Pekebun kecil (tersusun) capai sepenuhnya sasaran MSPO


KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi pekebun kecil tersusun mencapai sasaran sepenuhnya pada akhir 2020, menurut Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB).

Ia menjelaskan, pensijilan yang dilaksanakan bersama agensi kerajaan Persekutuan dan negeri itu membabitkan penyertaan 233,191 pekebun kecil dengan keluasan kawasan tanaman sawit 724,633.32 hektar.
Ini membabitkan penyertaan lapan agensi iaitu Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan dengan keluasan 472,023.91 hektar (100,060 orang); Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Persekutuan sebanyak 138,816.32 hektar (89,440 orang) dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah dengan keluasan 25,973.89 hektar (14,389 orang), menurut MPOB dalam kenyataan hari ini.
Selain itu, pekebun kecil yang berada di bawah pengurusan agensi kerajaan negeri pula Lembaga Penyatuan dan Pemulihan Tanah Sarawak dengan 51,641 hektar (19,384 orang) dan Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan melibatkan 16,934.39 hektar (2,766 orang), jelasnya.
Tiga agensi lain ialah Lembaga Kemajuan Tanah Negeri Sabah dengan 16,651.71 hektar (5,895 orang), Perbadanan Kemajuan Ekonomi Islam Negeri Perak dengan 1,635.82 hektar (904 orang) dan Lembaga Kemajuan Tanah Sarawak sebanyak 957 hektar (353 orang), menurutnya.
MPOB juga menjelaskan, pencapaian sektor ladang dan kilang kelapa sawit juga hampir mencapai sasaran sepenuhnya.
Sehingga 31 Disember 2020, seluas 5.20 juta hektar atau 88.25 peratus daripada 5.9 juta hektar kawasan yang ditanam sawit di Malaysia telah memperoleh sijil MSPO, menurutnya.
"Sejumlah 434 kilang kelapa sawit atau 96.02 peratus daripada 452 kilang kelapa sawit juga telah mendapat sijil MSPO.
"Bagi pekebun kecil persendirian, seluas 311,739.51 hektar (31.61 peratus) kawasan tanaman sawit telah memperoleh MSPO dengan membabitkan 94,328 orang," katanya.
Menurut MPOB, pekebun kecil yang masih belum melaksanakan pensijilan MSPO akan menerima surat peringatan yang akan dikeluarkan bermula 1 Januari 2021.
Tindakan kompaun akan dikenakan bermula 1 Julai, 2021 dan mulai 1 Januari 2022, pekebun kecil yang masih gagal mendaftar atau memulakan proses pensijilan MSPO akan berdepan tindakan pembatalan, gantung lesen atau lesen tidak diperbaharui.
-BERNAMA
Sumber ; 
https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2021/01/780122/pekebun-kecil-capai-sepenuhnya-sasaran-mspo

Ulasan