangan politik di negeri Johor telah menjadi bualan di kalangan para
pemerhati politik sama ada yang daripada pihak pemerintah mahu pun kumpulan
pembangkang. Kemampuan gabungan parti politik pembangkang memenangi satu kerusi
Parlimen (Bakri) dan enam kerusi DUN (Sungai Abong, Maharani, Mengkibol,
Skudai, Senai dan Bentayan) telah membuka mata banyak pihak terhadap status
kekebalan UMNO/BN di Johor yang mitosnya disebut sebagai “Kubu Kuat Umno di
dunia” semakin diragui. Lebih-lebih lagi, kemenangan PAS untuk menawan dua
kerusi DUN iaitu di Dun Maharani dan Sungai Balang telah meletakkan satu
harapan baru kepada perkembangan politik Johor yang sebelum ini tidak pernah
yakin bahawa PAS akan dapat bertapak di Johor. Malah, kemenangan PAS di Dun
Senggarang dilabelkan sebagai kemenangan ‘betina’ kerana calon PAS iaitu Dr
Mohd Ramli bin Kari menang di atas faktor kesilapan teknikal BN.
PAS tampil dengan gagah
dan berwibawa di pentas Dun Johor apabila YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr
Sheikh Ibrahim bin Sheikh Salleh berjaya memainkan peranan mereka di dalam
dewan persidangan serta disayangi oleh rakyat setempat kerana mereka
benar-benar dapat menterjemahkan peranan sebenar sebagai seorang wakil kepada
rakyat.
Justeru apabila PAS dan
Pakatan Rakyat berkira-kira untuk menawan Nusa jaya di dalam Pilihan Raya Umum
yang akan datang ini, pemimpin UMNO/BN di Johor menggelupur tidak tentu fasal
dan membuat respon yang luar daripada kebiasaan. Jika dulu, pembangkang tidak
berpeluang untuk hadir di bibir-bibir pemimpin BN walaupun kali ini
berduyun-duyun pimpinan BN khususnya daripada Umno berlumba-lumba untuk
memberikan pandangan dan kenyataan tentang masa depan PR di Johor yang
sebahagian besar daripada mereka memperlekeh cita-cita dan harapan murni ini.
Sebagai contohnya, apabila
YB Salahudin Ayub muncul di dalam media cetak dan internet dengan gambaran
bakal dilantik sebagai Menteri Besar Johor maka ketidaktenteraman jiwa para
pemimpin BN Johor jelas kelihatan.
Ahli Majlis Tertinggi Umno
merangkap Ketua UMNO Bahagian Batu Pahat, Dr Mohd Puad Zarkashi berkata,
kekuatan PAS belum mampu menandingi BN dan meminta agar PAS jangan memasang
angan-angan dan hanya bermimpi di siang hari untuk mengambil alih Kerajaan
Negeri Johor. Beliau masih yakin bahawa
Johor adalah kubu kuat BN.
Walau apa pun yang diperkatakan
tentang kemampuan PAS untuk tampil sebagai kerajaan menanti bersama PR ia akan
ditentukan nanti oleh kuasa rakyat. Namun, perlu juga kita melihat dengan lebih
mendalam sejauh mana kemampuan PAS untuk memenangi hati pengundi lebih-lebih
lagi PAS telah pun mengisytiharkan bahawa PAS bersedia untuk menggantikan UMNO.
Perkembangan
PAS di Johor
Perjalanan politik PAS di
Johor bukanlah satu perjalanan pemusafiran yang mudah kerana ia telah dilalui
dengan penuh ujian dan cabaran yang luar biasa. Membentuk satu kekuatan yang
jitu telah mengambil masa yang lama dan jauh sehingga ia tersergam pada hari
ini. Tidak ramai yang mengetahui dan mengambil tahu tentang perkembangan PAS di
Johor jika ingin dibandingkan dengan perkembangan PAS di negeri lain kerana Johor
terlalu kebal dengan pengaruh Umno di semua peringkat.
Penyertaan PAS di dalam
politik Johor sebenarnya telah bermula awal iaitu tiga tahun selepas PAS
ditubuhkan pada tahun 1951. Dalam satu laporan yang disiarkan oleh Utusan
Melayu yang dikeluarkan pada 20 Mac 1954, PAS telah menubuhkan cawangannya yang
pertama di Johor iaitu di Johor Bahru pada 19 Mac 1954 dan Haji Ariffin Alias
dipilih menjadi Yang Dipertua, Sdr Othman Abdullah dilantik menjadi Setiausaha
manakala Penyimpan Wang diamanahkan kepada Sdr Yusuf Abdul Rahim. Seramai lapan
orang Ahli Jawatankuasa telah dilantik bagi menerajui PAS cawangan. Bermakna,
PAS bukanlah parti baru di Johor, barangkali disebabkan kekuatan UMNO yang
terlalu besar menyebabkan PAS di lihat sebagai parti ‘nyamuk’ yang tidak
mungkin akan memberikan ancaman kepada UMNO. Keterbukaan media cetak pada
ketika itu dengan memberikan laporan penubuhan PAS telah membawa kepada
penyebaran berita yang baik kepada PAS apabila satu rombongan masyarakat Bugis
dari Benut telah bertemu dengan pimpinan PAS Cawangan Johor Bahru dan pada 6
Mei 1954 cawangan kedua PAS Johor telah ditubuhkan di Benut. Haji Abdul Razak
telah dipilih menjadi Yang Dipertua manakala Saudara Muhamad Tahir dilantik
menjadi Setiausaha dan jawatan Bendahari dipegang oleh Haji Yusuf Abdul Rahim.
Seramai enam orang Ahli Jawatankuasa cawangan turut terpilih.
Walaupun usia PAS cawangan
Benut ini masih baru namun PAS Benut telah tampil dengan berani dan berjaya
mengumpulkan ahli yang ramai sehingga dilaporkan keahlian PAS di Benut mencecah
seramai 750 orang pada ketika itu. Di atas kesedaran untuk memartabatkan Islam
di Johor, PAS Benut melalui mesyuarat Agong telah meluluskan usul untuk meminta
PAS Pusat mengadakan pendidikan politik Islam kepada ahli-ahli di semua
cawangan PAS dalam negara ini serta mendesak PAS Pusat agar menerbitkan majalah
`Al-Islam’.
Sebelum Pilihan raya Umum
tahun 1959, pengaruh PAS semakin berkembang dengan penubuhan banyak cawangan di
Pontian dan Batu Pahat. Pada 24 Mei 1959 cawangan PAS telah ditubuhkan di
Sungai Tempayan, Pontian. Pada 3 Ogos 1959, cawangan PAS ditubuhkan di Pulai
Sebatang dan pada 4 Ogos, cawangan Parit Karimon ditubuhkan. Pada penghujung
bulan Julai 1959, sebuah cawangan PAS di Kampung Parit Jatuh, Batu Pahat
diwujudkan. Dalam majlis penubuhannya, ketua penerangan PAS Johor ketika itu,
Haji Muhamad Taib Haji Ahmad telah memaklumkan bahawa PAS Johor akan menubuhkan
10 cawangan lagi di seluruh negeri. Pada 14 Ogos 1959, sebanyak 15 cawangan PAS
telah diwujudkan di Batu Pahat. Pertumbuhan PAS dengan pesat di kawasan Pontian
dan Batu Pahat sememangnya dapat dilihat sehingga ke hari ini hasil daripada
usaha gigih pejuang terdahulu. Usaha PAS untuk menubuhkan cawangan terus
berkembangan di Muar, Segamat, Mersing, Ari Hitam dan Kluang. Pengaruh PAS di
Kota Tinggi mula terserlah pada awal tahun 1964 atau lebih awal dari tahun
tersebut, PAS turut meletakkan calonnya di kawasan Johor Lama. Daripada
maklumat yang tersebut, bolehlah dibuat rumusan bahawa PAS mula berkembang dan
bertapak di Johor secara keseluruhannya menjelang pertengahan tahun 1964.
Dalam suasana PAS Johor
berkembang pesat, PAS Johor dikejutkan dengan tindakan dua pimpinan tertinggi
mengisytiharkan diri keluar daripada PAS pada tahun 1969 iaitu Pesuruhjaya PAS Negeri, Puan Khadijah Sidek dan
bekas Pegawai Penerangan PAS Negeri, Kiai Saifullah bin Zamzam. Ia sedikit
sebanyak mendatangkan kesan kepada ahli dan para penyokong kerana Khadijah
Sidek adalah merupakan seorang yang gigih dan kuat bekerja. Khadijah yang
berasal daripada Indonesia menyertai PAS pada tahun 1958
setelah dipecat dari UMNO pada tahun 1956. Beliau pernah menjadi ahli Parlimen
Dungun pada tahun 1959 dan menjadikan
wakil rakyat PAS yang pertama dari kalangan wanita. Dalam pilihan raya umum
1964, beliau bertanding di kawasan parlimen Johor Bahru menentang Tun Dr Ismail
Datuk Abdul Rahman namun berjaya ditewaskan.
Tahun 1974, PAS telah
bertindak menyertai komponen Barisan Nasional. Ada di kalangan ahli PAS di
Johor mengambil memprotes penyertaan PAS ke dalam BN dengan mengisytiharkan
diri sebagai calon bebas walaupun akhirnya tewas di tangan calon perikatan.
Peristiwa pahit, PAS
ditendang daripada menjadi komponen Barisan Nasional telah memberikan banyak
iktibar. Ini diikuti dengan kekalahan teruk PAS dalam pilihanraya Mac 1978
apabila PAS gagal mengekalkan kuasanya di Kelantan, walaupun sudah menguasai Kelantan
hampir 18 tahun lamanya. Tragedi yang menimpa PAS itu telah memberi kesan
kepada perkembangan PAS di seluruh negara termasuk di Johor. Dalam pilihanraya
ini, PAS hanya berjaya mempertahankan lima kerusi daripada 14 kerusi yang
dimenangi sebelum ini dalam tahun 1974 di samping mempertahankan 9 kerusi Dewan
Undangan Negeri berbanding 50 kerusi yang dimenanginya dalam pilihanraya
sebelumnya.
Bagi PAS Johor, kekalahan
sudah menjadi asam garam dalam perjuangannya. Ia sudah menduga kekalahan teruk
itu. Walaupun PAS sudah lama bertapak di Johor, namun selera pengundi masih
belum membenarkan PAS bertapak di hati mereka. Sebaliknya hasil dari
penyingkiran PAS itu, berbagai insiden politik berlaku secara negatif di Johor.
Seramai 300 orang ahli PAS telah menyertai UMNO pada bulan Julai 1978 iaitu
menjelang pilihanraya umum. Turut dilaporkan juga seramai 60 orang guru-guru
agama yang simpati dengan PAS berpaling tadah menyertai UMNO.
Di Johor, bekas
aktivis-aktivis ABIM telah berpeluang mengambil alih teraju pimpinan PAS Johor
dalam tahun 1982 setelah berlakunya perubahan PAS kepada kepimpinan ulama’
seperti mana yang berlaku di peringkat nasional. Peralihan ini bukan dibuat
secara revolusi tetapi sebaliknya melalui amalan biasa PAS iaitu dengan cara
pemilihan. Haji Hasan Hussein telah dilantik menjadi Pesuruhjaya PAS yang baru
bagi menggantikan Haji Yusof Hakim yang sudah uzur. Beliau adalah salah seorang
pengasas ABIM Johor. Di samping beliau beberapa orang aktivis ABIM turut
dilantik menjadi Ahli Jawatankuasa Perhubungan PAS Negeri seperti Tuan Haji
Ismail bin Ibrahim, Ustaz Omar bin Jani, .
PAS dipimpin oleh Ustaz Omar bin Jani, Dr
Sanusi Daeng Mariok dan kini datuk Dr Haji Mahfodz bin Mohamed selaku
Pesuruhjaya Negeri.
