Sumbangan besar minyak sawit Malaysia - Sinar Harian


DI SEBALIK kempen memburuk-burukkan minyak sawit oleh sesetengah negara Barat, komoditi itu terus membekalkan kira-kira satu pertiga keperluan lemak penduduk dunia.

Malaysia sendiri mengeksport minyak sawit ke hampir 160 negara dengan China, India dan Kesatuan Eropah sebagai pasaran terbesarnya.

Dalam wawancara bersama Sinar Ahad minggu ini, Ketua Pengarah Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir memberitahu, permintaan terhadap minyak sawit Malaysia dijangka terus meningkat seiring dengan pertambahan penduduk dunia yang akan meningkat kepada sembilan bilion orang menjelang tahun 2043.

Saintis sawit itu turut berkongsi kejayaan MPOB mengkomersialkan hasil penyelidikan agensi berkenaan dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengeluaran sekali gus menambah pendapatan petani terutamanya dalam situasi tidak menentu turun naik harga minyak sawit sekarang.

Ikuti temu bual Penolong Pengarang Pengisian Berita Sinar Harian, Junhairi Alyasa dan wartawan Norshahzura Mat Zuki bersama Ahmad Parveez di pejabat MPOB di Bandar Baru Bangi, Selangor baru-baru ini.

SINAR AHAD: Harga minyak sawit mentah (MSM) Malaysia melonjak naik pada 21 September lalu iaitu antara yang paling tinggi sejak wabak Covid-19 melanda dunia. Apakah faktor-faktor utama yang mempengaruhi turun naik harga minyak sawit, dan dapatkah kita mengawalnya?

DR AHMAD PARVEEZ: Sejak sebulan lepas, harga sawit adalah stabil. Harga sawit mencecah RM3,111 pada Januari lalu iaitu yang paling tinggi pada tahun 2020 setakat ini. Pada bulan Mei, harganya turun disebabkan Covid-19 dan kini naik semula kepada RM3,000.

Harga MSM pada 13 Oktober 2020 adalah RM3050.50 satu tan. Harga minyak sawit di pasaran tempatan mahupun antarabangsa sentiasa dipengaruhi faktor asas dan sentimen pasaran. Peningkatan permintaan terhadap minyak sawit akan membantu meningkatkan harga MSM di pasaran dan begitulah sebaliknya.

Walaupun banyak negara masih mengamalkan kawalan pergerakan kerana Covid-19 tetapi keperluan makanan sentiasa ada. Faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan harga ialah peningkatan eksport minyak sawit sehingga dua peratus pada bulan September berbanding Ogos. Peningkatan eksport itu disebabkan pembelian oleh India, Bangladesh, Afrika Selatan, Filipina dan Turki.

Faktor kedua ialah pengeluaran MSM yang rendah pada Oktober disebabkan kesan La Nina yang membawa hujan lebat sekali gus mengganggu aktiviti penuaian dan pengumpulan buah tandan segar (BTS).

Faktor lain ialah peningkatan harga minyak kacang soya. Pada 6 Disember tahun lalu, pertama kali harga sawit berada AS$3 lebih tinggi berbanding harga soya. Dalam masa terdekat ini, China akan meningkatkan pembelian soya dan ini akan meningkatkan harganya. Peningkatan harga soya akan menyebabkan produk minyak sawit menjadi lebih berdaya saing dan kompetitif.

Usaha kerajaan mengekalkan hubungan baik dengan negara pengimport termasuk China dan India berjaya meningkatkan eksport minyak sawit Malaysia. Kerajaan juga berjaya mengurangkan lebihan stok minyak sawit negara melalui pelaksanaan polisi seperti pengecualian duti eksport MSM sehingga Disember 2020.

Jika pada Januari kita mencecah RM3,111 satu tan. Dengan sentimen pasaran eksport dan stok rendah, kita jangkakan harga MSM boleh mencecah RM3,150 satu tan hujung tahun ini.

Harga minyak kacang soya lebih tinggi daripada harga sawit, adakah itu yang menyebabkan negara luar yang antiminyak sawit menyerang kita?

Saya rasa itu adalah antara puncanya juga. Itu yang berlaku sekarang di Eropah, mungkin juga Amerika Syarikat. Pada peringkat awal, sawit adalah pengeluar kedua dan soya adalah pengeluar minyak makanan utama di dunia sebelum tahun 2006.

Pada waktu itu, 1980-an dan 1990-an kita diserang oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) berkaitan soya dengan mengatakan minyak sawit kita tidak selamat dimakan kerana kandungan asid lemak tepu dan sebagainya. Bagaimanapun, pada 2006 sawit telah menjadi pengeluar minyak utama. Kita menjadi pembekal utama minyak makanan dunia, menyebabkan peranan soya semakin rendah.

Kita dapati soya bukanlah sebagai cabaran utama kita di Eropah kerana negara itu juga ada minyak bunga matahari dan minyak jagung. Apa yang berlaku ialah minyak sawit kita lebih murah kerana beberapa faktor.

Ia dihasilkan oleh dunia ketiga, jadi kos pengeluaran lebih rendah manakala hasilnya adalah lapan kali ganda lebih tinggi berbanding soya. Ini memberikan kelebihan kepada kita. Pesaing tidak boleh menggunakan alasan ekonomi menyebabkan mereka menggunakan alasan alam sekitar, kesihatan dan sebagainya untuk mempertahankan ekonomi dan perniagaan mereka.

Dari segi angka matematik, jika harga MSM ialah RM3,000 satu tan, berapakah sepatutnya harga satu tan buah kelapa sawit segar di ladang?

Untuk harga buah tandan segar (BTS), kalau kita melihat pasaran semasa MSM RM3,000 satu tan dan harga isirung sawit pada RM1,600 satu tan, anggaran BTS di kilang adalah RM30.94 sen untuk kadar perahan minyak (OER) atau bersamaan dengan RM619 satu tan jika OER yang digred di kilang mencapai 20 peratus. Kedua-dua harga MSM dan harga isirung dilihat saling mempengaruhi harga BTS. Justeru, semakin tinggi harga MSM dan isirung sawit maka semakin tinggi harga BTS di pasaran.

Namun begitu, harga BTS di ladang adalah lebih rendah berbanding harga di pintu kilang. Ini berikutan harga yang dikenakan oleh peniaga BTS perlu diambil kira. Kadar potongan yang dikenakan oleh peniaga BTS ini adalah berbeza-beza mengikut peniaga dan wilayah. Sebagai contoh, bagi Semenanjung Malaysia, kadar potongannya dianggarkan antara RM30 hingga RM70 satu tan manakala di Sabah dan Sarawak pula kadar potongan biasanya akan lebih tinggi berbanding di Semenangjung Malaysia berikutan faktor geografinya yang menyebabkan kos yang lebih tinggi ditanggung oleh peniaga BTS.

Pendapatan pekebun sawit khususnya peneroka Felda terjejas teruk setiap kali harga sawit jatuh. Bagaimanakah pendapatan mereka dapat ditingkatkan?

Antara langkah yang boleh diambil bagi meningkatkan pendapatan peneroka Felda ialah melalui kepelbagaian pendapatan seperti tanaman, ternakan dan bekerja secara sepenuh masa dengan berniaga atau bekerja dengan majikan.

Felda juga boleh menetapkan harga minimum bagi buah tandan segar dan pengurangan kos pengeluaran kepada RM150 hingga RM180 per tan. Melalui cara ini, margin keuntungan dapat ditambah.

Selepas 20 tahun ditubuhkan, apakah pencapaian siginifikan MPOB dari segi penyelidikan dan inovasi teknologi dalam usaha meningkatkan hasil pengeluaran sawit?

Setelah 20 tahun MPOB ditubuhkan, banyak pencapaian dalam bidang penyelidikan dan pembangunan teknologi (R&D) yang diperoleh untuk proses huluan dan hiliran sawit. Dengan komitmen dan kesungguhan untuk menjadikan sawit Malaysia sebagai yang terbaik di dunia, MPOB boleh berbangga dengan kejayaan inovasi teknologi mencipta dan melancarkan 675 teknologi merangkumi semua sektor dalam industri sawit sejak 20 tahun lalu.

Sebanyak 30 peratus daripada teknologi yang dihasilkan telah dikomersialkan oleh industri. MPOB juga menggunakan teknologi dron untuk mengawal serangga perosak seperti ulat bungkus di ladang sawit. MPOB juga membangunkan 47 teknologi untuk mekanisasi ladang dan formulasi baja seimbang iaitu MPOB F1, F2, F3, F4, F5, dan F5 bagi meningkatkan hasil dan produktiviti.

Di sektor hiliran bukan makanan, MPOB sentiasa proaktif dalam menerajui usaha-usaha memperkukuhkan dan meningkatkan daya saing industri hiliran sawit negara dengan mempergiat aktiviti R&D serta memberi nilai tambah kepada produk hiliran sawit.

Teknologi terbaharu yang dibangunkan ialah penghasilan marjerin yang bersesuaian dengan suhu bilik dan teknologi makanan minyak sawit merah. Melalui R&D yang berterusan, MPOB berjaya menghasilkan teknologi dan formulasi produk-produk yang mesra alam dan mesra pengguna. Ini termasuk bahan surfaktan untuk produk pencuci, produk kosmetik, sabun dan sebagainya.

Apakah perasaan Dr Ahmad Parveez setiap kali negara Barat memboikot minyak sawit? Apakah hujah untuk menangkisnya?

Kita ditohmah dan diburuk-burukkan dan diboikot kerana kejayaan kita serta kelebihan yang ada. Kos penghasilan kita yang rendah dan hasil sawit tinggi, malah pelbagai kegunaannya terutamanya bahagian cair dan tepu.

Kebaikan minyak sawit ini menjadi satu cabaran dan persaingan kepada mereka. Mereka akan terus mengeluarkan apa sahaja hujah untuk memburukkan minyak sawit kita bagi mempertahankan ekonomi dan minyak mereka sendiri.

Selain itu, teknologi dan pelaksanaan pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) menjadikan minyak sawit kita satu-satunya di dunia yang wajib dihasilkan secara mampan. Kita mewajibkan MSPO dan MPOB terlibat secara langsung membantu lebih 500,000 pekebun kecil.

Bagaimanakah masa depan industri sawit di Malaysia?

Hari ini industri sawit Malaysia telah mampu menghasilkan hampir 20 juta tan minyak sawit mentah setahun dengan nilai eksport mencecah RM65 bilion pada tahun 2019. Ia menyumbang kira-kira RM50 bilion atau 3.5 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Pada tahun ini, kita menyasarkan nilai eskport RM70 bilion. Dari tempoh Januari hingga Ogos 2020, jumlah eksport industri sawit Malaysia mencatatkan RM27.42 bilion, meletakkan industri ini sebagai penyumbang keempat terbesar kepada pendapatan eksport negara selepas elektrik dan elektronik, keluaran petroleum dan produk kimia.

Kita perlu memastikan bahawa sawit yang dihasilkan akan sentiasa lestari, mampan pada masa akan datang. Kita perlu tingkatkan kemampanan, produktiviti dan kualiti sebab antara cabaran yang kita hadapi selain penolakan Eropah ialah isu keselamatan makanan yang merupakan isu yang serius di sana.

Apa yang penting sebenarnya ialah kita tidak boleh bergantung semata-mata kepada penghasilan komoditi tetapi perlu mempelbagaikan produk hiliran bernilai tinggi.

Melihat kepada populasi dunia yang akan terus meningkat, keperluan minyak sawit akan meningkat. Kita sebagai negara terbesar pengeluar sawit, perlu meningkatkan hasil walaupun mempunyai tanah yang terhad. Sebanyak satu pertiga keperluan lemak dan minyak dunia dipenuhi oleh minyak sawit, jadi peranan kita agak besar.

Berapakah anggaran bilangan pengguna minyak sawit di seluruh dunia? Selain India, negara manakah lagi yang berpotensi menjadi pengguna minyak sawit?

Secara umumnya, 160 negara yang mengimport minyak sawit dari Malaysia. Kegunaan minyak memang sangat tinggi, hampir di seluruh dunia menggunakan minyak sawit Malaysia.

Buat masa ini, kita melihat China, India dan Kesatuan Eropah sebagai pasaran terbesar kita. Banyak cabaran yang kita hadapi dari negara-negara tersebut. Apa yang penting ialah pengguna akan sentiasa bertambah, bilangan penduduk dunia akan bertambah dan dijangka pada tahun 2043 jumlah penduduk akan mencapai sembilan bilion.

Keperluan lemak meningkat, jadi kebergantungan kepada minyak dan lemak akan meningkat. Namun, kita tidak boleh bergantung kepada India, China dan Kesatuan Eropah sahaja untuk pasaran minyak sawit. Pencapaian kita dalam tempoh enam hingga lapan bulan pertama tahun ini bukan semuanya dari negara-negara tadi, sebaliknya turut meliputi Turki dan Filipina.

Sebenarnya, memperkukuhkan pasaran sedia ada dan menambah pasaran baharu seperti Afrika menjadi keutamaan. Selain 10 pengimport terbesar minyak sawit dari Malaysia seperti India, China, Kesatuan Eropah, Pakistan, Turki, Filipina, Vietnam, Amerika Syarikat, Iran dan Jepun, pasaran di rantau Timur Tengah, Afrika dan Asia Tengah berpotensi menjadi pengguna minyak sawit.

Malangnya, PKP dan Covid-19 memperlahankan aktiviti berkenaan. Kita juga dapati ada sesetengah negara menerima maklumat negatif dan tidak tepat mengenai minyak sawit.
***
PROFIL
  • DR AHMAD PARVEEZ GHULAM KADIR
  • JAWATAN SEKARANG: Ketua Pengarah MPOB
  • UMUR: 54 tahun
  • PENDIDIKAN:
  • Sarjana Muda Sains Genetik (UKM)
  • Sarjana Sains Genetik Molekul (UKM)
  • PhD dalam Kejuruteraan Genetik Tumbuhan (UPM) ASAL: Taiping, Perak
  • PENCAPAIAN: Bersama MPOB sejak 1990 dengan menyandang pelbagai jawatan
  • Membangunkan kelapa sawit transgenik pertama di dunia pada tahun 1997

ANEKDOT
  • Pelopor kejuruteraan genetik sawit
  • Saya meminati bidang biologi manusia dan haiwan tetapi tidak meminati biologi tumbuhan. Namun, Allah mentakdirkan saya menyiapkan projek akhir ijazah pertama berkaitan sawit sehinggalah ke peringkat PhD.
  • Saya menyertai Institut Penyelidikan Minyak Sawit Malaysia (Porim) yang kini dikenali MPOB pada 1990. Pada tahun 1993, saya membuat kajian peringkat PhD berkaitan sawit. Sepatutnya saya pergi ke United Kingdom (UK) tetapi pihak pengurusan Porim meminta saya membuat PhD di Malaysia.
  • Saya mendaftar di UPM dan membuat kajian baharu. Kebetulan saya diminta membuat kajian di Malaysia, jadi saya menggunakan sawit sendiri. Ia merupakan cabaran yang besar kerana belum ada pakar dalam bidang baharu itu di negara ini. Saya dianggap pelopor bidang berkenaan di Malaysia.
  • Pada waktu itu, saya banyak berkomunikasi dengan pelbagai penyelidik di luar negara. Saya banyak membaca, menulis dan menghubungi mereka.
  • Pada tahun ketiga, saya dapat ke UK selama setahun untuk menyiapkan projek PhD berkenaan, saya menganggapnya rezeki. Di sana saya bertemu dengan salah seorang daripada lima orang peneraju bidang yang saya belajar.
  • Dia menerima saya untuk berada di makmal beliau dan peluang belajar dengan sifu bidang berkenaan merupakan rezeki. Saya banyak mengambil pengalaman di situ dan saya juga membawa produk pokok sel sawit ke sana. Saya balik ke Malaysia pada tahun 1997.
  • Kepakaran saya ialah bioteknologi dan kejuruteraan genetik sawit dan saya ialah pelopor bidang itu. Selain berkhidmat di MPOB, saya juga menjadi penyelia pelajar PhD.
Nama unik Parveez Ghulam Kadir
  • Parveez nama yang agak pelik dan merupakan nama Pakistan. Sebenarnya ia keturunan saya. 
  • Emak saya dilahirkan di Pakistan tetapi bapa saya dari Malaysia. 
  • Nama Parveez dan Ghulam Kadir sangat popular di Pakistan. 
  • Saya turut menamakan salah seorang anak perempuan saya dengan nama Parween yang terkenal di Pakistan. 
  • Anak yang lain mengekalkan nama Malaysia.
Artikel Penuh :
https://www.sinarharian.com.my/article/106858/BERITA/Nasional/Sumbangan-besar-minyak-sawit-Malaysia
© 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf

Ulasan