Rabu Julai 18, 2012
Rabbani Anggap Sami Yusuf Tidak Profesional
PETALING JAYA: Kumpulan Rabbani menyifatkan tindakan penyanyi antarabangsa Sami Yusuf membatalkan Konsert Salaam Sami Yusuf
yang sepatutnya berlangsung pada 14 Julai lalu di Stadium Malawati,
Shah Alam, Selangor adalah tindakan yang tidak profesional.
Menurut wakil daripada kumpulan itu, Azadan Abd Aziz, dia bersama
Rabbani Productions Sdn Bhd yang turut bekerjasama dengan penganjurnya,
Offshore Entertainment Production (OEP) begitu kecewa dengan cara
penyanyi tersebut melaksanakan peranannya.
"Kami yang mengendalikan bahagian pengurusan karnival berasa sangat
simpati terhadap golongan peniaga yang sudah pun membuat persiapan
berniaga bersempena dengan konsert tersebut.
"Lebih kasihan lagi apabila pihak penganjur menanggung kerugian yang
besar. Pada pendapat saya Sami tidak profesional dengan pembatalan
konsert itu," katanya yang ditemui pada sidang akhbar perjanjian
kerjasama bersama Hotel Singgahsana di sini, Selasa.
Rabbani akan membuat persembahan di hotel tersebut sepanjang bulan Ramadan ini.
Pada 12 Julai lalu, pihak penganjur telah memaklumkan pada saat-saat
akhir mengenai konsert berkenaan dan meminta orang ramai menebus
semula tiket yang sudah dibeli.
Sami menerusi laman Twitter miliknya pula memberitahu pembatalan
konsert yang turut menampilkan penyanyi Datuk Siti Nurhaliza dan Rabbani
itu disebabkan oleh masalah permit.
Tambah Azadan, kejadian tersebut telah menjejaskan reputasi mereka
sebagai artis dan syarikat di mana ia mampu menjejaskan hubungan sesama
rakan perniagaan lain.
"Biasanya orang akan menilai sesebuah syarikat berkenaan berdasarkan
rekod reputasi yang sedia ada dan pembatalan konsert ini sedikit
menjejaskan kredibiliti pihak kami.
"Kami agak segan dengan pihak luar, tetapi nak buat macam mana? Ia
satu pengajaran yang besar buat kami dan pihak yang terlibat bagi
konsert ini," tuturnya dengan nada kesal.
Bagaimanapun, walaupun Rabbani kurang gemar dengan cara kerja Sami
yang tidak profesional, ia tidak bermakna mereka ingin bermusuh dengan
penyanyi itu.
Beritahu Azadan, pihaknya cuma lebih berhati-hati apabila melibatkan
kerjasama dengan Sami pada masa akan datang dan masih lagi berkawan
sebagai rakan artis.
Sementara itu, mengenai persembahan Rabbani di Hotel Singgahsana, ia
merupakan kerjasama yang ke-21 bagi menghiburkan para pengunjung yang
datang untuk berbuka puasa.
"Kali ini, Rabbani akan memberi sedikit kelainan daripada segi
persembahan di mana kami akan membuat konsep akustik melibatkan
peralatan muzik seperti 'cajun' dan gitar, selain peralatan muzik lain
yang sering digunakan,” katanya.
Selain menampilkan konsep muzik akustik, Rabbani turut menampilkan
rakan-rakan artis mereka seperti kumpulan Hijjaz, Raihan, In-Team dan
Saujana untuk membuat persembahan pada hari-hari yang tertentu.
Ulasan
Catat Ulasan