KITA PASTI AKAN MATI

KITA PASTI AKAN MATI.
Kita adalah makhluk yang wujud di atas kehendak Allah, kita bernyawa di atas kehendak Allah dan kita akan mati di atas kehendakNya jua. Kita tidak tahu bila kita akan mati, mungkin hari ini, mungkin esok atau mungkin juga lusa namun kematian pasti semakin hampir dengan kita.
Allah ingatkan kita bahawa semua yang ada di dunia akan binasa termasuklah insan seperti kita. Firman Allah bermaksud : “Semua yang ada di bumi akan binasa. Dan tetap kekal zat Tuhanmu yang memiliki kebesaran dan kemuliaan.” (Surah ar-Rahman, ayat 26-27)
Setiap hari ada sahaja yang baru dihidupkan atau dilahirkan sebagai bayi dan setiap hari ada sahaja yang ditamatkan hayatnya di atas dunia. Mereka yang mati ini ada yang muda dan ada yang tua, bermakna bukan golongan tua sahaja yang perlu bersiap untuk mati.
Rasulullah S.A.W telah meninggalkan pesan kepada kita sebagai umatnya agar sentiasa mengingati mati. Kenapa Baginda bersabda begitu? Ia adalah sebagai satu tazkirah atau peringatan kepada kita agar jangan terleka dengan kelazatan dunia yang sementara ini sehingga mengabaikan kehidupan sebenar kita di alam Akhirat nanti.
Sabda Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Perbanyakkanlah mengingati mati yang akan menghapuskan kelazatan.
“Jika ia diingati dan direnung pada waktu susah, nescaya perasaan akan menjadi lapang dan tenang dan jika diingati pada waktu senang, nescaya hati dan perasaan akan sedar dan menginsafi diri.” (Riwayat al-Bazzar dan al-Baihaqi).
Justeru sangat wajar kita sentiasa mengingati bahawa kita akan menemui saat kematian pada bila-bila masa.
Wallahu'alam.
facebook : khairul.faizi1
12 Februari 2016

Ulasan