Teliti undang-undang Internet untuk dikuatkuasa di Malaysia (Untuk Bacaan)
KUALA LUMPUR, 14 Jun – Ramai yang setuju supaya kerajaan
mencari jalan penyelesaian kepada penyalahgunaan media sosial dan
Internet melalui undang-undang baru atau mengemaskini undang-undang
sedia ada.
Namun ramai juga yang mencadangkan supaya faktor budaya masyarakat
negara ini juga perlu diambil kira dan tahap kesesuaian undang-undang
Internet di Barat perlu diteliti sebelum boleh digunapakai.
Sensitiviti
kaum, nilai sejarah, tahap pendidikan dan kesediaan warga Malaysia
menerima undang-undang ini perlu terlebih dahulu dititikberatkan.
Dekan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Prof Dr Azizul Halim Yahya berkata di Amerika Syarikat
misalnya, walaupun rakyat bebas bersuara baik di alam maya dan realiti,
namun mereka masih terikat dengan pelbagai akta yang menjaga dan
melindungi mereka seperti Akta Hasutan, Akta Buli dan Pencerobohan
Privasi.
Masyarakat negara itu perlu berhati-hati ketika berkata-kata sehingga
boleh membezakan yang mana satu gurauan dan yang mana perkara serius
terutama jika melibatkan isu negara, presiden dan sebagainya.
“Contoh lain, jika buat fitnah, orang yang difitnah itu boleh lawan
tuduhan (jika fitnah itu palsu) dan jika mereka yang buat fitnah
didapati bersalah, mereka boleh dikenakan hukuman,” katanya.
“Namun perkara ini jarang berlaku di Malaysia. Sesetengah rakyat kita keliru dengan isu fitnah atau perihal Akta Hasutan.”
Beliau berkata seharusnya kebebasan bersuara perlu datang dengan rasa
tanggungjawab termasuk bersedia untuk dihadapkan ke mahkamah.
Baru-baru ini, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad
Shabery Cheek dilaporkan berkata kerajaan akan melihat peraturan
Internet di tiga Negara – Amerika Syarikat, Britain dan Australia –
dalam usaha membendung penyalahgunaan media sosial di negara ini.
Internet di Amerika Syarikat dikawal selia oleh satu set
undang-undang di sebalik ia mengamalkan kebebasan bersuara terhadap
persekutuan dan negeri.
Pihak berkuasa boleh merampas domain profil pengguna dan komputer
tanpa notis dan mampu menyebabkan laman web tidak dapat meneruskan
operasi.
Di Australia, kandungan Internet dikawal selia Australian
Communications and Media Authority (ACMA) yang mempunyai kuasa untuk
menguatkuasakan sekatan pada kandungan Internet dalam negara.
Pihak berkuasa negara itu juga boleh menyenarai hitam laman web luar negara selain menapis perisiannya.
Tumpuan sekatan terutamanya kepada pornografi kanak-kanak, keganasan
seksual, dan aktiviti haram yang lain yang dilakukan hasil proses aduan
pengguna.
Di Britain pula penapisan Internet termasuk menyekat akses kepada
laman web, menguatkuasa undang-undang jenayah penerbitan atau pemilikan
bahan tertentu, termasuk, fitnah, hak cipta, hasutan keganasan dan
pornografi kanak-kanak.
Internet Watch Foundation (IWF) ditubuhkan untuk menyusun dan
mengekalkan satu senarai hitam, terutamanya URL pornografi kanak-kanak,
maka 98 peratus daripada pelanggan Internet komersil di negara itu
ditapis.
Sesuaikan dengan budaya
Azizul berkata negara ini telah mempraktik dan mengguna pakai
undang-undang yang hampir sama dengan Britain seperti Akta Hasutan 2013
Britain (yang baru) namun negara tersebut lebih cekap dan pantas
mengambil tindakan kerana telah lama melaksanakannya.
Di Malaysia sudah terlalu banyak kes fitnah baik di alam maya dan
realiti sehingga tidak tahu di mana asas dan hujung pangkalnya.
Jadi cadangannya ialah pihak berkuasa perlu ambil tindakan cepat dan
jangan bertolak ansur dengan mereka yang mengeluarkan kenyataan fitnah
kerana kalau tidak dibendung, keharmonian negara tergugat dan keadaan
boleh menjadi huru-hara, katanya.
Timbalan Pengarah Pejabat Hubungan Industri Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) dan bekas Ketua Jabatan Komunikasi UIA Dr Norbaiduri
Ruslan berkata rakyat di Barat lebih bertanggungjawab dan faham apa hak
mereka termasuk mementingkan kebebasan dan privasi di tahap yang
tertinggi.
“Kita masih belum lagi berpendidikan tinggi (dalam hal ini),”
katanya. “Bila kita sudah sedar hak kita, hak orang lain, maka kita akan
tahu jaga perilaku kita di alam maya dan realiti.
“Kempen kesedaran perlu bermula di peringkat sekolah rendah tentang
bagaimana cara menjaga tatasusila di alam maya dan Internet kerana
ketika ini terlalu banyak pendedahan tetapi kita kurang dan tidak kuat
spiritual, personaliti dan lemah psikologi.
“Jika kita terlalu ingin sama tahap dengan negara maju, kita akan kehilangan budaya kita,” katanya.
Didik rakyat Malaysia
Norbaiduri berkata masyarakat Malaysia perlu dididik dan
diperjelaskan apa hak mereka ketika berada di media sosial dan bukan
sewenang-wenangnya bersuara tanpa batasan dan mengabaikan undang-undang
sedia ada.
Pengamal Undang-Undang Khairul Azam Abd Aziz berkata seseorang
penulis termasuk dalam dunia maya perlu bertanggungjawab terhadap
sebarang bentuk penulisannya dan bersedia menerima hukuman.
“Kalau penulisan membina, tidak perlu takut, tetapi jika mengganggu
gugat ketenteraman awam, suatu bentuk peraturan harus dipatuhi,”
katanya.
Seorang blogger yang hanya mahu dikenali sebagai Hazrey berkata
kerajaan perlu mengkaji semula akta sedia ada berkaitan sosial media
demi masa depan generasi mendatang.
“Penyalahgunaan media sosial semakin berleluasa, anak muda tidak
terkecuali. Apabila orang dewasa sudah buat sesuatu sesuka hati tanpa
usul periksa semata-mata kerana menaruh perasaan geram, ia akan menjadi
ikutan.
“Di peringkat kanak-kanak akan timbul masalah pembuli siber,” katanya. – Bernama
Ulasan
Catat Ulasan