KENYATAAN MEDIA
DEWAN PEMUDA PAS MALAYSIA
KEKECEWAAN TAN SRI ABDUL AZIZ PERLU
DITEBUS DENGAN PENGUNDURAN
(18 Jun 2013)
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof akhirnya
meluahkan rasa kekecewaan mengenai isu dakwat kekal. Meskipun beliau tidak
menjelaskan apa yang dikecewakan mengenai dakwat kekal itu, namun dapat dilihat
ia berkaitan dengan penggunaan dakwat yang tidak kekal yang menjadi polemik
rakyat.
Setelah
ribuan laporan polis dibuat, ratusan ribu rakyat meluahkan rasa marah, kecewa
dan kesal, malah pelbagai siri himpunan raksasa diadakan termasuk perhimpunan
terbesar pada 22 Jun 2013 bagi membantah penipuan SPR kerana penggunaan dakwat
yang tidak kekal, baru kini Pengerusi SPR meluahkan rasa kecewa berhubung
penggunaannya.
Tan Sri Abdul
Aziz seperti mengakui bahawa penggunaan dakwat kekal dalam PRU ke 13 adalah
kegagalannya dan kegagalan SPR keseluruhannya. Penggunaan dakwat kekal adalah
perkara paling asas dalam tuntutan rakyat berhubung penambah baikan PRU ke 13.
Itupun gagal ditunaikan dengan baik dan ia menjadi titik tolak kepada lebih
banyak kepincangan yang berlaku kemudiannya. Seolah-olah, dakwat kekal adalah
pintu kecurangan kepada penipuan terbesar yang tergambar dengan jelas melalui
petisyen yang dikemukakan oleh banyak pihak.
Kekesalan
Tan Sri Abdul Aziz sudah terlambat dan tidak berguna lagi. Ibarat susu yang
tumpah tanah, insiden penipuan dalam PRU ke 13 sudah berlalu dan Malaysia
mencatat sejarah antara negara yang berada dalam senarai demokrasi hitam di
negara ini. Belum pernah dalam sejarah, petisyen PRU di failkan sebanyak ini menandakan
semua pihak bersetuju berlaku penipuan semasa PRU. Sedikit kesilapan SPR sudah
mengubah landskap politik negara, menyebabkan rakyat menjadi kecoh, berlaku
perselisihan antara parti-parti politik, agensi kerajaan seperti SPR pula sudah
tidak dipercayai lagi manakala negara Malaysia dilabel antara negara yang gagal
melaksanakan sistem demokrasinya secara adil dan telus.
Langkah
terbaik meluahkan kekecewaan Tan Sri Abdul Aziz adalah dengan mengundurkan
diri serta merta. Tidak ada gunanya
beliau mempertahankan jawatannya kerana kegagalan beliau terlalu besar untuk
ditebus dengan kekecewaan dan kekesalan. Berundur secara terhormat lebih baik
dari diundurkan rakyat secara paksa.
KHAIRUL
FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda
PAS Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan