Menjelang himpunan 'menyambut' Barack Obama – Bah. 1

Menjelang himpunan 'menyambut' Barack Obama – Bah. 1

., 23 Sep 2013


Ketelusan Transaksi Program Pembelian Pesawat Tempur F/A 18 ATM.

1. Kehadiran Presiden AS ke Malaysia pada 11hb. Oktober kelak bukanlah untuk berlibur. Memetik kenyataan sumber Rumah Putih, kehadiran Obama adalah untuk mengukuhkan hubungan dua hala antara ke-dua-dua buah negara, sekaligus memberi petanda wujudnya beberapa inisiatif besar yang telah sekian lama dirancang dan mungkin akan dimuktamadkan.  Tekad Obama adalah untuk meningkatkan nilai eksport AS sebanyak 2 kali ganda pada akhir terma pentadbirannya. Kekuatan industri pertahanan AS dan program penjualan senjata adalah di antara strategi utama beliau.

2. Mengambilkira perkembangan mutakhir serta lawatan kerja 3-hari Setiausaha Pertahanan AS Chuck Hagel bermula 24hb Ogos tempoh hari, Dewan Pemuda PAS menjangkakan pembelian pesawat tempur Boeing F/A 18 untuk TUDM akan dimasukkan ke dalam agenda lawatan beliau.

3. Pada harga tersenarai, sebuah Super Hornet dianggarkan berjumlah USD 52 juta. Malaysia dijangka akan membeli sehingga 18 pesawat tempur walaupun mungkin tidak kesemuanya dari Boeing.

4. Pembelian pesawat tempur F/A18 ini jika dimuktamadkan akan berlangsung ketika wujudnya keraguan mengenai ketelusan proses pembelian senjata yang diuruskan kerajaan pula  disifatkan oleh sebuah NGO sebagai berisiko rasuah.

5. AS yang mempunyai mempunyai kod amalan perdagangan telus yang ketat dan urusniaga senjata dipantau pula oleh jawatankuasa Senat  seharusnya peka dengan perkembangan ini dan menilai semula program penjualan senjatanya kepada Malaysia.

6. Di dalam hal ini, AS mempunyai tanggungjawab moral untuk memastikan integriti transaksi AS – Malaysia bersandarkan kepada piawaian nilai yang telah mereka tetapkan sendiri. Ini termasuklah pematuhan kepada Foreign Corrupt Practices Act (FCPA).

7. Dari perspektif kepentingan nasional pula, kita juga mempersoalkan kewajaran pemilihan F/A 18 yang programnya besar kemungkinan akan ditamatkan pada tahun 2015 jika tidak kerana kontrak dari Malaysia ini.

8. Apakah kerajaan telah membuat keputusan terbaik mengambilkira perbandingan kos dan kelangsungan teknologi bagi memenuhi keperluan multi-role combat aircraft (MRCA) negara?

9. Berdasarkan kepada pengalaman terdahulu; dari pembelian kapal selam, pesawat MIG29  sehinggalah kontrak kapal frigat, kesemuanya merekodkan permasalahan bajet dan teknikal.

10. Maka di dalam kes pesawat tempur F/A 18 ini, rakyat Malaysia berhak menuntut penjelasan lanjut mengenai program pembeliannya  agar ianya tidak sekadar menjadi bahan perhubungan awam yang gah ketika kunjungan singkat Presiden AS tetapi akhirnya mendatangkan kerugian kepada negara bertahun lamanya.

Nasrudin Hassan
Ketua Pemuda PAS Malaysia
merangkap Ahli Parlimen Temerloh

Ulasan