BAHAGIAN KE 17 : KEPIMPINAN ORGANISASI YANG BERKESAN

BAHAGIAN KETUJUH BELAS :   KEPIMPINAN ORGANISASI YANG BERKESAN

Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,

Kali ini kita akan berbicara tentang Kepimpinan Organisasi Yang Berkesan. Ia adalah satu topik yang penting kerana kepimpinan adalah perkara yang menyentuh kehidupan masyarakat dunia tanpa mengira budaya, sama ada dalam masyarakat primitif atau sebaliknya.

Kepimpinan adalah keupayaan untuk mempengaruhi serta membangunkan individu dan pasukan untuk mencapai beberapa objektif yang menyumbangkan kepada keseluruhan matlamat. Bukanlah satu perkara yang mudah untuk meyakinkan orang lain untuk memberikan kepercayaan kepada seseorang untuk mengetuai atau memimpin sesuatu organisasi melainkan diberikan kepercayaan.

Tugas pemimpin pula adalah untuk menyempurnakan tugas dalam organisasi mengikut skop yang ditentukan oleh organisasi. Kuasa yang diserah perlu digunakan dengan sebaiknya untuk melaksanakan tanggungjawab dengan berkesan. 

Seorang pemimpin mestilah bertindak mengikut kesesuaian kedudukannya. Bermakna, sekiranya diamanahkan sebagai seorang Ketua Cawangan PAS maka bertindaklah dengan kuasa sebagai Ketua Cawangan, bukannya bertindak seperti seorang Yang Di Pertua PAS Kawasan ataupun Pesuruhjaya PAS Negeri.

KENAPA KEPIMPINAN DIPERLUKAN

Kepentingan kepimpinan dinyatakan di dalam hadith Rasullullah S.A.W ada bersabda yang maksudnya “Jika tiga orang keluar bermusafir, maka hendaklah salah seorang dari mereka dilantik menjadi ketua.” Bayangkan jika jumlah sekecil tiga orang pun perlu melantik seorang pemimpin bayangkan lagi jika kumpulan atau pasukan mahupun organisasi yang besar sudah tentu seorang pemimpin wajar dilantik sebagai ketua.

Rasulullah s.a.w  juga pernah bersabda yang maksudnya: “Ingatlah bahawa setiap daripada kamu adalah penjaga dan setiap penjaga adalah bertanggungjawab terhadap apa yang dijaganya. Dan seorang pemimpin itu, bertanggungjawab terhadap orang yang dipimpinnya.”


CIRI-CIRI KEPIMPINAN ORGANISASI

Ajaran Islam telah memberi fokus khusus dalam meneliti ciri-ciri kepimpinan yang seterusnya membezakan di antara kepimpinan Islam dengan yang lain. Dengan terserlahnya ciri-ciri ini, ia akan menjamin kelicinan pengurusan organisasi dalam mencapai matlamat yang diinginkan. Maka kepimpinan organisasi perlu mempunyai ciri-ciri berikut iaitu Niat yang ikhlas, Muraqabah (sensitif dengan pengawasan Allah S.W.T., bertanggungjawab, mementingkan latihan dan peningkatan pengikut, kemesraan dan keakraban, perancangan tugas yang jelas, mampu membawa pengikut memahami beratnya tanggungjawab, menyemarakkan rasa cinta terhadap organisasi dan memimpin hati pengikut.

Al Mawardi melalui penulisannya al-Ahkam al-Sultaniyyah berpendapat bahawa seorang pemimpin perlu mempunyai tujuh syarat iaitu yang pertamanya seorang yang adil dalam memimpin pekerja di dalam organisasi tersebut. Keduanya, seorang pemimpin juga perlulah seorang yang berfikiran matang dan berani berijtihad dalam melakukan tugasnya.

Ketiganya, Al Mawardi menyatakan seseorang pemimpin perlulah berpancaindera yang sempurna. Keempatnya, ia juga perlu mempunyai ilmu agama yang tinggi. Hal ini kerana dengan adanya ilmu agama yang tinggi secara tidak langsung dapat mengelakkan seorang pemimpin daripada melakukan perkara yang mungkar. Kelimanya, seorang pemimpin juga perlu mempunyai anggota badan yang sempurna supaya boleh menguruskan pekerjaannya dengan sempurna.

Keenamnya, seorang pemimpin itu mempunyai idea untuk untuk mengurus kepentingan pekerja. Seterusnya ia mempunyai  keberanian dan kekuatan dan yang terakhirnya ia mestilah daripada keturunan yang mulia.

GAYA KEPIMPINAN

Dalam ilmu Pengurusan, gaya kepimpinan dibahagikan kepada empat seperti mana yang dinyatakan oleh Blake & Mouton pada tahun 1964 iaitu Autokratik, Demokratik, Kepimpinan Berperikemanusiaan dan Bebas atau Laissez-faire. Autokratik adalah gaya di mana pemimpin bertindak membuat keputusan sendiri secara sendiri tanpa memerlukan idea dan sokongan daripada pihak lain. Bukan sahaja membuat keputusan sendiri tetapi juga keputusan yang dibuat tidak boleh dibantah.

Manakala gaya demokratik pula, pemimpin memberikan kepercayaan kepada para jawatan kuasa atau komunitinya dan mengikut majoriti untuk membuat keputusan.  Pemimpin jenis ini meletakkan perbincangan dan penerimaan cadangan sebagai kaedah untuk mencapai keputusan.

Ketiganya, Kepimpinan Berperikemanusiaan yang mana kepimpinan yang berperikemanusiaan menunjukkan minat yang lebih terhadap kakitangannya. Pemimpin ini mementingkan suasana kerja yang baik, dipupuk melalui jalinan persahabatan yang mesra di kalangan semua kakitangan. Konflik cuba dihindarkan dengan menganjurkan permuafakatan dalam melaksanakan agenda organisasi.

Keempatnya, gaya Bebas atau laissez-faire. Pemimpin gaya ini memberikan kebebasan sepenuhnya kepada staf atau jawatankuasanya untuk merancang dan melaksanakan pentadbiran dan pengurusan organisasi. Ia amat sesuai untuk staf yang berpersonaliti positif, berpengetahuan dan kemahiran yang diperlukan.

Namun, gaya kepimpinan terbaik dan teragung adalah seperti yang dibawa oleh Nabi  Muhammad s.a.w. Ia telah dibukti apabila seorang ahli sejarah dan astronomi bernama Michael Hart telah menulis bahawa orang yang sangat berpengaruh dalam senarai 100 tokoh di dunia iaitu Muhammad sebagai pemimpin ummah.

KEPIMPINAN YANG BERKESAN

Kepimpinan yang berkesan mestilah mewujudkan visi yang dikongsi bersama dan visi tersebut diberi faham dan dijelaskan kepada mereka yang berada di bawah  kepimpinannya. Ia juga boleh disampaikan melalui Ucapan Dasar, Ucaptema atau apa jua ucapan yang bersesuaian. Tujuannya juga adalah untuk mendapatkan sokongan daripada orang bawahan ataupun pengikutnya.

Keduanya, kepimpinan yang berkesan mampu mencabar proses yang sedia ada dengan idea inovasi dan mencuba sesuatu yang baru walaupun mungkin jauh berbeza dengan sistem yang sedia ada. Ketiganya, memberi ruang kepada staf dan jawatankuasanya melaksanakan tugas dengan seluasnya, menggalakkan kerjasama di antara orang bawahan.

Keempat, melaksanakan slogan “Kepimpinan Melalui Teladan” dalam kepimpinannya. Pemimpin mesti sentiasa menjadi contoh yang baik dan dihormati. Kelimanya, sentiasa berperanan untuk memotivasikan staf dengan mengiktiraf sumbangan staf dalam membangunkan organisasi.

KEMAHIRAN-KEMAHIRAN YANG PERLU DIMILIKI PEMIMPIN

Setiap pemimpin perlu mempunyai pengetahuan dan beberapa kemahiran asas, lebih-lebih lagi yang berkaitan dengan tugasnya dalam sesebuah organisasi. Beberapa ‘tips’ dikemukakan bagi membantu kita untuk menjadi pemimpin yang berjaya dan berkesan.

Pertamanya, mampu bekerja dengan semua pihak sama ada pihak di atas atau pihak di bawah organisasinya. Keduanya, berkebolehan berkomunikasi dengan baik terutamanya dengan jawatankuasanya dan staf operasi. Ketiganya, mampu mengendalikan dan menguruskan mesyuarat dengan berkesan. Keempat, berkebolehan untuk menulis ucapan, kenyataan media, menyediakan cadangan dan laporan.

Kelima, berpengetahuan tentang kewujudan pelbagai sumber di dalam dan di sekitar organisasi. Keenam, berkemampuan untuk menggerakkan sumber manusia dengan cara yang sesuai dan berkesan dengan kaedah yang bersesuaian. Ketujuh, berkemampuan memahami dan menghuraikan sesuatu isu daripada pelbagai sudut pandangan.

Kelapan, menyediakan latihan dan mampu mengendalikan latihan. Kesembilan, mempunyai strategi mendapatkan dana yang diperlukan oleh organisasi. Kesepuluh, berkebolehan untuk mengenal pasti isu-isu penting dan dapat menilai potensi sesuatu isu bagi kepentingan organisasi.

Kesebelas, berkemampuan untuk melakukan penyelidikan asas, faham kegunaan maklumat dan bagaimana mendapatkan maklumat yang dikehendaki. Keduabelas, berkemampuan untuk menggunakan teknologi yang sesuai dan terkini bagi memudahkan kerja termasuk komputer. Ketigabelas, mampu untuk menggunakan alat-alat komunikasi yang asas untuk pelbagai tugasan seperti internet.

Perkara-perkara yang dinyatakan di atas bukanlah menjadi satu syarat wajib menjadi pemimpin tetapi ia adalah sebagai gambaran besarnya peranan dan tanggungjawab seorang pemimpin. Ia dapat mengagihkan tugas-tugas tersebut kepada mereka yang dipertanggungjawabkan dalam organisasi namun seorang pemimpin itu perlu berusaha agar ianya dapat dikuasai dengan baik.

PENUTUP

Sebagai sebuah organisasi politik dan gerakan Islam, memimpin PAS adalah merupakan satu cabaran yang besar untuk dipikul. Ia adalah amanah yang akan dipertanggungjawabkan di dunia dan di akhirat. Oleh itu, seorang pemimpin itu mestilah meletakkan kebergantungan kepada Allah dalam setiap tugas yang dikendalikan.

Pemimpin memainkan peranan utama dalam pengurusan organisasi untuk mencapai matlamat dalam erti kata sebenarnya. Kepimpinan merupakan unsur dalaman dan kerohanian merupakan faktor utama yang menyempurnakan faktor-faktor lain ke arah mencapai matlamat kecemerlangan organisasi.

Kejayaan kecemerlangan organisasi bergantung kepada pemimpin yang sentiasa memberi perhatian, menyelia dan memberi perkhidmatan yang berkualiti dan menerapkan nilai-nilai murni di dalam organisasi.


Sekian. Wassalam.

Ulasan