Memulakan Tahun 2014 Yang Mencabar!







Assalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Tahun 2013 telah melabuhkan tirainya dengan pelbagai peristiwa suka duka yang cukup panjang lebih-lebih lagi tahun 2013 berlakunya kempen Pilihan Raya Umum ke 13 yang hampir-hampir menyebabkan BN tersungkur dalam sejarah pemerintahan yang panjang.

Tahun 2014 pula digambarkan sebagai 'Tahun Rakyat Terbeban' kerana janji-janji BN ketika menghadapi PRU ke 13 yang penuh lunak dalam pelbagai janji serta kempen menakut-nakutkan orang Melayu khususnya terhadap PR sekarang ini telah ternyata menjadi janji kosong penuh kepalsuan.

Pelbagai kos perkhidmatan dan barangan tidak lagi berselindung untuk dinaikkan. Tol, tarif elektrik, tarif air dan sebagainya seperti sudah tidak termampu untuk dihalang. Semuanya seolah-olah mahu naik secara borong, sedangkan rakyat tercungap-cungap untuk menyediakan wang untuk membayar kos anak untuk ke sekolah.

Bukan saja yuran yang tinggi, kos untuk membeli kasut sekolah, baju, kasut dan beg sekolah meningkat sehingga 20% dalam masa yang singkat. 

Tahun 2014 juga adalah tahun yang mencabar kepada saya untuk lebih cekap dan efektif membahagikan masa dengan sebaiknya. Amanah sebagai Penolong Setiausaha Agong 2 PAS Pusat, Penolong Setiausaha PAS Negeri Johor dan Pengarah Jabatan Arkib PAS Johor, Yang Di Pertua PAS Kawasan Kluang serta beberapa jawatan yang lain perlu dipastikan dapat ditunaikan dengan sebaiknya.

Dalam masa yang sama, saya sedaya upaya untuk menyelesaikan pengajian saya di UM pada tahun ini dengan harapan pada tahun hadapan saya mampu untuk meneruskan pengajian di peringkat PhD, insya Allah.

Perjuangan mesti diteruskan walaupun pelbagai rintangan mendatang.

Wassalam.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Tingkat 2, Pejabat Agong PAS, Jalan Raja Laut KL.

Ulasan