Assalamu’alaikum dan salam perjuangan,
Kisah perlumbaan sang arnab dan sang kura-kura adalah
merupakan salah satu cerita yang cukup popular di kalangan rakyat Malaysia dan
saya pasti ia adalah kisah yang diketahui oleh kita sama ada yang dewasa
sehinggalah kanak-kanak yang belum tumbuh giginya. Malah, ia adalah cerita yang
disampaikan daripada generasi ke generasi di seluruh dunia sebagai cerita
hiburan kepada anak-anak.
Alkisah, suatu masa yang dahulu, sang arnab dan sang
kura-kura telah bersetuju untuk bertanding lumba lari bagi menentukan siapa
yang lebih laju. Cabaran ini dibuat oleh kura-kura kerana tidak tahan dengan
ejekan arnab yang merendah-rendahkan kura-kura yang dilihat sangat perlahan
apabila melangkah. Arnab bersetuju dengan cabaran daripada kura-kura kerana
arnab yakin bahawa mustahil kura-kura mampu mengalahkannya. Arnab yang
mempunyai daya pecutan yang tinggi menyahut cabaran itu dan berlakulah perlumbaan di antara dua haiwan
ini.
Bermula daripada garisan permulaan, arnab terus
memecut sehingga kura-kura hanya mampu melihat kelibat arnab daripada jauh.
Namun, kura-kura meneruskan langkahnya yang perlahan tetapi penuh konsisten ke
arah garisan penamat. Kura-kura tidak menghiraukan ejekan para penonton di tepi
laluan perjalanannya malah menganggap ia adalah satu cabaran untuk meneruskan
perjalanannya.
Kita juga tahu bahawa arnab yang telah berlari jauh
meninggalkan kura-kura mula memperlahankan langkahnya apabila melihat bayangan
kura-kura telah hilang daripada pandangannya.
Lalu, arnab bersandar di sebatang pokok untuk
merehatkan diri sehingga matanya terlelap. Akibat terlalu lama sang arnab
tertidur maka kura-kura yang perlahan dan konsisten itu telah berjaya memotong
sang arnab sehingga akhirnya berjaya memenangi perlumbaan tersebut. Sang arnab
yang terjaga daripada tidurnya terus melangkah dengan laju ke garisan penamat
namun arnab terkejut apabila kura-kura telah diiktiraf sebagai juara dalam
perlumbaan tersebut. Arnab kecewa dan menyesal dengan apa yang terjadi dan
menanggung malu akibat daripada sikapnya itu.
PENGAJARAN : Perlahan-lahan
dan konsisten membawa kejayaan sehingga berjaya mengalahkan mereka yang pantas
tetapi tidak konsisten . Dalam menguruskan sebuah organisasi kita memerlukan
sikap yang konsisten atau istiqamah dalam perjuangan. Walaupun mungkin kita
lemah dan sedikit bilangannya tetapi istiqamah adalah merupakan salah satu kunci
kejayaan.
Penekanan terhadap keperluan
beristiqamah telah dipertegaskan oleh Presiden PAS di dalam Ucapan Dasar Presiden
PAS di Muktamar PAS kali ke 60. Istiqamah
satu perkataan yang terlalu mudah untuk disebut tetapi terlalu sukar untuk
dilaksanakan. Aisyah r.a pernah ditanya oleh Masruq: "Wahai Aisyah! Apakah amalan yang paling digemari oleh Rasulullah
SAW?" Jawab Aisyah: "Yang berterusan".
Pembaca sekelian, biasanya kisah ini berakhir setakat itu sahaja namun ia bersambungan dengan kisah yang lebih menarik. Sang arnab kecewa dengan kekalahannya itu.
Sang arnab membuat post-mortem
terhadap kekalahan itu dan hasil daripada kajian itu, sang arnab mendapati
bahawa kekalahan itu adalah disebabkan oleh sikapnya sendiri yang terlalu
berkeyakinan tinggi, tidak berhati-hati dan terlalu sambil lewa. Arnab mendapati
bahawa dirinya angkuh dan percaya bahawa dengan kelebihan yang ada pada dirinya
sudah mampu untuk mengalahkan sang kura-kura.
Hasil daripada post-mortem
itu, arnab telah memuhasabah diri dan mengubah sikap dalam kehidupannya.
Arnab tidak lagi bongkak malah bersikap positif, fokus dalam bertindak dan
berhati-hati dalam melaksanakan tugasnya dalam segala tindakan.
Maka, arnab mempelawa kura-kura untuk kembali
bertarung dalam pertandingan lumba lari dan akhirnya arnab telah berjaya menang
bergaya dan berjaya membuktikan bahawa perubahan skiapnya telah membantu kemenangan.
PENGAJARAN : Pantas dan
konsisten dapat menewaskan perlahan-lahan dan konsisten. Jika kita dapat
mempercepatkan tindakan kita maka ia akan membantu organisasi kita lebih cekap
dan mantap. Ia termasuklah dalam menyelesaikan krisis atau pun konflik dalam
organisasi, memproses borang keahlian, pendaftaran pertubuhan dan
surat-menyurat. Lambat dan konsisten adalah baik namun pantas dan
konsisten adalah lebih baik.
