Rabu Julai 25, 2012
Nik Aziz: Kalau Orang Boleh Terima Hukuman Gantung Kenapa Tidak Hudud
KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul
Aziz Nik Mat berkata, parti itu tetap akan melaksanakan hukum hudud
walaupun ada tentangan daripada pihak lain termasuk anggota pakatan
pembangkang sendiri iaitu DAP.
Nik Aziz, yang juga menteri besar Kelantan berkata, semua pihak telah
mengetahui hasrat PAS berhubung pelaksanaan hukum hudud terutama di
negeri ini.
Beliau berkata, tiada sebab PAS tidak melakukan sesuatu yang dianggap
untuk kepentingan agama walaupun ada pihak yang tidak bersetuju.
"Rasanya saya tak perlu sebut kali kedua, kerana ia (cadangan itu)
sudah lama dah, semua orang tahu," katanya kepada pemberita selepas
mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di sini, Rabu.
Beliau ditanya mengenai kedudukan PAS dan DAP yang nampak tidak
sehaluan dan berbeza pendapat mengenai dasar negara Islam dan hukum
hudud.
Sebelum ini, Pengerusi DAP, Karpal Singh dilaporkan meminta pemimpin
PAS supaya tidak terus membangkitkan isu negara Islam yang boleh
merencatkan kemaraan pakatan pembangkang ke Putrajaya.
Nik Aziz berkata, jika hukum gantung boleh diterima semua pihak, maka tidak ada sebab mengapa hukum hudud tidak boleh diterima.
"Pelik apa kalau ambil hudud, bukankah di Malaysia ini ramai orang
kena hukum gantung. Hukum gantung menyebabkan isteri dia (pesalah) jadi
bujang (janda), anak jadi anak yatim, keluarga kehilangan tempat
bergantung.
"Tapi hudud tak matikan orang, nak kerat (potong) tangan pun letak bermacam-macam syarat," katanya lagi. - BERNAMA
Ulasan
Catat Ulasan