PAS DALAM SEJARAH : ULAMAK MAHU PERSIDANGAN ULAMAK MENGHASILKAN KEPUTUSAN YANG BERKESAN (17 JULAI 1951)


ULAMAK MAHU PERSIDANGAN ULAMAK MENGHASILKAN KEPUTUSAN YANG BERKESAN (17 JULAI 1951)

PADA hari ini dalam tahun 1951, akhbar Warta Negara telah menyiarkan sebuah rencana yang ditulis oleh Mudir Madrasah Yahyawiyah, Padang Rengas, Perak, Tuan Guru Haji Abdul Samad Noh yang menggesa para ulamak yang akan bersidang pada 23 Ogos 1951 supaya menghasilkan sebuah keputusan yang berkesan dan bermakna untuk umat Islam.

Dalam rencananya yang bertajuk "Kongres Alim Ulamak Yang Bererti," Tuan Guru Haji Abdul Samad telah mendesak supaya Persidangan Alim Ulamak Malaya menjadi sebuah persidangan yang bererti. Pandangan beliau dipercayai berpunca daripada kegagalan Umno melaksanakan keputusan Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 21-22 Februari 1950.

Dalam Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar, sebanyak tujuh resolusi telah diputuskan termasuklah untuk menyelaraskan pentadbiran agama, menubuhkan kolej Islam, penyelarasan tarikh puasa dan hari raya, cukai dan pengurusan haji, derma pendidikan tinggi dan sekolah agama petang, menubuhkan jabatan agama di Negeri-negeri Selat dan meluaskan dakwah Islam.

Namun begitu, semua keputusan ulamak ini tidak mendapat perhatian Umno. Umno pernah membawa cadangan ulamak berkaitan penyatuan pentadbiran agama, tetapi ditolak oleh Raja-raja Melayu yang menyebabkan Umno tidak memperjuangkannya. Di atas kegagalan persidangan di Muar ini, Tuan Guru Haji Abdul Samad menyifatkannya sebagai "... bunyi berdentum-dentum tetapi percuma sahaja." Lebih teruk lagi apabila selepas persidangan ini timbul beberapa isu seperti isu Natrah, pembukaan keahlian Umno kepada orang bukan Melayu, penganjuran Loteri Umno dan lain-lain telah menyebabkan para ulamak mula bersuara dalam Umno.

http://m.harakahdaily.net/index.php/berita-utama/41858-mahu-persidangan-ulama-hasilkan-keputusan-berkesan 

Ulasan