Kadar Perceraian Semakin Tinggi Di Kalangan Muslim Malaysia

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
 
Apabila Syawal menjelma, sudah pasti menjadi kewajipan dan kelaziman umat Islam khususnya di kalangan orang Melayu akan pulang ke kampung untuk bertemu dan bersalaman dengan ayah bonda dan sanak-saudara, saling bermaaf-maafan dan memperkukuhkan silaturahim dengan aktiviti kunjung-mengunjung sesama keluarga serta jiran tetangga.

Ikatan kekeluargaan cukup penting bagi memastikan keharmonian yang bakal dirasai dan dikecapi akan tercapai. Jika tidak maka tidaklah bermakna idilfitri yang diraikan nanti. Pagi ini, saya terbaca satu berita yang disiarkan oleh malysiakini.com berkaitan dengan kes perceraian yang melibatkan orang Islam di mana statitik telah menunjukkan bahawa setiap satu jam terdapat 3 pasangan muslim yang bercerai.

Sudah pasti ia adalah berita yang tidak mengembirakan kita pada hari kedua dalam bulan Syawal ini. Mengikut statistik yang dikeluarkan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) seperti mana yang pernah dibentangkan di Parlimen, jumlah penceraian semakin meningkat pada setiap tahun.

Statistik Perceraian Umat Islam di Malaysia adalah seperti berikut :- 

Tahun 2000 - 13,536
Tahun 2001 - 13,187
Tahun 2002 - 13,841
Tahun 2003 - 15,543
Tahun 2004 - 16,509
Tahun 2005 - 17,708
Tahun 2006 - 21,419
Tahun 2007 - 20,529

(Sumber: JAKIM dan Jabatan Pendaftaran Negara)

Tahun 2010 pula telah mencatatkan sebanyak 28,035 pasangan bercerai sepanjang tahun lalu yang membawa makna statistik ini menunjukkan secara purata 77 kes perceraian sehari atau tiga kes bagi setiap jam didaftarkan di Malaysia berbanding 135,548 pasangan yang berkahwin tahun yang sama. 

Ia telah mencatatkan peningkatan 144 kes berbanding 27,891 pasangan yang bercerai sepanjang tahun 2009. Sebab apa kadar penceraian semakin galak dan meningkat?

 Sudah tentu kita sukar untuk menemui jawapan yang tepat kerana setiap penceraian mempunyai alasan yang tersendiri namun saya percaya ia perlu diberi perhatian oleh semua pihak agar kadar penceraian dapat dikurangkan pada kadar yang lebih rendah dari tahun ke tahun. Saya suka membawa pembaca untuk melihat kepada tujuan asal sebelum perkahwinan itu berlaku. Menulis perkara ini juga memerlukan kekuatan kerana saya juga adalah mereka yang berkecenderungan ke arah itu jika asas kepada tujuan perkahwinan tidak diberikan perhatian dengan serius. 

Melaksanakan perkahwinan diibaratkan seperti membina masjid, bukannya membina sebuah reban ayam atau pun kandang kuda. Kenapa digambarkan seperti itu? Kerana, masjid adalah pusat kesatuan ummah dan pusat mengerjakan ibadah. Masjid juga adalah institusi yang berketuakan Imam dan berpengikutkan makmum. Masjid adalah tempat yang mulia dan apabila membina masjid maka janganlah sampai satu masa nanti masjid itu diruntuhkan dengan sewenang-wenangnya. 

Namun, hakikatnya di Malaysia ini, setiap 20 minit akan ada 'sebuah masjid diruntuhkan' oleh para pasangan suami isteri muslim. Sebab itu, adalah amat perlu bagi semua pasangan muslim yang mahu mendirikan perkahwinan benar-benar memahami erti sebenar 'membina sebuah masjid'. Walaupun ada kajian yang menunjukkan bahawa faktor terbesar penceraian adalah disebabkan faktor kewangan, faktor keserasian, faktor campur tangan pihak ke tiga, faktor perbezaan budaya, faktor seksual, faktor kerjaya dan beberapa faktor lain namun saya percaya bahawa kesemua faktor itu dapt diselesaikan dan diatasi sekiranya masing-masing dapat memahami konsep membina sebuah masjid. 

Setiap masalah pasti ada jalan penyelesaiannya, carilah jalan itu bersama-sama dengan penuh keazaman kerana anda mampu untuk mengelakkan kadar penceraian dan ia bermula dengan anda dan pasangan anda. 

Wassalam. 

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil. 
Felda Moakil, Labis. 
10 Ogos 2013, 12.38 malam. 

 Terus berjuang!

Ulasan