Kain rentang misteri yang digantung di sekitar Kluang yang tidak diketahui siapa penganjurnya.

Kain rentang misteri
Wartawan Sinar Harian
26 September 2012
Khairul Faizi Ahmad Kamil
Kain rentang misteri yang digantung di sekitar Kluang yang tidak diketahui siapa penganjurnya.

KLUANG - Pas Kluang menggesa polis menyiasat kain rentang berkaitan ceramah Pas Pengkhianat Islam yang akan diadakan di tapak pasar malam Kampung Melayu, dekat sini, pada 30 September ini.

Kain rentang tersebut dipercayai digantung di beberapa lokasi di sekitar daerah ini sejak tiga hari lalu.

Yang Dipertua Pas Kluang, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, yang menjadi persoalan adalah di kain rentang berkenaan tidak ada dicatatkan nama penganjur bagi ceramah tersebut.

“Adakah ceramah itu hanya satu provokasi ataupun sememangnya akan berlangsung tidak dapat diketahui kerana kami tidak dapat menghubungi penganjurnya,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang, di sini, semalam.

Menurutnya, kain rentang tersebut digantung tanpa mempunyai cop kebenaran daripada MPK dan ini adalah satu kesalahan kerana tidak mendapat kebenaran daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu.

“Walhal, ramai juga yang bertanya kepada saya mengenai ceramah tersebut tetapi saya sendiri tidak mengetahui siapa yang menganjurkannya.

“Justeru itu, saya bertindak membuat laporan polis pada hari ini (semalam) dengan harapan agar polis dapat menyiasat segera kain rentang dan ceramah yang bakal diadakan itu.

“Dengan laporan polis ini juga, Pas Kluang memohon agar MPK segera bertindak terhadap kain rentang tersebut sebagai satu langkah membuktikan MPK tidak berkompromi dengan pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Ulasan