Dr
Sanusi Daeng Mariok dilantik sebagai Pesuruh Jaya PAS negeri Johor pada tahun
1996 setelah Ustaz Omar bin Jani telah meninggal dunia. Ketika itu, Dr Sanusi
yang lebih mesra dipanggil Pak Daeng sedang menjawat jawatan sebagai Naib
Presiden PAS dan Ahli Parlimen di Rantau Panjang.
Pak Daeng telah mengambil
pelbagai pendekatan politik yang bersesuaian dengan lebih menekankan konsep
menerang bukan menyerang lebih-lebih lagi apabila Almarhum datuk Fadhil Noor
telah mengangkat kertas kerja Pak Daeng yang pada satu ketika dahulu ditolak
oleh jawatankuasa PAS Pusat di atas konsep yang telah disebutkan tadi.
Dr Mahfodz mula memimpin
PAS Johor pada tahun 2005 setelah Dr Sanusi mengambil keputusan untuk
mengundurkan diri setelah memimpin Johor selama hampir 10 tahun. Sebelum
dilantik menjadi Pesuruh jaya PAS Johor, Dr Mahfudz terlebih dahulu diberikan
kepercayaan oleh Dr Sanusi sebagai Timbalan Pesuruh Jaya Negeri bermula tahun
2001 sehingga tahun 2005. Dr Mahfodz telah menjual rumahnya di Damansara dan
membina sebuah Maahad Tahfiz di Kundang Ulu sebagai tanda keseriusannya untuk
kembali ke Johor sebagai seorang Pesuruh Jaya.
Catatan
ringkas berkaitan dengan sejarah perkembangan PAS di Johor ini adalah sebagai
maklumat asas kepada pembaca supaya dapat melihat betapa peritnya PAS untuk
diperkembangkan di Johor.
Pencapaian
PAS di dalam Pilihan raya
Cita-cita PAS untuk tampil
buat pertama kalinya di dalam medan Pilihan Raya pada tahun 1955 tidak
kesampaian disebabkan masalah kewangan kerana kos untuk menghadapi pilihan raya
yang tinggi. Namun ia tidak merencatkan para pejuang PAS di Johor kerana mereka
sedar bahawa Pilihan raya bukanlah matlamat utama PAS ditubuhkan. PAS terus
melipatgandakan usaha dan gerakerja dengan menubuhkan lebih banyak lagi
cawangan dan gerakerja.
Dengan usaha yang telah
dilakukan maka PAS telah tampil buat pertama kalinya dalam Pilihan raya Umum
Persekutuan 1959 dan PAS Johor telah meletakkan seramai tiga orang calonnya
bertanding di peringkat parlimen Pontian Utara, Muar Selatan dan Segamat Utara.
Seramai sembilan lagi calonnya diletakkan di peringkat Dewan Undangan Negeri
Pontian Dalam, Benut, Rengit, Air Hitam, Tanjung Semberong, Parit Jawa, Parit
Bakar, Serom dan Jorak. Dalam pilihanraya ini PAS bukan sahaja gagal
mendapatkan sebarang kerusi di Johor malah undi yang diterima adalah pada paras
yang sangat rendah. Pada keseluruhannya, undi yang diperoleh oleh PAS bagi tiga
kawasan parlimen yang ditandingi ialah 4992 daripada jumlah keseluruhan iaitu
216 027 undi. Bagi sembilan kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi, PAS
berjaya memungut undi sebanyak 5471 daripada undi ke seluruh yang berjumlah 214
496. inilah ukuran sokongan masyarakat terhadap PAS pada masa itu. Peratusan
undi yang diterima oleh PAS begitu kecil sekali iaitu di peringkat Parlimen sebanyak 2.3% manakala di peringkat
DUN 2.6%.
Sebab itu saya nyatakan
tadi kehadiran PAS tidak dilihat sebagai ancaman kerana rakyat Johor masih
belum mampu menerima kehadiran PAS. Bagi rakyat Johor, Umno dan Perikatan
adalah pilihan yang paling tepat dan sesuai dengan perkembangan politik di
Johor. Namun, ia sedikit pun tidak merencatkan dan mencantas semangat gelora
perjuangan-pejuang PAS yang terpencil bilangannya.