Kekalahan kura-kura pada kali ini telah menyebabkan
kura-kura mula tercabar apabila mahkota kemenangannya terpaksa diserahkan
kepada arnab. Maka, sang kura-kura membuat penilaian semula dan strategi untuk
kembali memenangi perlumbaan. Kura-kura sedar bahawa ia lebih perlahan daripada
arnab apabila berlari, kerana itu, kura-kura melihat bahawa strategi terbaik
adalah mengubah format perlumbaan dengan mencadangkan laluan yang baru.
Cabaran dikemukakan kepad arnab dan arnab terus
menerimanya tanpa cuba untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang
laluan baru tersebut. Arnab tampil ke garisan permulaan dan menggunakan kaedah
yang sama dengan pecutan larian sehingga akhirnya bertemu dengan sebuah sebuah
sungai yang besar melintangi laluan lariannya. Oleh kerana arnab yang tidak
mempunyai kebolehan untuk berenang maka sang arnab tidak mampu berbuat apa-apa
sehinggalah akhirnya kura-kura sampai di situ dan meneruskan perjalanannya dengan berenang melintasi
sungai tersebut seterusnya berjalan sehingga ke garisan penamat. Kura-kura
sekali lagi berjaya memenangi pertandingan tersebut dan merampas kejuaraan
daripada sang arnab.
PENGAJARAN : Kita perlu
mengenal pasti kelebihan diri kita, walaupun mungkin kita berdepan dengan
jentera lawan yang lebih ramai namun ia belum pasti memberikan kemenangan
kepada mereka. Peperangan Badar telah membuktikan bahawa tentera Islam menang
walaupun bilangan tentera Islam sedikit jika dibandingkan dengan tentera
musyrikin.
Kerana itu, perancangan stategik amat penting untuk
mengenalpasti kelebihan, kekurangan, peluang dan ancaman terhadap organisasi
agar tindakan kita lebih tersusun rapi.
Begitu juga dengan kecenderungan yang memainkan
peranan dalam membuat tindakan. Tidak semua daripada kalangan kita yang
mempunyai kemampuan seperti berpidato walaupun kita berkehendak untuk menjadi
seorang pemidato terkemuka. Mungkin, kelebihan yang ada pada kita adalah dalam
bidang pengurusan maka fokus terhadap kelebihan yang pada kita adalah lebih
baik.
Kisah arnab dan kura-kura sampai kepada kemuncaknya
apabila kura-kura dan arnab bersetuju untuk memeterai perjanjian damai dan
persahabatan. Sang arnab dan sang kura-kura berbincang agar mereka bersatu
untuk mencapai kemenangan yang lebih gemilang.
Mereka telah menjadi rakan yang mampu berkerjasama
dalam perlumbaan. Dengan idea yang dibincang dan dicanai bersama maka timbul
idea agar mereka bergabung dalam perlumbaan seterusnya sebagai sebuah pasukan.
Dalam perlumbaan ini, arnab telah mendukung kura-kura
dibelakangnya lalu memecut sehingga ke tebing sungai. Tiba giliran arnab
bertukar posisi dengan kura-kura dan kura-kura terus berenang sehingga tiba di
tebing di seberang sungai. Kemenangan
ini dicapai dengan kiraan masa yang jauh lebih baik daripada kemenangan
kura-kura secara solo sebelum itu.
PENGAJARAN : Setiap individu
mempunyai kelebihan dan kekurangan yang tersendiri. Kelebihan dan kepakaran
yang terdapat pada individu jika digabungkan maka akan mewujudkan satu kekuatan
dalam organisasi. Namun jika kita mengambil kira kelemahan sebagai aspek bagi
menentukan masa depan organisasi maka tidak mustahil organisasi juga akan
terkesan.
Berkerja dalam sebuah
organisasi memerlukan gerakerja berpasukan atau teamwork di antara satu sama lain sesama ahli di dalam organisasi.
Kelemahan ahli pasukan wajar ditampung oleh ahli yang lain bukannya menyalahkan
ahli tersebut sehingga menyebabkan kumpulan kita kalah dalam persaingan.
Penutup
Kisah arnab dan kura-kura
versi baru ini saya adaptasikan daripada sebuah video motivasi yang berada
dalam Youtube yang telah dimuatnaik beberapa tahun yang lalu. Walaupun ia
hanyalah sebuah kisah rekaan namun ia sangat menarik untuk diterjemahkan dalam
pengurusan organisasi.
Faktor
konsisten, istiqamah, berperancangan stategik dan kerja berkumpulan mestilah
diterapkan dalam diri dan organisasi kita. Masa untuk melakukan perubahan sudah
bermula semoga dengan itu ia akan membantu memantapkan pengurusan PAS di semua
peringkat.
Sekian,
wassalam.
Ulasan
Catat Ulasan