Istihar Harta : Langkah Pemuda PAS Mendapat Sokongan

PAS Selangor turut umum deklarasi harta calon PRU

SHAH ALAM: Nampaknya cadangan Pemuda PAS untuk membuat deklarasi harta semakin mendapat sambutan di semua peringkat PAS.

Terkini, PAS Selangor turut mengumumkan bahawa akan memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Pemuda PAS yang bercadang untuk membuat deklarasi harta di kalangan exconya, walaupun tidak semuanya menjadi calon pilihanraya.

Pesuruhjaya PAS Selangor Dr Rani Osman (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata cadangan Pemuda PAS itu amat baik dan perlu disokong.

“Calon PRU-13 PAS Selangor juga akan turut serta membuat deklarasi harta untuk dinilai rakyat dan melawan Umno,” kata beliau.

Jumaat lepas, Dewan Pemuda PAS Malaysia mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

“Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS,” katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Cadangan tersebut disambut baik oleh Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali dan Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mustafa berkata cadangan Pemuda PAS ini menunjukkan keprihatinan mereka untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

Manakala, Tuan Ibrahim yang juga selaku Pesuruhjaya PAS Pahang mengumumkan bahawa calon PRU13 PAS Pahang akan turut serta membuat deklarasi harta.

“Pemimpin dan calon-calon PAS harus diketengahkan secara telus dan berwibawa untuk melawan pihak lawan yang suka berlindung. Deklarasi harta ini membuka peluang kepada rakyat untuk memilih dengan penuh jelas dan tanpa was-was calon-calon yang bakal mewakili mereka di Dun dan di parlimen,” kata Tuan Ibrahim.

Bagi Mustafa, beliau percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.
Harakahdaily.net

PAS sambut baik Pemuda PAS mahu isytihar harta

KUALA LUMPUR: Cadangan Dewan Pemuda PAS untuk membuat pengisytiharan harta pimpinan masing-masing disambut baik oleh Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Bercakap kepada Harakahdaily, Mustafa berkata beliau mengalu-alukan keprihatinan Pemuda PAS untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab dalam mengambil inisiatif untuk membuat pengisytiharan harta sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.
“PAS sudah mengamalkan hal ini secara dalaman yang melibatkan penjawat awam seperti menteri besar dan exco. Bagus untuk perkara ini jika dibuat secara terbuka,” katanya sambil memuji keberanian Pemuda PAS mengambil langkah sedemikian untuk meningkatkan kewibawaan parti.

Bagi cadangan untuk calon mengisytiharkan harta, Mustafa percaya cadangan Pemuda PAS akan diteliti oleh para pimpinan PAS untuk melihat mekanisme terbaik yang perlu diambil ke arah merealisasikan hasrat tersebut.

Semalam, Dewan Pemuda PAS Pusat mengumumkan bahawa kesemua exconya bakal melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang.

Setiausahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata perkara tersebut akan diputuskan dalam mesyuarat terakhir menjelang muktamar dewan tersebut.

“Kemungkinan besar akan ada majlis pengisytiharan harta itu pada muktamar kali ini. Dengan harapan ia akan merintis kepada semua pimpinan PAS,” katanya pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, semalam.

Langkah tersebut, katanya bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak.

Penganalisa politik Harakahdaily Li Fook Gao berkata sekiranya PAS dapat mewajibkan pengisytiharan harta pada semua calon PAS yang bertanding, Umno akan sangat tertekan dan gelombang PAS menggantikan Umno akan menjadi realiti.

“Maklumlah Umno suka hidup dalam keadaan tidak telus. PAS boleh melawannya dengan berkesan dengan ketelusan yang disarankan Islam, dan rakyat boleh menilai siapa yang lebih berwibawa, beramanah dan telus untuk dipilih sebagai wakil rakyat mereka,” kata Li kepada Harakahdaily.

“Ini satu langkah besar untuk PAS,” kata Li, sambil menegaskan langkah itu amat wajar dan selaras dengan keperluan rakyat Malaysia dan negara, yang kini amat memerlukan para pemimpin yang telus untuk memimpin.

Ia berbeza dengan pemimpin Umno yang berdolak-dalih dalam isu derma RM40 juta, mendapat projek kerajaan seperti NFC dan menerima komisyen secara diam-diam.

Harakahdaily.net

Isytihar harta: Pemuda PAS putus Rabu ini 

Hazayani Zakaria, 
12 Nov 2012 KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia akan membincangkan mekanisme pengisytiharan harta kepimpinan pemuda dalam mesyuaratnya pada Rabu ini. 

Ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, perkara tersebut akan diputuskan secara muktamad dalam mesyuarat terakhir sebelum muktamar DPPP, Khamis ini. "14 haribulan ini pemuda akan bermesyuarat untuk memutuskan perkara ini secara muktamad. 

"Ini satu lontaran idea yang baik jadi kita akan bincang dari segi mekanisme dan sebagainya," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily hari ini. 

Beliau berkata, mesyuarat tersebut akan memutuskan sama ada pengisytiharannya akan dibuat sewaktu muktamar DPPP atau tidak. 

"Mesyuarat akan memutuskan sama ada akan isytihar waktu muktamar atau tidak," katanya lagi. 

Jumaat lalu, DPPP mengumumkan, kesemua exconya akan melakukan pengisytiharan harta pada muktamar dewan itu di Kelantan 15 November ini walaupun tidak semua di kalangan mereka tersenarai sebagai calon pilihan raya akan datang. 

Langkah tersebut, kata Setiuasahanya, Khairul Faizi Ahmad Kamil bertujuan menunjukkan ketelusan barisan kepimpinan Pemuda PAS Pusat, biarpun mungkin tidak semua dicalonkan pada pilihan raya umum kelak. 

Pengumuman itu disambut baik Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali. 

Mustafa berkata beliau mengalu-alukan keprihatinan Pemuda PAS untuk telus, terbuka dan bertanggungjawab dalam mengambil inisiatif untuk membuat pengisytiharan harta sejajar dengan prinsip ketelusan dan kebertanggungjawaban yang disarankan Islam.

Ulasan