Cita-cita untuk menyerlah
di dalam politik Johor diteruskan dalam Pilihanraya Umum Persekutuan 1964, PAS
Johor telah mengemukakan dua orang calonnya bertanding di peringkat parlimen
Pontian Utara dan Johor Timur. Manakala sebelas lagi calonnya bertanding di
peringkat Dewan Undangan Negeri. Ketika itu PAS Johor dianggap sebagai parti
nyamuk oleh komponen Perikatan. Saingan hebat perikatan di Johor pada masa itu
ialah Barisan Sosialis. Dalam pilihanraya ini juga, parti-parti pembangkang
Johor terpaksa bertanding sesama sendiri setelah hasrat untuk bergabung dalam
satu pasukan gagal dilakukan.
Pilihan raya 1964 ini juga
telah membuka era baru bagi PAS Johor. Ia telah bertanding di tujuh kawasan
baru bagi peringkat Dewan Undangan Negeri dan mengosongkan enam kawasan yang
pernah ditandingi dalam pilihanraya 1959. tujuh kawasan baru yang ditandingi
oleh PAS ialah Endau, Gelang Patah, Mersing, Pelentong, Simpang Kiri dan
Tampoi. Kawasan lama yang turut ditandingi ialah Air Hitam, Tanjung Semberong,
Parit Jawa, Jorak dan Parit Bakar.
Dalam pilihanraya ini juga
PAS Johor tidak meletakkan calon-calonnya bertanding di kawasan parlimen Muar
Selatan dan Segamat Utara sebaliknya mencuba kawasan baru iaitu Johor Timur dan
mengekalkan Pontian Utara yang pernah ditandingi dalam pilihanraya tahun 1959.
PAS tidak bertanding di kawasan parlimen Muar Selatan walaupun pengaruh PAS
kuat di sini dalam pilihanraya umum 1959. Di Muar Selatan PAS tidak hilang wang
pertaruhan berbanding dengan kawasan Pontian Utara. Undi yang diperoleh oleh
PAS kawasan Muar Selatan dalam pilihanraya 1959 ialah 2508 undi dan terselamat
wang pertaruhan. Sebaliknya di Pontian Utara, PAS hilang wang pertaruhan dan
mendapat jumlah undi yang kecil iaitu 1567 undi.
Keputusan pilihanraya umum
1964 menyaksikan satu lagi keputusan untuk penilaian PAS Johor. Secara
keseluruhannya, PAS mendapat 7873 undi bagi sebelas kawasan Dewan Undangan
Negeri yang ditandingi dan 7673 undi lagi bagi tiga kawasan parlimen.
Tahun 1983 PAS Johor meletakkan
seramai sembilan orang calon di peringkat Dewan Undangan Negeri dan tiga orang
di peringkat parlimen. Sokongan terhadap PAS telah meningkat sejak pilihanraya
umum 1978 terutama di kawasan Batu Pahat, Segamat, Tenggaroh dan Simpang
Renggam. Inilah perkembangan yang menguatkan lagi PAS Johor. Dengan jumlah undi
yang berjaya diraih dalam pilihanraya itu ialah 18 234 undi untuk enam kawasan
parlimen yang ditandingi manakala untuk 10 kawasan Dewan Undangan Negeri PAS
berjaya meraih undi sebanyak 11 232 undi. Dalam pilihanraya umum 1978 PAS Johor
telah mendapat undi sebanyak 25 915 bagi 23 kawasan Dewan Undangan Negeri dan
32 512 undi bagi 12 kawasan parlimen yang ditandingi.
Walaupun jumlah
calon-calon PAS bertanding merosot dalam Pilihanraya Umum 1982 berbanding
pilihanraya umun 1978, namun kedua-dua pilihanraya telah menemukan kegagalan
yang berulang. Peratusan undi yang diterima oleh PAS dalam pilihanraya umum
1982 tidak jauh berubah dengan peratus undi pilihanraya tahun 1978.
Dalam pilihanraya 1982 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Negeri ialah 7.9% manakala dalam pilihanraya umum 1978 peratus undi peringkat parlimen ialah 4.1% dan peringkat Dewan Undangan Neger 2.3%.
Pada tahun 1986, sekali
lagi pilihanraya umum diadakan. Pada kali ini PAS meletakkan 10 orang calon di
peringkat Parlimen dan 20 orang lain di peringkat Dewan Undangan Negeri. Inilah
pilihanraya pengukur bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor dalam Era Kepimpinan
Ulama. Keputusan pilihanraya 1986 telah menunjukkan ciri baru sokongan pengundi
kepada PAS. Ia berjaya memperoleh undi sebanyak 28 493 undi bagi 10 kawasan
parlimen dan 47 184 undi untuk 20 kawasan Dewan Undangan Negeri. Walaupun
tewas, tetapi jumlah undi yang diterima merupakan satu kemenangan yang besar
bagi kumpulan pimpinan baru PAS Johor yang telah menguasai tampuk pimpinan
parti kira-kira lima tahun.
Pilihanraya Umum Oktober
1990, telah menyaksikan suatu penyatuan di kalangan pembangkang apabila PAS
bersama Semangat 46 berjaya bergerak di bawah Angkatan Perpaduan Ummah
(Angkatan) dan Semangat 46 bersama parti-parti lain berjaya membentuk Gagasan
Rakyat. Inilah pertarungan paling sengit dihadapi oleh Barisan Nasional apabila
pembangkang bersatu dalam pilihanraya. Dalam pilihanraya kali ini, PAS Johor
telah meletakkan tiga orang calonnya bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri
iaitu Endau dalam parlimen Mersing, Rengit dalam parlimen Batu Pahat dan Benut
dalam parlimen Sungai Benut.
Jumlah calon PAS pada kali
ini agak kecil berbanding pilihanraya umum 1959, 1954, 1969, 1978,1982 dan
1986. ini adalah disebabkan persepakatan antara PAS dan Semangat 46 dalam
Angkatan di mana kuota kerusi telah pun dipersetujui bersama mengikut kekuatan
pengaruh sesebuah parti di sesuatu kawasan.
Ketiga-tiga calon yang
terpilih ialah Dr Sheikh Ibrahim Salleh (Dun Endau), Ungku Haji Mohd Noor Ungku
Mahmood (Dun Rengit) dan Haji Ambok Masek Haji Abdul Latif (Dun Benut). Dalam
pilihanraya ini, PAS berjaya meraih 33% undi di Endau, 29.8% undi di Rengit dan
32.7% undi di Benut. Dalam pilihanraya umum 1986, PAS telah meletakkan seramai
10 orang calonnya di peringkat parlimen dan 20 orang lagi di peringkat Dewan
Undangan Negeri. Pilihanraya Umum 1990 juga telah mengulangi kekalahan PAS
Johor.
Tahun 2004, PAS menyertai
PRU dengan semangat untuk menang setelah arus reformasi telah berjaya
meningkatkan sokongan rakyat kepada PAS dan Barisan Alternatif. Namun, pakatan
BA telah semakin mengecil apabila DAP telah mengisytiharkan bahawa mereka
keluar daripada BA pada 21 September 2001 dan berlakunya pergabungan dua parti
iaitu PKN dan PRM yang membentuk parti baru iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR)
pada bulan Ogos 2003.
PAS telah meletakkan calon
di 36 Dun namun pencapaian PAS secara keseluruhannya lebih rendah jika dibandingkan
dengan pencapaian pada tahun 1999. PAS bertanding di 36 Dun dan menang satu
kerusi iaitu kerusi Dun Senggarang di atas kesilapan BN meletakkan individu
yang diamanahkan sebagai Penyokong adalah merupakan bukan pengundi di
Senggarang. PAS telah memperoleh 98698 undi berbanding dengan jumlah undi 540572
keseluruhan di kesemua 36 Dun yang PAS telah meletakkan calon. Ia mewakili
sebanyak 18.3% undi keseluruhannya.
Pilihan Raya Umum kali ke
12 yang diadakan pada tahun 2008 telah mendatangkan satu keputusan luar biasa
kepada PAS di Johor setelah berjaya untuk tampil ke dalam medan pilihan raya
dalam satu front iaitu Barisan Alternatif dan kerjasama tidak langsung dengan
DAP untuk memastikan bahawa BN hanya akan bertembung secara satu lawan satu di
setiap kerusi yang dipertandingkan.
PAS telah bertanding di
sembilan kerusi Parlimen dan 33 kerusi Dun termasuklah kerusi Dun Tiram yang
diwakili oleh calon Kelab Penyokong PAS yang bertanding di atas lambang PKR
iaitu Cik Kumutha Raman.
Dalam PRU ke 13, PAS
memperoleh kejayaan yang luar biasa apabila telah berjaya menang di kerusi N13
Sungai Abong dan N15 Maharani. Begitu juga dengan jumlah undian sebanyak 175 300
undi di peringkat berbanding dengan jumlah undi keseluruhan sebanyak 554158
undi dengan peratusan undi yang telah diperoleh PAS daripada 33 kerusi Dun yang
ditandingi itu adalah sebanyak 31.63% menunjukkan pencapaian PAS semakin memberangsangkan.
PAS
masa kini, semakin maju atau mundur?
Setelah membaca mengenai
sejarah Pas dan penglibatannya di dalam medan politik, saya ingin mencatatkan
pula kedudukan PAS di Johor ketika ini sama ada PAS semakin diterima rakyat
atau pun sebaliknya. Ini berdasarkan kepada pemerhatian saya secara umum
sebagai anak Johor yang terlibat secara langsung dalam medan politik di Johor.
Selepas kejutan besar
berlaku dalam PRU ke 12 pada tahun 2008, PAS Johor terus mengorak langkah untuk
menggempur persada politik Johor bersama rakan-rakan dalam PR yang lain dan
tekad untuk menawan Nusajaya disepakati bersama. Langkah awal, PR Johor telah
melancarkan TAWAN di Kluang pada tahun 2009 sebagai satu signal terhadap
keseriusan tersebut.
Beberapa tindakan awal
disusun oleh PAS Johor. Penubuhan Pusat Aduan Rakyat (PAR) di seluruh dijadikan
arahan wajib khususnya Dun yang telah diwakili oleh PAS semasa PRU 12. Di antara
yang terawal menubuhkan PAR adalah Dun Permas, Kempas, Mahkota dan Nusajaya.
Peranan utama PAR adalah untuk menyelesaikan masalah rakyat setempat sama ada
masalah yang melibatkan isu rakyat ataupun isu yang melibatkan kepincangan
kerajaan.
Begitu juga dengan peranan
kedua-dua Adun PAS iaitu YB Dr Mohamad bin Taslim dan YB Dr Sheikh Ibrahim,
kedua-dua digerakkan untuk membantu masalah rakyat bukan sahaja di kawasan
mereka sahaja tetapi menjadi wakil rakyat di seluruh negeri Johor untuk
disalurkan ke dalam DUN Johor.
PAS Johor dipimpin oleh
mereka yang berkelayakan daripada pelbagai sudut. Pesuruhjaya PAS Johor, Datuk
Dr Mahfodz Mohamad adalah merupakan mantan Ketua Jabatan Pengajian Islam dan Timbalan Pengarah Akademi Pengajian Islam UM dan
merupakan tokoh ulama’ yang disegani. Haji Aminul Huda Hassan, Timbalan Pesuruh
Jaya 1 adalah merupakan seorang golongan profesional dalam bidang pendidikan,
Timbalan Pesuruh jaya 2 iaitu Haji Dzulkefli Ahmad merupakan profesional dalam
bidang perunding harta dan Mazlan Aliman, Pesuruh Jaya 3 adalah merupakan seorang
aktivis masyarakat dan merupakan Presiden ANAK yang memperjuangkan isu
berkaitan dengan peneroka dan FELDA.
Suhaizan Kaiat, Ketua
Dewan Pemuda PAS Johor adalah merupakan mantan pensyarah UTM, Haji Roslan
Nikmat (Bendahari PAS Johor) adalah merupakan mantan guru dan pernah dipilih
sebagai Guru Inovasi Kebangsaan. Malah, pimpinan PAS yang mengetuai jentera d
peringkat negeri turut dipimpin oleh mereka yang berupaya menjana kekuatan dan
kemenangan PAS.
Empat daripada PAS kawasan
di Johor dipimpin oleh kepimpinan muda iaitu Haji Firdaus Masod
(Segamat/Peguam), Ustaz Khairul Muntanazar (Tebrau/Lulusan Al-Azhar), Ustaz
Rozali Jamil (Sekijang/Al-Hafiz) dan Khairul Faizi Ahmad Kami (Kluang/Ahli
Politik)
Begitu juga dengan
kesediaan YB Haji Salahudin Ayub untuk pulang ke gagang bagi merancakkan
gerakerja PAS di Johor telah menimbulkan polemik baru sehingga di sebut sebagai
bakal Menteri Besar Johor jika PR berjaya menawan Nusajaya.
Bermakna,
PAS Johor semakin maju ke hadapan pada ketika ini dengan melahirkan banyak
tokoh politik dan kepimpinan yang berwibawa. Kepimpinan yang beretika, berlatar
belakangkan pendidikan yang tinggi di pelbagai peringkat pasti mampu mentadbir
negeri Johor jauh lebih baik daripada apa yang telah Umno lakukan selama ini.
Kesimpulan
Melihat kepada sejarah PAS
bermula di Johor pada tahun 1954 sehingga kemampuan PAS berdiri bersama PR di
persada politik Johor yang dikenali sebagai ‘kubu kuat UMNO di dunia’ telah
memberikan satu harapan baru kepada perubahan politik di Johor.
PAS gagal menyertai PRU
pada tahun 1955 kerana ketidakmampuan untuk menanggung kos yang tinggi. Tahun
1959 PAS hanya mampu meraih sokongan sebanyak 2.6% di kerusi Dun yang telah PAS
tandingi. Tetapi, pencapaian PAS terus meningkat dengan lebih baik dan sebagai
buktinya pada PRU ke 12, PAS berjaya meraih sokongan sebanyak 31.63% di
peringkat Dun yang PAS tandingi.
Sokongan yang diterima
oleh PAS dan rakan-rakan PR yang lain sudah tentu menggerunkan UMNO dan BN
lebih-lebih lagi PAS sudah tidak lagi ditakuti oleh pengundi bukan
Melayu/Islam. PAS yakin mampu untuk memenangi hati pengundi bukan Melayu pada
PRU ke 13 yang bakal menjadi penentu kepada kemenangan PAS nanti.
Pesuruh Jaya PAS Johor,
Datuk Dr Mahfodz telah melahirkan keyakinan bahawa PAS akan berjaya untuk
menang di 15 DUN yang ditandinginya pada PRU yang akan datang. Dengan gabungan
kemenangan PAS, PKR dan DAP di peringkat DUN nanti akan membolehkan PR
membentuk kerajaan baru yang akan menjalankan tanggungjawab dengan lebih baik
dan beramanah daripada apa yang telah dilakukan oleh kerajaan BN sebelum
daripada ini.
Siapa bakal MB? Itu tidak
menjadi persoalan utama pada ketika ini kerana PAS dan PR dibarisi oleh ramai
kepimpinan dan calon berwibawa.Apa yang penting ketika ini adalah usaha dan gerakerja perlu dipertingkatkan dengan semaksimum mungkin.
Sekian.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
23 Jun 2012, 3.37 pagi
www.khairulfaizi.com
-------------------------------------------------------------------------------------------------------
Kajian
ini telah disediakan oleh sdr Khairul Faizi bin Ahmad Kamil tentang sejarah ringkas perjuangan PAS di Johor. Ia
adalah sebahagian daripada usaha beliau untuk mengumpulkan maklumat dan info
sejarah PAS negeri Johor dan sebagai rangka awal untuk membuat penyelidikan di
peringkat Sarjana. Penulis adalah merupakan Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang
dan mantan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Johor (2005-2011).
insyaallah saya doakan pas akan menawan johor di Pilihan raya umum ke 14. Takbir.!!!!!!!!!!!
BalasPadam