MENANTI CABARAN TAHUN 2017
Assalamu'alaikum
dan salam perjuangan.
1. Hari
ini adalah hari terakhir kita berada dalam tahun Masehi 2016. Pelbagai
peristiwa suka duka berlaku sepanjang tahun yang mungkin meninggalkan kesan
yang sangat mendalam terhadap apa yang telah kita lakukan dan kita lalui. Terlintas
di fikiran saya beberapa perkara yang perlu diberikan perhatian apabila tahun
2017 bakal menjelma beberapa jam selepas tulisan ini disebarkan kepada umum.
2. Pertamanya,
Amerika Syarikat akan mula dipimpin oleh Donald Trump yang saya sifatkan
sebagai Presiden Amerika yang bakal menjadi musuh kepada dunia khususnya negara
Islam. Beberapa kenyataan yang beliau pernah sampaikan dilihat mempunyai rasa
kebencian terhadap Islam.
3. Akhir
tahun lalu, Trump telah membuat satu kenyataan yang mahu melarang golongan
Muslim masuk ke AS sehingga beliau ditempelak oleh lagenda tinju dunia,
Allahyarham Muhammad Ali. Trump juga pernah membuat kenyataan bahawa sekiranya
beliau berjaya dipilih sebagai Presiden AS maka beliau akan mengiktiraf
Batulmuqaddis sebagai Ibu Kota Israel. Trump telah menyatakan kesediaannya ini
setelah pertemuannya dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu yang
mengunjungi beliau di pejabatnya di Tower Trump di New York.
4. Justeru
umat Islam perlu sentiasa bersedia untuk menghadapi cabaran ini. George Bush
yang juga bekas Presiden AS daripada Parti Republikan pernah mencipta kejutan
dengan peristiwa 911 maka Trump yang juga daripada parti yang sama sudah mula
menunjukkan taringnya walaupun secara rasminya masih belum lagi bertugas di
White House.
5. Keduanya,
konflik yang sedang terhadap umat Islam di seluruh dunia. Paling menyentuh hati
adalah kekejaman kerajaan Burma atau Myanmar terhadap masyarakat Islam Rohingya
yang terus dibunuh, disiksa, dirogol, dibakar dan dihalau seperti tiada lagi
nilai kemanusiaan lagi.
6. Kekejaman
ini telah berlaku sejak sekian lama namun ia dipandang sepi oleh kebanyakkan
negara. Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) 'mati kutu' untuk mencari jalan
penyelesaian. Suruhanjaya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian
(UNHCR) digesa perlu lebih serius memberikan bantuan kepada pelarian Rohingya
yang berada di beberapa negara termasuk Malaysia. Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) perlu bertegas dengan sikap
Myanmar yang terus mengganas tanpa perlu rasa bimbang dengan ancaman daripada
mereka.
7. Rakyat
Malaysia perlu lebih sensitif dengan isu ini kerana ia sangat dekat dengan
tanahair kita. Justeru bagi menghadapi tahun 2017 ini maka menjadi satu
tanggungjawab kita untuk sama-sama menghulurkan bantuan kepada mereka melalui
pelbagai agensi yang ada.
8. Ketiganya,
tekanan ekonomi terhadap rakyat Malaysia. Matawang Ringgit Malaysia terus jatuh
berbanding dengan nilai Dollar AS yang kini 1USD adalah bersamaan RM4.48!
9. Kebanyakkan
ibubapa telah mula merasai keperitan untuk menghadapi sesi persekolahkan tahun
hadapan. Keperluan anak-anak meningkat dari tahun ke tahun. Ada di kalangan ibu
bapa terpaksa membuat pinjaman kewangan untuk tujuan persekolahan anak.
Kononnya yuran pendidikan percuma untuk pelajar sekolah seperti yang pernah
diumumkan oleh Pak Lah dalam Bajet 2008 tetapi hakikatnya ia hanyalah 'gurauan'
penyedap hati.
10. Kerajaan
terus 'menyedut' duit melalui GST daripada rakyat. Orang kaya, orang miskin
semuanya terpaksa membayar cukai sedangkan rakyat hakikatnya bergelut untuk
meneruskan kehidupan.
11. Apa
yang akan berlaku terhadap ekonomi pada tahun 2017 pastinya akan merunsingkan
kita. Tiada gambaran matawang Malaysia akan pulih dengan perkembangan ekonomi
Malaysia seperti hari ini. Hutang negara terus meningkat dan belum ada tanda ia
akan berkurangan.
12. Keempat
dan yang terakhirnya, Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) dijangka akan berlaku
pada tahun 2017. Uniknya Malaysia, tarikh PRU sememangnya sentiasa menjadi
teka-teki dengan pelbagai teori dan andaian. Ada yang menjangkakan bulan Mac,
tidak kurang yang menjangkakan akan berlaku pada bulan Julai dan ada juga yang
meramalkan selepas berlakunya Temasya Sukan SEA di Kuala Lumpur. Namun tahun
2017 adalah tahun jangkaan yang kuat PRU14 akan berlaku.
13. BN
cukup tertekan pada kali ini kerana prestasi mereka pada PRU13 adalah yang
paling buruk dalam sejarah PRU di Malaysia. Di tambah lagi dengan krisis
dalaman parti sehingga terpecatnya TS Muhyiddin Yassin sebagai TPM sehingga
wujudnya Parti Peribumi Bersatu Malaysia (PPBM). Presiden UMNO pul dilihat
sebagai liabiliti kepada UMNO/BN dengan pelbagai palitan isu yang bakal
membantu kejatuhan BN dalam PRU14 ini.
14. Pilihan
rakyat ketika ini adalah terarah kepada kumpulan pembangkang yang bakal
mencabar BN yang semakin rapuh. PAS dan Ikatan bergerak dalam satu Gabungan
yang dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera (Gagasan). Dengan konsep dan
pendekatan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) membantu mendekatkan PAS
dengan massa. Langkah PAS untuk ke Putrajaya diteruskan demi masa hadapan
rakyat, agama dan negara tanpa menafikan dan menggadaikan prinsip dan dasar
perjuangan.
15. Justeru
tahun 2017 ini usaha perlu digandakan, program perlu diperbanyakkan, aktiviti
perlu dipelbagaikan dan organisasi perlu diperkasakan agar PAS dapat terus
menembusi dan memenangi hati rakyat di seluruh negara. Kempen PAS PILIHANKU
menjadi tanggungjawab semua ahli PAS untuk memastikan bahawa dalam tempoh empat
bulan ini seramai lebih kurang 130,000 ahli baru mesti didaftarkan di
seluruh negara. Ahli PAS perlu lebih gigih berkerja pada tahun 2017, lebihkan
masa untuk membantu gerakerja jamaah di semua peringkat.
16. Firman Allah yang bermaksud “Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah
nasib suatu kaum kecuali kaum itu sendiri mengubah apa yang ada pada diri
mereka” yang di petik daripada ayat ke 11 surah Ar-Rad engingatkan kita bahawa
perubahan mampu untuk dilakukan dengan kita melakukan perubahan tersebut.Semoga
tahun 2017 akan memberikan sinar baru dengan penuh pengharapan kepada kita
semua.
INILAH PENYELESAIAN KITA
PAS PILIHANKU
Sekian.
KHAIRUL
FAIZI BIN AHMAD KAMIL
Jalan
Raja Laut, Ibu Kota Kuala Lumpur.
31
Disember 2016
Ulasan
Catat Ulasan