Sedia Berdebat Demi Suburkan Demokrasi Di Malaysia


Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Alhamdulillah, saya diberikan ruang masa untuk bersama menyaksikan satu siri perdebatan yang menarik yang berlangsung di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf, Shah Alam.

Debat yang menemukan dua pimpinan politik dan Ahli Parlimen daripada PAS dan UMNO iaitu  Ahli Majlis Tertinggi Umno, YB Datuk Saifuddin Abdullah dan Naib Presiden PAS, YB Salahudin Ayub itu dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Profesor Datuk Mohamad Abu Bakar.

Saya tidak berkeinginan untuk menyentuh isi kandungan debat mahu pun prestasi kedua-dua pendebat kerana bagi saya ia akan bersifat subjektif bergantung kepada penilaian masing-masing. Jika saya nyatakan bahawa YB Salahudin lebih baik daripada YB Saifuddin maka ia sudah tentu tidak mengejutkan kerana akan ada yang akan kata bahawa tentu sekali saya akan sokong Naib Presiden parti saya. 

Namun apa yang saya ingin catatkan di sini adalah kesediaan Sinar Harian untuk meneruskan siri debat yang melibatkan wakil parti politik yang mewakili pemerintah dan pembangkang untuk kali yang kedua kerana ia membuka ruang demokrasi yang sihat untuk generasi kini dan masa hadapan.

Seluruh rakyat Malaysia dapat menyaksikan bahawa sepanjang debat berlangsung, tiada balingan botol, tiada lontaran kayu dan tiada caci maki yang membakar perasaan sepanjang debat dilaksanakan tadi. Ia membuktikan bahawa rakyat Malaysia sudah semakin matang khususnya di kalangan anak muda untuk melihat sesuatu isu itu dibahas, dikupas dan diperjelaskan kepada massa dengan adil dan terbuka.

Saya percaya, jika program seperti ini diteruskan maka tiada alasan lagi yang dapat dipergunakan bagi menolak cadangan agar debat di antara pemimpin tertinggi dalam UMNO, PAS dan mana-mana parti direalisasikan.

Desakan untuk melihat debat di antara Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah kedengaran sejak beberapa bulan yang lalu dan telah pun dipanaskan dengan cabaran moderator dalam Debat Sinar siri pertama pada bulan yang lalu.

Namun ia tidak mendapat respon yang baik daripada kalangan pro-pemerintah. Sebagai contohnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad menolak sebarang keperluan untuk mengadakan sesi perdebatan antara Perdana Menteri dan Ketua Pembangkang dengan alasan perdebatan itu hanya membuang masa dan tidak mampu menyelesaikan masalah yang dihadapi rakyat negara ini.

Sayang seribu kali sayang apabila kenyataan seperti itu lahir daripada seorang yang bergelar Negarawan sedangkan debat melahirkan pemikiran kritis, percambahan minda dan  pembinaan idea baru dengan syarat ia dilaksanakan dengan adil dan seimbang. 

Saya memberikan contoh, pertandingan Debat Di Raja yang melibatkan antara Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA). Objektif utama pertandingan debat ini ialah untuk melahirkan generasi pemimpin masa hadapan yang berwibawa dan menjunjung nilai intelek serta menyemai semangat dan budaya membaca aras tinggi di kalangan pelajar agar lebih berpengetahuan tentang perkembangan di Malaysia dan di arena antarabangsa. Apakah debat ini juga perlu dihapuskan atas alasan yang sama?

Justeru saya cadangkan agar lebih banyak lagi pihak berkecuali untuk menganjurkan debat seumpama ini bagi mempertemukan pimpinan politik daripada pelbagai parti politik di Malaysia.

Saya juga menawarkan diri untuk turut sama dengan mereka yang cintakan demokrasi dengan menyertai mana-mana debat yang berhasrat untuk menyuburkan demokrasi di Malaysia.

Anak muda tidak gentar untuk menyahut cabaran ini!

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
20 Jun 2012, 4.15 pagi

Ulasan