Pemuda PAS puji langkah tutup kedutaan di Syria
Harakahdaily, | 24 Jul 2012 |
KUALA LUMPUR:
Walaupun lambat, Pemuda PAS mengucapkan tahniah kepada kerajaan
Malaysia kerana akhirnya bertindak menutup kedutaan Malaysia di Syria.
Dewan
Pemuda PAS Malaysia merasakan tindakan ini perlu diberikan pujian
kerana akhirnya kerajaan Malaysia telah mengambil satu keputusan yang
berani untuk membantah tindakan kejam kerajaan Syiria ke atas rakyatnya.
Demikian kata Khairul Faizi Ahmad Kamil, Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia dalam satu kenyataannya hari ini.
Dewan Pemuda PAS Malaysia sebelum ini telah menghantar satu memorandum desakan ke Wisma Putra pada 12 Julai yang lalu.
Memorandum
yang dihantar ke Kementerian Luar Negeri di Wisma Putera bertujuan
meminta supaya Wisma Putra mengambil langkah sewajarnya bagi menekan
rejim Bashar Al Assad supaya beliau menghentikan serta merta pembunuhan
dan kezaliman terhadap rakyatnya.
Bashar juga didesak agar tunduk kepada tuntutan dan kehendak rakyat yang mahukan keadilan di negara tersebut.
Selain
dari memanggil semula Duta Besar Malaysia di Syiria, Dewan Pemuda PAS
Malaysia juga meminta agar Kerajaan Malaysia juga turut menutup Kedutaan
Syiria di Mesir sebagai tanda protes ke atas kekejaman yang dilakukan
oleh pemerintahnya.
Bagi Pemuda PAS, kekejaman yang dilakukan ke
atas rakyat Syiria oleh pemimpinnya Bashar al-Assad bukan suatu hal yang
boleh disorokkan lagi.
Majoriti rakyat di serata dunia telah mengutuk kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Syria ini.
Keadaan yang semakin membarah ini memaksa kerajaan untuk mengambil keputusan menutup Kedutaan Malaysia di Syria.
Ulasan
Catat Ulasan