JAGA SENSITIVITI AGAMA ISLAM
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM)
memandang serius tindakan beberapa individu yang menggunakan medium
laman sosial seperti Facebook untuk menghina Nabi Muhammad SAW dan
meyebarkannya kepada masyarakat. DPPM menganggap tindakan individu
terbabit telah menghina dan mengguris perasaan penganut agama Islam
keseluruhannya.
Justeru, DPPM bersetuju dengan langkah yang diambil oleh Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta pihak polis untuk menangkap individu terbabit dan mengheret mereka ke mahkamah. Soal menghina Nabi Muhamamd SAW adalah suatu perkara yang serius dan kerajaan tidak boleh berkompromi atau berdiam diri dengan membiarkan Nabi Muhammad SAW dipersenda oleh penganut agama lain atau penganut agama Islam sendiri. Mereka ini perlu diadili dan dijatuhkan hukuman setimpal dengan kesalahan yang mereka lakukan.
DPPM juga menasihatkan rakyat di negara ini agar menjaga sensitiviti agama lain. Menghormati budaya dan amalan agama adalah suatu perkara yang dipuji dan dianjurkan bagi memelihara keharmonian rakyat di negara ini. Islam mengajar penganutnya menghormati agama lain dengan tidak memburuk-burukkan atau mempersenda agama lain dan sebegitu juga Islam melarang penganut agama lain mempersenda agama Islam. Nabi Muhammad SAW adalah manusia terpilih yang diangkat oleh Allah SWT menjadi Rasul dan baginda mempunyai sifat maksum (tiada cacat cela). Tidak boleh sesiapa juga makhluk di dunia menghina Nabi Muhammad SAW kerana ia bererti juga menghina Allah SWT serta menghina agama Islam.
Dalam pada itu, DPPM berharap kerajaan tidak mengharamkan penggunaan laman Facebook, twitter dan lain-lain kerana ia adalah medium yang mudah untuk berkomunikasi, menyampaikan maklumat serta menyebarkan isu semasa. Disebalik perkara negatif yang disebarkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, masih banyak ruang positif yang boleh dimanfaatkan melalui facebook dan laman sosial yang lain termasuk aspek berdakwah dan menyebarkan kebaikan Islam kepada masyarakat.
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda PAS Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan