KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
PEMUDA PAS MINTA SPRM SIASAT KES AWANG ADEK
18 Ramadhan 1433 bersamaan 08 Ogos 2012
Seseorang
pimpinan utama rakyat mestilah menepati kualiti dan kriteria seorang
pimpinan. Skandal yang melibatkan Senator Datuk Dr Awang Adek adalah
satu isu yang berkaitan dengan integriti seseorang pimpinan.
Dewan Pemuda PAS Malaysia telah
memberikan masa tertentu kepada Datuk Awang Adek untuk beliau memberikan
respon balas mengenai pendedahan yang telah dibuat oleh Dewan Pemuda
PAS Malaysia. Sehingga hari ini, beliau hanya mengambil tindakan
mendiamkan diri dan tidak memberikan apa-apa respon terhadap dakwaan
yang telah dibuat ke atas beliau berdasarkan salinan cek RM 80,000 yang
dimasukkan ke dalam akaun peribadi beliau.
Pada 12 Julai 2012, Dewan Pemuda PAS
Malaysia telah mendedahkan 2 keping cek yang berjumlah RM 80,000 secara
keseluruhannya atas nama Datuk Awang Adek dan didepositkan ke dalam
akaun peribadi beliau.
Datuk Awang Adek diminta untuk
menjelaskan apakah terdapat skandal rasuah daripada transaksi wang yang
sebegitu besar ke dalam akaun beliau pada ketika beliau memegang jawatan
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Skim Jejak Jaya Bumiputera dan merangkap
Timbalan Menteri Kewangan Malaysia oleh sebuah syarikat yang
berkepentingan.
Pada 31 Julai 2012 yang lalu, Dewan
Pemuda PAS Malaysia sekali lagi tampil membuat pendedahan yang lebih
terperinci beserta beberapa dokumen penting. Dokumen yang berada di
pihak Dewan Pemuda PAS Malaysia menguatkan lagi dakwaan bahawa Datuk
Awang Adek terlibat dalam skandal rasuah kerana kedua cek yang bernilai
RM80,000 sebagai dorongan untuk melanjutkan kontrak pengurusan kemudahan
di Bangunan Sultan Iskandar dan JB Sentral oleh Syarikat Advance
Maintenance Precision Management Sdn Bhd. (AMPM).
Dewan Pemuda PAS Malaysia telah memberi
tempoh selama seminggu untuk beliau menafikan segala dokumen dan dakwaan
mengenai skandal rasuah beliau ini tetapi beliau tetap juga mendiamkan
diri.
Justeru, Dewan Pemuda PAS Malaysia akan
mengambil langkah untuk membuat laporan kepada pihak SPRM mengenai isu
ini. Dewan Pemuda PAS Malaysia juga berharap agar pihak SPRM dapat
membuat siasatan sebaik mungkin mengenai isu yang melibatkan integriti
seseorang pimpinan ini.
Lampiran untuk sidang media :-
Perkara : Laporan SPRM
Tarikh : 8 Ogos 2012 [ESOK]
Masa : 10.00 pagi
Tempat :
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Blok D6, Kompleks D, Pusat
Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Peti Surat 6000, 62007 Putrajaya,
Malaysia
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan