Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

Menanti 'keajaiban' Shahrir selamatkan Felda

NARAZA MUDA | .


Pelantikan Tan Sri Shahrir Abdul Samad menggantikan Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad sebagai pengerusi Felda yang baharu mengesahkan ada kepincangan yang sangat besar melanda Felda. Kebiasaannya lantikan dibuat sebelum memasuki tahun baharu jika pengerusi yang lama tidak disambung perkhidmatannya yang tamat 31 Disember 2016. Bila pelantikan ini diumumkan melepasi minggu pertama awal tahun baharu, sudah pasti ada sesuatu yang tidak kena.

Lagi pelik dan menghairankan apabila Tan Sri Isa Samad masih lagi dikekalkan menerajui FGV ketika desakan penyingkiran beliau sudah tidak dapat sembunyikan lagi. Tidak pernah peneroka Felda mendesak kerajaan singkirkan Pengerusi Felda sebelum ini. Sampai ada pegawai yang sanggup dipecat dan ada pula yang membuat ugutan terbuka akan meninggalkan Umno jika pimpinan tertinggi Felda tidak berubah sebelum 1 Januari 2017.  Kenapa Perdana Menteri tidak berani memberi tugasan menerajui FGV kepada Tan Sri Shahrir? Jika Shahrir mampu dilihat terbaik menerajui Felda, kenapa masih mengekalkan Isa?

Perkara ini hampir sama bila Isa menyingkirkan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif sebelum ini, Datuk Emir Mawani Abdullah dan diganti dengan Datuk Zakaria Arshad , seorang anak peneroka Felda sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO)  FGV. Isa dilihat masih tidak mahu melepaskan FGV. Perdana Menteri juga tidak berani singkirkan Isa. Datuk  Emir Mawani pernah mencetuskan perbalahan terbuka dengan Isa, Presiden FGV waktu itu membuat kenyataan, FGV  memutuskan cadangan pemilikan 37 peratus  saham PT Eagle dibatalkan kerana mendapat bantahan dari pemegang saham FGV.

Selang beberapa hari, Isa menyanggah kenyataan  Mawani, Isa mengatakan FGV tidak batalkan cadangan pemilikan saham PT EHP  tetapi ditangguhkan sementara urusan ini walaupun ada maklumat mengatakan FGV telah membayar ratusan juta sebagai komitmen untuk urusan pemilikan PT Eagle Hight Plantations (PT EHP) . Sebaliknya Isa memaksa Felda Investment Corporation (FIC ) meneruskan rundingan memiliki 37 peratus saham PT EHP anak syarikat Rajawali Group sebuah konglomerat perladangan terbesar Indonesia.

Seolah-olah ada sesuatu kepentingan yang tidak akan dilepaskan Isa sehingga agenda peribadi beliau berjaya disempurnakan. Sebab itu bila tersebar maklumat di kalangan warga Felda, Tan Sri Isa akan terus menerajui Felda untuk beberapa tahun lagi, tentangan terhadap Isa kian melebar dan desakan bertali arus dari pelbagai pihak. Tindakan terbaharu dari kerajaan ini semakin menampakkan kecelaruan yang parah sedang dialami Felda.

Sudah tentunya Tan Sri Shahrir Abdul Samad akan memberi perhatian kepada barisan kepimpinan pengurusan Felda sebagai langkah pertama. Semua perniagaan teras akan diteliti serta kewangan semasa sebenar Felda akan diberi penekanan sebagai langkah awal beliau memulihkan keyakinan 2 juta warga Felda dan rakyat Malaysia.

Felda yang menjadi pemegang saham terbesar FGV, sudah tentu akan menghadapi kesan besar daripada turun naik saham FGV. Tan Sri Shahrir  juga akan menghadapi jalan sukar untuk memastikan FGV mampu memberi pulangan dan kebaikan kepada Felda selagi Tan Sri Isa masih menduduki kerusi Pengerusi FGV. Langkah Shahrir akan terhalang, apa jua tindakan pengerusi Felda ini akan terencat merujuk perkembangan terkini. Apa yang Tan Shahrir boleh strukturkan hanya pada Felda, tetapi FGV tiada apa yang boleh dibuat, bahkan satu lagi pertembungan pengurusan akan terjadi.

Hampir semua anak syarikat dan aset Felda Holdings sebelum ini sudah diserahkan kepada FGV terutama tanah ladang sawit Felda seluas 360,000 hektar kini milik FGV. Aset ini merupakan 'angsa bertelur emas' bagi Felda kerana mampu memberi pendapatan tunai RM1.2 bilion hingga RM1.8 bilion setiap tahun. Felda banyak menyelesaikan masalah dan membuka pelaburan baru hasil dari kewangan yang kukuh serta urustadbir yang cemerlang sehinggalah Tan Sri Isa dilantik Pengerusi Felda pada 2011.

Koperasi Pemodalan Felda (KPF) yang memiliki 51 peratus saham dalam Felda Holdings telah disingkir oleh Isa Samad dan digantikan Felda Hodings dengan FGV. Sejak dari ini banyak dana Felda dan FGV mulai digunakan untuk membuat pelaburan besar ratusan juta bahkan berbilion ringgit dalam dan luar negara. 

Di sinilah terletaknya cabaran utama pengerusi Felda yang baharu untuk memulihkan Felda dan yang paling utama keyakinan pengundi warga Felda di 317 tanah rancangan di 54 daripada 222 parlimen perlu dikekalkan untuk menghadapi Pilihan raya Umum ke-14. Pada PRU13 yang lalu, 51 kawasan parlimen telah dimenangi Barisan Nasional dan menjadikan kawasan Felda sebagai aset simpanan tetap kerusi Barisan Nasional.

Dengan dilema hutang ratusan ribu ringgit direkodkan kepada akaun peneroka yang sudah bergelar warga emas, pengurusan tanam semula yang banyak masalah, penjagaan ladang oleh Felda Technoplant yang teruk  gagal disembunyikan lagi oleh pengurusan Isa sebelum ini menambahkan lagi tugasan, cabaran pengerusi yang baharu. 

Tempoh parlimen yang ada sekarang hanya berbaki sekitar 2 tahun sahaja, Tan Sri Shahrir Abdul Samad memerlukan satu 'keajiban' untuk  mengembalikan kecemerlangan Felda setelah hampir semua aset sebelum ini sudah menjadi milik FGV. Apakah pemberian durian runtuh RM15,000 setiap seorang peneroka sebelum penyenaraian FGV ke bursa saham sebelum ini akan akan diulangi pengerusi Felda yang baharu sebagai jalan mudah untuk meredakan kemarahan warga Felda?

Sama-sama kita nantikan.

Naraza Muda
Pengerusi Hal Ehwal Felda PAS Pusat
8 Januari 2017 / 9 Rabiul Akhir 1438 - HARAKAHDAILY 8/1/2017

Ulasan