Kerajaan PN serius tangani isu doktor kontrak

 

Kerajaan PN serius tangani isu doktor kontrak

KOTA BHARU: Biarpun ada pihak menganggap usaha kerajaan bagi menyelesaikan isu doktor kontrak sebagai separuh masak, namun kesungguhan kerajaan Perikatan Nasional (PN) tidak mampu dinafikan lagi.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini mengumumkan pegawai perubatan ditawar pelanjutan kontrak untuk tempoh dua tahun lagi bagi melengkapkan tempoh khidmat wajib.

Selain itu melanjut kontrak untuk tempoh maksimum empat tahun bagi pegawai perubatan dan pegawai pergigian yang diterima mengikuti pengajian kepakaran dalam tempoh kontrak dua tahun pertama.


Perdana Menteri juga memberitahu kontrak diurus mengikut kesetaraan kerjaya pegawai tetap dan mereka ditawar cuti belajar bergaji penuh serta tajaan pengajian yang setara dengan cuti belajar bagi bergaji penuh.

Turut diumum kerajaan menambah baik kemudahan kepada pegawai kontrak seperti cuti tugas khas perubatan, cuti tibi dan kemudahan tambang mengunjungi wilayah asal.

Bagi Pengerusi Ahli Lembaga Pelawat Hospital Putrajaya Dato’ Sri Dr Junaidy Abu Bakar, kerajaan sedia maklum dan mengambil kira segala pengorbanan doktor terutama ketika pandemik sekarang.

Menurutnya kerajaan berjanji menyelesaikan isu doktor kontrak dengan segera.

Oleh itu beliau berharap semoga penyelesaian yang mutlak dan titik persefahaman akan dicapai demi untuk kelangsungan dan kepentingan negara.

Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan Malaysia Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pula mahu doktor yang terlibat diminta bersabar kerana kerajaan sedang meneliti dan memperbaiki dasar-dasar sebelum ini demi untuk kebaikan bersama.

Oleh itu beliau meminta doktor kontrak untuk tidak menyertai mogok yang dirancang hari ini dan mengingatkan mereka akan sumpah jawatan mereka.

“Semua rakan sekerja, doktor dan pekerja penjagaan kesihatan untuk mengingati sumpah yang kita semua buat ketika kita memulakan profesion, ‘primum non nocere’.

Kata beliau jangan lakukan sesuatu yang ‘buruk’ atau ketidakadilan terhadap pesakit.

“Kepada rakan sekerja junior kami dalam jawatan kontrak, saya menggesa jangan terbabit demonstrasi dan tinggalkan tugas anda terhadap pesakit anda.

“Ingatlah bahawa banyak nyawa sedang dipertaruhkan dan demonstrasi boleh mempengaruhi nyawa mereka,” katanya pada hantaran di media sosialnya semalam.

Media hari ini melaporkan kira-kira 2,000 doktor lantikan kontrak yang berkhidmat di seluruh negara dikatakan akan meneruskan mogok. – HARAKAHDAILY 26/7/2021

Ulasan