Segarkan XPDC Dakwah Di Semua Peringkat!

Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,
1. Alhamdulillah, XPDC Dakwah (Preaching of Islam Expedition) yang dirancang telah berjaya dilaksanakan. Jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan XPDC ini walaupun pemberitahuannya agak lewat.

 

2. Saya tiba di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) lebih kurang pukul 5 petang, menggunakan perkhidmatan LRT sebelum bersambung dengan perkhidmatan Monorel daripada Stesyen Hang Tuah ke Stesyen Maharajalela.
 

3. Ketika mula menaiki monorel, saya mula terasa 'bahang' apabila segerombolan manusia berbaju hitam begitu teruja untuk ke Stdium Merdeka, tidak sabar untuk menatapi kumpulan muzik kesayangan mereka sejak sekian lama.
 

4. Sempat saya bertegur sapa dan bertanya ke mana hala mereka. Ada di antara mereka yang berkata bahawa ada kumpulan yang akan protes konsert Metallica ini dan beliau berkata kepada saya "Tengok la nanti, siapa protes siapa" yang saya percaya bahawa ia ditujukan kepada XPDC yang kami akan laksanakan pada petang itu.
 

5. Tak kala tiba di perkarangan stadium, ribuan peminat setia kumpulan Metallica sedang memenuhi perkarangan stadium untuk menunggu pintu masuk dibuka. Rata-rata di kalangan mereka ini berusia seperti saya, ada yang tua sedikit tetapi sukar untuk melihat golongan remaja berlegar-legar di stadium.
 

6. XPDC Dakwah bermula sekitar pukul 6.00 petang, ditemani oleh sdr Sany Hamsan (Pengarah Pilihan Raya DPPM), sdr Kamaruzaman Mohamad (Ketua DPPWP), sdr Suhaimi Aziz (Timbalan Ketua DPPWP) sdr Yusapiza Yaakob (Ketua Penerangan DPPWP) dan ramai lagi Pemuda-pemuda daripada WP dan Selangor. Saya jangka ia tidak kurang daripada 50 orang kesemuanya.
 

7. Fokus XPDC Dakwah pada kali ini adalah berkaitan dengan isu yang sedang melanda di Mesir pada ketika ini. Kerana itu, risalah yang diedarkan pada petang tadi tertulis: "If you can pay RM195 for Metallica, why not share some to help Egyptians?""Jika kamu dapat bayar RM195 untuk Metallica, kenapa tidak berkongsi sama membantu rakyat Mesir?". Itu tiket yang paling murah, bagaimana pula dengan pembeli tiket yang berharga RM 380 atau RM 680?
 

8. Namun, jika mereka tidak mampu untuk menderma maka paling tidak pun mereka boleh berdoa untuk rakyat Mesir. "Or At Least Pray For Egypt" (atau sekurang-kurangnya berdoa untuk Mesir).
 

9. Pada awalnya, sukar juga untuk memulakan XPDC ini kerana mungkin sudah ada tanggapan bahawa kehadiran kami adalah sebagai 'penggugat ketenteraman awam' namun apabila risalah telah berada di tangan mereka maka ia dapat diterima dengan baik. Ada penerima risalah berkata secara spontan kepada saya, "Insya Allah saya akan bantu mereka nanti, tahniah Pemuda PAS buat aktiviti macam ini".
 

10. XPDC Dakwah ini akan disegarkan semula dalam diari Pemuda PAS di semua peringkat. Ia perlu dirutinkan kembali agar konsep dakwah yang pernah dipelopori oleh As-Syahid Imam Hassan Al-Banna berdakwah sehingga ke kelab malam dapat diteruskan seperti mana rutinnya usrah Pemuda pada ketika ini.
 

11. Target terdekat selepas ini, Malam Ambang Merdeka 2013. Pemuda PAS kawasan perlu bersiap sedia untuk XPDC ini. Kita turun beramai-ramai di seluruh negara!
 

Sekian, wassalam.
 

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, KL
22 Ogos 2013, 1.19 pagi.


Terus berjuang!

Ulasan