SUHAIZAN DAN KAMARUZAMAN : PENERUS PEJUANGAN PEMUDA PAS.


SUHAIZAN DAN KAMARUZAMAN : PENERUS PEJUANGAN PEMUDA PAS.

Assalamu'alaikum warahmatullah,

Gambar yang saya posting ini adalah potret dua orang sahabat saya dalam Pemuda PAS. Gambar ini saya abadikan semasa mesyuarat terakhir Dewan Pemuda PAS Malaysia di Rantau Panjang baru-baru ini.

Kami berlima (termasuklah sdr Adram Musa dan YB Ustaz Baihaki) adalah RAKAN SEBAYA dan kami menyertai DPPM pada tahun 2005 melainkan Ustaz Baihaki dua tahun selepas itu. Suhaizan saya kenali sejak di UTMKL manakala Kamaruzaman pula apabila mula melibatkan diri dengan aktiviti Pemuda PAS di peringkat Pusat.

Dulu kami adalah 'backdrop team' semasa Zaman Haji Salahudin Ayub, Ustaz Idris Ahmad, Mazlan Aliman, Sabki Yusuf dan lain-lain memimpin Pemuda PAS. Di mana ada sidang media, laporan polis, serahan memorandum maka kami lah yang akan berperanan sebagai 'backdrop' untuk menceriakan suasana.

Di penghujung sesi ini, dengan peraturan baru berkaitan tentang usia Pemuda maka kami yang bertiga lagi dengan segala hormatnya telah dipersilakan untuk melangkah keluar daripada DPPM melainkan Suhaizan dan Kamaruzaman yang tersenarai untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda.

Sacara umumnya, saya melihat kedua-dua sahabat saya ini adalah mereka yang berkemampuan untuk mengemudi DPPM pada sesi yang akan datang walaupun masing-masing mempunyai kelebihan dan kelemahan yang tersendiri.

Kedua-duanya mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi, Suhaizan dengan Sarjana Sains Komputer manakala Kamaruzaman dengan Sarjana Pengurusan. Mengenali perjuangan sejak di Universiti dan terlibat dengan gerakan mahasiswa. Kedua-duanya pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Kawasan dan Negeri (Suhaizan di UTM, Kamaruzaman di UPM).

Kedua-duanya 'pakar' menghimpunkan rakyat dengan pelbagai himpunan di Lembah Klang seperti PPSMI, GMI dan BERSIH. Jika tanya SB, hampir pasti SB sudah 'marking' muka kedua-dua Pemuda ini jika ada ura-ura himpunan aman akan diadakan di sekitar KL.

Bila bertanding jawatan tertinggi maka adakalanya ia akan mengundang rasa hati dan perasaan gundah gulana lebih-lebih lagi akan ada pihak luar yang meng'ajinamoto'kan sesuatu peristiwa.

Hadapi dengan tenang dan letakkan pergantungan kepada Allah kerana apa yang kalian berdua lakukan adalah untuk mendapat Keredhaan daripadaNya dan bagi meneruskan perjuangan Pemuda PAS. Mudah-mudahan ia tidak menghakis ukhwah Islamiah di antara keduanya.

Wassalam.

Khairul Faizi Ahmad Kamil
12 November 2013

Ulasan