Filem kontroversi: Pemuda Pas pelawa Pemuda Umno sertai protes Jumaat ini

Filem kontroversi: Pemuda Pas pelawa Pemuda Umno sertai protes Jumaat ini
JAMILAH HAMZAH
17 September 2012
Innocence of Muslims
Sebahagian paparan skrin yang menunjukkan klip filem di YouTube tidak dapat diakses oleh pengguna di Malaysia.
SHAH ALAM - Pemuda Pas pula mengajak sayap pemuda Umno dan seluruh umat Islam agar menyertai pihaknya dalam bantahan terhadap filem kontroversi Innocence of Muslims  di ibu negara, Jumaat ini.

Setiausaha Pemuda Pas, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, soal jemputan tidak timbul tetapi mahu semua menyertai bersama bagi menunjukkan keprihatinan dalam isu tersebut.

Menurutnya, Pemuda Pas telah mengambil langkah awal berhubung isu tersebut dan kelmarin, wakil Pemuda Umno ada menghubunginya bagi membincangkan perkara berkenaan.

"Saya ada dapat panggilan daripada pejabat Pemuda Umno dan mereka memang ada mengajak untuk bersama dalam bantahan yang akan diadakan namun tarikhnya tidak dimaklumkan.

"Tapi kalau Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin turut mahu buat perkara sama, kita tak kisah... marilah bersama berkumpul di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) nanti.

"Kita perlu ketepikan soal politik ini pada masa ini kerana ia membabitkan soal agama Islam," katanya kepada Sinar Harian Online petang semalam.

Laporan Bernama semalam memetik Khairy berkata, pihaknya bercadang mengadakan bantahan besar-besaran Jumaat ini.

Bagaimanapun tempat dan kaedah belum ditetapkan, kata Khairy.

Sehubungan itu, Khairy turut mengalu-alukan Pemuda Pas untuk bersama dengan mereka. Khairul turut berkata, cadangan Khairy itu adalah sama dengan tindakan yang hendak diambil Pemuda Pas minggu ini.

Justeru katanya, tidak timbul sama ada pihaknya menolak atau pun menerima pelawaan Pemuda Umno.

"Kita perlu tolak sentimen politik, mari kita, seluruh umat Islam, bersama menentang penghinaan ke atas agama dan Nabi junjungan kita," katanya lagi.

Ulasan