Tuesday August 7, 2012
Shila Amzah Pakai Tudung Selepas 15 Hari Percubaan
PETALING JAYA: Keputusan penyanyi Shila Amzah yang memakai
tudung bermula 1 Ramadan lalu hanya untuk suka-suka berubah apabila dia
tekad untuk kekal dengan imej tersebut.
Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah berkata, dia
membuat keputusan tersebut pada Sabtu lalu selepas 15 hari melalui
“tempoh percubaan” dan berazam untuk berimej sedemikian sehingga ke
akhir hayat.
"Pada mulanya penghijrahan ini bermula pada 1 Ramadan sebagai tempoh
percubaan dan ingin mendapat kepastian adakah saya benar-benar bersedia
untuk melakukan perubahan tersebut.
"Dua hari lalu (Sabtu) saya sibuk dengan penggambaran program Nona
bersama Neelofa dan Fauzana, tetapi ketika itu saya terpaksa membuka
tudung.
"Kemudian, di sebelah petang pula Sharnaaz mengajak saya untuk
berbuka puasa bersama peminat-peminatnya dan ketika sedang bersiap,
tiba-tiba sahaja saya ambil tudung dari almari dan pakai terus. Ketika
itu saya dah rasa sudah sampai masanya untuk diri ini berubah," katanya
yang dihubungi mStar Online di sini Isnin.
Tambah Shila, kekasihnya, Sharnaaz tidak sangka perubahan drastik yang dilakukannya namun gembira dengan imej terbaru itu.
Dalam pada itu, ibunya juga ingin kepastian adakah benar keputusan
yang dibuat itu kerana risau jika Shila akan membuka semula tudungnya
pada masa akan datang.
"Apabila memberitahu hasrat ingin bertudung kepada ibu, banyak kali
dia tanya, adakah saya yakin dengan keputusan ini kerana apabila dah
pakai, kita tak boleh nak buka semula tudung sehingga mati.
"Alhamdulillah, memang saya ingin berubah dan mahu menjadi insan yang
lebih baik daripada sebelum ini. Malah, saya mula berubah sedikit demi
sedikit dengan mengubah cara pemakaian yang lebih sopan," ujarnya.
Sementara itu, walaupun tampil dengan imej berkenaan, Shila tetap
meneruskan kariernya sebagai seorang penyanyi dan bakal muncul dengan
album terbaru pada awal tahun depan.
"Saya masih lagi menyanyi, tetapi tak adalah nak menari sakan macam
dahulu. Pemilihan lagu pula lebih ke arah balada dan pop. Semoga
perubahan diri ini membawa keberkatan yang lebih bermakna," tuturnya.
Foto milik Shila amzah diambil di laman Twitter miliknya.
Ulasan
Catat Ulasan