(8 Oktober
2013)
Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) mahu Perdana Menteri
mengotakan janjinya dengan berusaha menjadikan rasuah sebagai sebahagian
daripada perkara yang sudah berlalu bagi Malaysia, bukan suatu amalan akan
datang.
Tidak pasti sama ada PM benar-benar ikhlas bercakap soal
memerangi rasuah atau tidak. Apa yang diharapkan, ucapannya lahir dari hati
yang ikhlas dan ditunaikan dengan tindakan susulan yang agresif. DPPM tidak
mahu PM hanya berjanji dan berilusi bahawa Malaysia bebas rasuah, sedangkan di
dalam negara ini sarat dengan pemimpin korupsi dan rasuah yang dilakukan secara
terang-terangan. Sebelum ini PM banyak beretorik dengan pelbagai slogan dan
janji manis setinggi langit namuan pengisiannya hampas sama sekali.
DPPM melihat dalam keadaan sekarang, rasuah tidak mampu
di kekang mahupun dibanteras seperti yang dihasratkan. Keyakinan rakyat
berdasarkan kepada prestasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM)
selama ini tidak begitu membanggakan. Kuasa SPRM terlalu terbatas dan hanya
bergerak pada sudut yang sempit sahaja.
Yang diketahui adalah pemimpin atau pegawai bawahan
diambil tindakan sekiranya mereka didapati terlibat dengan rasuah sedangkan ramai
‘jerung-jerung besar’ yang bebas
bergerak di dalam negara menggunakan kuasa mereka meskipun rakyat mengetahui
bahawa mereka terlibat dengan korupsi atau rasuah.
Justeru itu, DPPM bersetuju dengan saranan Dato’ Mahfuz
Omar bahawa sekiranya benar PM mahu SPRM dijadikan tentera medan hadapan
bertempur dengan rasuah, empat tindakan agresif perlu diambil. Iaitu SPRM
diletakkan di bawah kuasa parlimen di mana Pengerusi SPRM dilantik oleh Yang Di
Pertuan Agong dengan calon-calonnya ditapis oleh Parlimen melalui satu
jawatankuasa khas Parlimen. Kedua, SPRM diberi kuasa untuk mendakwa tanpa
merujuk Peguam Negara. Ketiga, semangat anti rasuah mesti disematkan dalam
kehidupan rakyat Malaysia manakala keempat, UMNO mesti berundur dari tampuk
pemerintahan negara.
Jika PM berani menghapuskan rasuah, ini bermakna PM mesti
berani berhadapan dengan pemimpin parti beliau dan komponennya yang banyak
dipalitkan dengan rasuah termasuk diri dan keluarganya. Soalnya, beranikah
beliau bertegas dengan pemimpin bawahannya dan sanggupkan beliau berlaku adil
kepada rakyat untuk tindakan diambil terhadap diri dan ahli keluarganya sendiri
sekiranya mereka didapati melakukan rasuah?
KHAIRUL
FAIZI AHMAD KAMIL
Setiausaha
Dewan Pemuda
PAS Malaysia
Ulasan
Catat Ulasan