PEMUDA PAS DESAK TUTUP KEDUTAAN SYIRIA
PUTRAJAYA : Satu memorandum bantahan kepada kezaliman rejim Basyar al-Assad
telah dihantar oleh Dewan Pemuda PAS Malaysia ke Kementerian Luar
Negeri di Wisma Putra, Putrajaya. Memorandum tersebut adalah bertujuan
mengutuk perlakuan zalim kerajaan Syiria ke atas rakyatnya.
Menurut Saudara Khairul Faizi selaku
Setiausaha Pemuda PAS Malaysia berkata, "memorandum ini adalah untuk
mendesak kerajaan Malaysia agar mengambil tindakan tegas terhadap
kezaliman rejim pemerintahan Basyar al-Assad dan kerajaan Syiria.
Kami melihat kezaliman yang dilakukan
oleh Basyar al-Assad telah melampaui batas kemanusiaan kerana membunuh
ribuan rakyat negaranya tanpa belas kasihan".
Difahamkan sebelum ini juga Dewan Pemuda
PAS Malaysia telah mengadakan perjumpaan dengan wakil-wakil dari negara
ASEAN dan mencapai beberapa resolusi antaranya adalah mengutuk dan
menyatakan bantahan secara tegas dan keras ke atas kezaliman yang
berlaku di Syiria oleh rejim Basyar al-Assad.
"Kami minta agar kerajaan Malaysia tutup
Kedutaan Syiria di Malaysia dan menghantar pulang duta besar Syiria di
Malaysia. Kami juga mahu kerajaan Malaysia mendesak Pertubuhan
Negara-negara Islam [OIC] agar segera bersidang dan membincangkan isu
ini secara serius sekaligus menghentikan kezaliman ini dari terus
berlaku. Manakala kerajaan Malaysia perlu menyuarakan pandangan rasmi
yang menolak sebarang campur tangan dari pihak luar terutamanya Amerika
dan sekutunya", ulas beliau lagi.
Beliau turut ditemani oleh Ustaz Syed
Abdul Kadir selaku Penolong Setiausaha 2, Saudara Yusapiza Yaacob selaku
Penolong Setiausaha 3 dan Saudara Suhaimi selaku Timbalan Ketua Pemuda
PAS Wilayah Persekutuan semasa menyerahkan memorandum tersebut.
Memorandum tersebut telah diterima oleh wakil Kementerian Luar Negeri iaitu En. Abdul Samad Othman undersecretary of Africa Division dan juga Dato' Norhaidi Che Dan selaku Setiausaha Politik kepada Menteri Luar Negeri Malaysia.
Ulasan
Catat Ulasan