Bekas Pengurus Besar Koperasi Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah

Bekas Pengurus Besar Koperasi Dihadapkan Ke Mahkamah Atas Tuduhan Rasuah

JOHOR BARU: Seorang bekas pengurus besar Koperasi Sinarjaya Bandar Tenggara Kulaijaya pada Selasa mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menerima suapan RM2,900 dua tahun lalu.

Azman Anas, 40, didakwa menerima suapan daripada Oong Ah Lee sebagai dorongan untuk meluluskan borang permohonan mengambil permit bahan batuan di lot PTD 4153 Mukim Ulu Sungai Johor, Kota Tinggi.

Dia didakwa melakukan kesalahan tersebut di Restoran Marrybrown di Jalan Susur 3, Off Jalan Pejabat Kerajaan, Kulaijaya pada 12.40 tengah hari 20 Oktober 2010.

Azman didakwa mengikut Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Sekeyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 atau yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazlin Hamdan memohon ikat jamin sebanyak RM10,000 dikenakan ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, peguam tertuduh, Noorul Ameen Abdul Salam meminta mahkamah mengurangkan jumlah ikat jamin tersebut kerana anak guamnya tidak memiliki pekerjaan tetap sejak siasatan kes itu dijalankan ke atasnya selain menanggung seorang isteri yang tidak bekerja dan tiga anak masing-masing berusia tiga, lima dan tujuh tahun.

Hakim Mohamad Haidar Abdul Aziz membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan tarikh sebutan kes pada 3 September nanti. - BERNAMA

Ulasan