Published: Tuesday July 31, 2012 MYT 3:50:00 PM
Pemuda PAS Beri Tempoh Seminggu Awang Adek Jawab Tuduhan Rasuah
KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS memberi tempoh seminggu kepada
Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussin untuk
menjawab tuduhan berhubung dakwaan salah guna kuasa dan menerima rasuah
bagi melanjutkan kontrak sebuah Bumiputera dalam Skim Jejak Jaya
Bumiputera (SJJB).
Setiausaha Dewan Pemuda PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata,
sekiranya Dr Awang tidak memberikan sebarang respon dalam menjawab
tuduhan berkenaan, pihaknya akan membuat laporan kepada Suruhanjaya
Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat isu berkenaan.
"Kita akan beri Dr Awang seminggu untuk menafikan dokumen yang kita perolehi ini sebagai palsu atau tidak benar.
"Jika tidak kita akan mempertimbangkan untuk tindakan selanjutnya
bawa perkara ini kepada SPRM untuk siasat," katanya kepada pemberita
pada sidang media di ibu pejabat PAS pada Selasa.
Pada 12 Julai, Pemuda PAS Pemuda PAS mendakwa Dr Awang pernah
menerima dua cek bernilai RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan
kontrak pengurusan kemudahan di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral
oleh Syarikat Advance Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).
Pemuda PAS mendakwa cek tersebut diberi sebagai dorongan bagi
melanjutkan kontrak penyelenggaraan kedua-dua bangunan daripada lima
tahun bagi Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral daripada 3 tahun 5
bulan kepada 10 tahun.
Mereka dilaporkan menggesa Dr Awang menjelaskan daripada mana sumber
cek tersebut yang bernilai RM50,000 dan RM30,000 setiap satu dan
dimasukkan ke dalam akaun beliau ketika menjadi Pengerusi SJJB pada
tahun 2010.
Pemuda PAS juga meminta bekas Ahli Parlimen Bachok itu menjelaskan, kenapa cek-cek itu dimasukkan ke dalam akaun beliau.
Mengulas lanjut, Khairul Faizi yang juga Ketua Pemuda PAS Johor
mendakwa pihaknya memiliki dokumen serta surat permohonan lanjutan
kontrak penyelenggaraan syarikat AMPM yang dihantar kepada Dr Awang.
"Surat permohonan lanjutan kontrak itu dihantar pada 6 Disember 2010
dan tarikh cek dikeluarkan juga pada tarikh yang sama. Selepas itu kita
dapat maklumat satu mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif SJJB diadakan pada
25 Ogos 2011, keputusannya mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan kontrak
kedua-dua bangunan kepada 10 tahun pada syarikat yang sama.
"Pemuda PAS ingin tahu adakah cek ini sebagai dorongan untuk
memudahkan mereka (AMPM) mendapat perlanjutan kontrak? Sebab itu kita
minta Dr Awang tampil menjawab atau menafikan dakwaan itu sekiranya ia
tidak benar," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan