BAHAGIAN KEENAM BELAS : MOTIVASI DALAM ORGANISASI
Assalamu’alaikum
dan salam perjuangan,
Kepentingan motivasi dalam berorganisasi
dilihat sangat penting kerana motivasi diibaratkan sebagai pemangkin untuk
pembangunan diri secara spiritual bagi merealisasikan cita-cita dan harapan
yang dibina. Walaupun ia bukanlah sesuatu kewajipan untuk mewujudkannya namun ia
diibaratkan seperti pemberi semangat kepada pekerja dan petugas untuk
melaksanakan tugas mereka dengan jayanya.
Di dalam organisasi PAS, saya kategorikan
tiga kumpulan yang dilihat sebagai pekerja atau petugas parti. Pertamanya, ahli
PAS yang bertugas secara sepenuh masa di dalam pentadbiran PAS, keduanya ahli
PAS yang bekerja secara sebahagian masa dan yang ketiganya adalah ahli PAS yang
bertugas sebagai Murobbiton . Kumpulan pertama adalah mereka yang bekerja di
pelbagai sektor dalam parti seperti pegawai pentadbiran di Pejabat Agung PAS
atau pejabat pentadbiran di seluruh negara, pegawai kepada lajnah atau jabatan.
Kumpulan kedua iaitu kumpulan teramai dalam parti iaitu petugas separuh masa
yang berada di semua bahagian organisasi PAS. Golongan ini terdiri daripada
mereka yang mempunyai karier sendiri namun sebahagian masa mereka diperuntukan
untuk menggerakkan parti di pelbagai sektor. Kumpulan ketiga adalah kumpulan ‘murobbiton’
yang bekerja tanpa gaji atau elaun yang tetap tetapi golongan ini memberikan
masa mereka kepada gerakerja PAS.
Pembahagian tiga kumpulan ini adalah dengan
tujuan untuk memudahkan kita memahami kaedah yang bersesuaian untuk
memotivasikan mereka dalam ruang lingkup yang sesuai dengan mereka.
Motivasi perlu dibina kerana ia tidak
datang dengan sendirinya. Memupuk motivasi secara berterusan akan menjadikan
motivasi kerja semakin meningkat dan akhirnya menjadikan pekerjaan sesuatu yang
bermakna dalam kehidupan.
BILA
MOTIVASI BERMULA
Proses
motivasi bermula apabila seseorang itu mula mengenalpasti keinginan atau
keperluannya. Apabila wujud keinginan atau keperluan ini, ketidakseimbangan
dalam dirinya akan terhasil. Ketidakseimbangan ini adalah dorongan yang
akhirnya membentuk suatu motif atau matlamat. Seseorang cuba mengurangkan
ketidakseimbangan tersebut melalui tindakan yang dapat memenuhi motifnya.
Seperti yang telah dijelaskan bahawa pekerja yang
bermotivasi adalah aset kepada organisasi. Sebaliknya, pekerja yang tidak
bermotivasi adalah bebanan kepada organisasi. Mereka menjadi barah
yang akan turut mempengaruhi pekerja lain mengikut perangai negatif itu.
Motivasi adalah pencetus atau pemangkin kepada
kecemerlangan pekerja dan seterusnya memberi kesan baik kepada seluruh
organisasi. Soal motivasi kerja perlu diberi perhatian oleh setiap
organisasi. Kita perlu sedar bahawa kejayaan organisasi bergantung juga
kepada keupayaan pekerja melaksanakan tugas yang telah ditetapkan mengikut
standard dan spesifikasi.
Islam juga meletakkan motivasi sebagai salah satu
perkara untuk mendorong seseorang meningkatkan tugas dan kerja yang diberikan.
Tiga perkara yang penting dan saling berkait adalah niat, kaedah dan matlamat.
Niat sebagai asas dalam melakukan tugas mestilah disandarkan kerana Allah iaitu
untuk mencari keredhaan Allah. Matlamat
dalam kerja adalah untuk ganjaran di Akhirat. Kaedahnya adalah bergantung
kepada jalan yang dipilih oleh manusia bagi mencapai matlamat tersebut.
TEORI-TEORI
MOTIOVASI
Tedapat banyak teori motivasi yang dikemukakan oleh ahli
psikologi. Kebanyakan teori-teori motivasi boleh dibahagikan kepada dua jenis
yang utama iaitu teori yang berasaskan keperluan dan teori yang berasaskan
proses kognitif. Dalam pengajian Pengurusan, teori yang paling popular dalam
teori keperluan adalah Teori Keperluan Maslow dan Teori Pencapaian McClelland.
Manakala, teori yang berasaskan kognitif sering merujuk kepada Teori Jangkaan
Vroom dan Teori Ekuiti Adam.
Teori Keperluan Maslow menyatakan
bahawa manusia mempunyai lima keperluan yang disusun mengikut hirarki. Menurut
beliau yang dicatatkan di dalam bukunya yang bertajuk "A Theory of Human Motivation" iaitu yang pertamanya, keperluan asas manusia adalah keperluan
fisiologi seperti makanan, tempat tinggal dan pakaian. Keperluan fisiologi, sekiranya salah satu daripada keperluan ini tidak
dipenuhi, ia akan mempengaruhi arah fokus pekerja semasa menjalankan sesuatu
tugas.
Keduanya, keperluan keselamatan
diri manakala keperluan tahap ketiga adalah keperluan sosial. Keperluan keselamatan diri termasuk keselamatan peribadi, keselamatan kewangan, kesihatan dan tidak
akan menjadi mangsa penyalahgunaan kuasa manakala keperluan sosial jika
dipenuhi akan menyebabkan perasaan ketegangan dan stress di kalangan pekerja
dapat dielakkan atau dikurangkan.
Keempat pula manusia akan memenuhi
keperluan ego dan penghormatan diri. Keperluan ini
ada kaitan dengan keperluan pekerja untuk dihormati dan diberi peluang
menghormati orang lain. Beri mereka tugas yang boleh memberi mereka peluang
untuk memberi sumbangan. Ini akan meningkatkan "penghormatan diri".
Terakhirnya, keperluan tertinggi
adalah keperluan kepada kesempurnaan kendiri. Keperluan ini
berkaitan dengan keperluan untuk mencapai cita-cita diri sendiri mengikut potensi
seseorang manusia atau pun pekerja. Kajian
mendapati bahawa individu yang tinggi keperluan pencapaian lebih berjaya dalam
pekerjaannya jika jenis pekerjaan tersebut membantu pencapaian peribadinya.
Dari sudut kognitif pula, Teori Jangkaan Vroom menjelaskan
bahawa manusia berkelakuan berdasarkan hasil yang dijangka boleh memberi
kepuasan, sebagai contohnya kenaikan pangkat.
MOTIVASI
PEKERJA MESTI DIRANCANG
Seperti yang telah dinyatakan tadi, usaha untuk memotivasikan pekerja
perlu dirancang dan disusun, ia tidak boleh dibiarkan hadir dengan sendirinya. Ada
teori yang
menyatakan bahawa pekerja sebenarnya tidak minat untuk bekerja dan cuba mengelakkan
menjalankan tugas jika keadaan mengizinkan. Namun ada juga teori di mana
pekerja dipercayai sebagai bersedia melaksanakan tugas dan tanggungjawabnya.
Pekerja ini tidak perlu diarah atau dipaksa membuat tugasnya. Sebab itu, dipercayai
bahawa pekerja di dalam golongan kedua akan berkerja dengan lebih kuat lagi
jika diberi insentif yang berpatutan.
FAKTOR-FAKTOR YANG
MEMPENGARUHI
Sebelum
proses motivasi dilakukan terhadap pekerja dan petugas, organisasi perlu
memahami faktor-faktor yang mempengaruhi mereka iaitu Perbezaan Individu,
Ciri-ciri Pekerjaan dan Amalan-amalan Organisasi. Apa yang dimaksudkan
Perbezaan Individu itu adalah ciri-ciri yang ada pada setiap individu yang
mempengaruhi seperti keperluan peribadi, nilai, sikap, minat dan kebolehan yang
mereka bawa ke dalam tugas yang diamanahkan kepada mereka.
Ciri-ciri
pekerjaan pula melibatkan aspek-aspek sesuatu polisi kerja yang menentukan
batasan dan cabarannya. Ini termasuklah kepelbagaian dalam kemahiran yang
diperlukan untuk melakukan pekerjaan. Keduanya, darjah sejauh mana pekerja
boleh menyiapkan keseluruhan tugas daripada awal sehingga ke akhir. Ketiganya,
kesignifikan peribadi yang dikaitkan dengan pekerjaan itu. Seterusnya adalah
autonomi dan yang kelimanya jenis dan sejauh mana maklumbalas mengenai prestasi
yang pekerja terima. Amalan-amalan organisasi pula merujuk kepada peraturan,
polisi sumber manusia, amalan pengurusan dan sistem ganjaran sesebuah
organisasi.
MOTIVASI TERHADAP
PETUGAS PAS
Seperti yang
telah dinyatakan di atas, saya kategorikan petugas PAS kepada tiga kumpulan.
Walaupun ketiga-tiga kumpulan mempunyai perbezaan namun perkara yang sama di
antara mereka adalah keyakinan yang ditanamkan dalam diri iaitu bekerja kerana
Allah, bekerja untuk mencari KeredhaanNya dan bekerja untuk memenangkan Islam.
Kefahaman tentang perjuangan Islam perlu disemai dan dibajai di dalam hati-hati
para petugas dan pekerja agar kerja buat mereka tidak menjadi sia-sia.
Bertepatan
dengan FirmanNya dalam Surah As-Saff ayat 10 -12 yang bermaksud “Wahai orang-orang yang beriman! Mahukah Aku tunjukkan sesuatu
perniagaan yang boleh menyelamatkan kamu dari azab seksa yang tidak terperi
sakitnya?. Iaitu, kamu beriman kepada Allah dan rasulNya, serta kamu berjuang
membela dan menegakkan agama Allah dengan harta benda dan diri kamu; yang
demikian itulah yang lebih baik bagi kamu, jika kamu hendak mengetahui (hakikat
yang sebenarnya).
Kerana itu, para
petugas PAS ditarbiyah untuk melakukan pengorbanan dalam tugas yang diamanahkan
kerana ganjarannya adalah lebih besar di Akhirat nanti tanpa perlu menafikan
bahawa asas keperluan kepada petugas diberikan perhatian oleh pentadbir atau
pengurusan parti.
PENUTUP
Pentadbir
Organisasi wajar memberikan perhatian terhadap proses memotivasikan para
pekerja dan petugas lebih-lebih lagi di dalam pentadbiran dan pengurusan PAS. Kaedah
memotivasikan para petugas perlulah mengikut kesesuaian.
Proses
pengecasan semangat melalui motivasi perlu diteruskan dari masa ke masa agar
perjalanan organisasi akan terus mantap dan berkesan.
Wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan