- Dapatkan pautan
- X
- E-mel
- Apl Lain
MPOB cipta teknologi baharu rawat sisa akhir sawit
Ahmad Suhael Adnan - Julai 30, 2021 @ 6:20pm
ahmad.suhael@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Sekumpulan penyelidik Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta teknologi merawat sisa akhir efluen sawit (POME) yang mesra alam.
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir, berkata teknologi dihasilkan penyelidik diketuai Dr Nahrul Hayawin Zainal itu, berfungsi merawat bahan buangan POME yang mengandungi campuran air sisa minyak, zarah tanah dan pepejal terampai yang berwarna coklat kehitaman.
Katanya, teknologi baharu menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit itu selaras keperluan kilang sawit yang diwajibkan merawat POME, berdasarkan peraturan ketat Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan syarat pelesenan MPOB.
Jelasnya, teknologi dikenali sebagai Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air, adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia digunakan semasa proses rawatan, sekali gus lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran.
"Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif, dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi semasa rawatan tertiari.
"Pembuangan akhir sisa efluen POME yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula, dan karbon teraktif yang digunakan boleh dijadikan baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
"Kajian juga mendapati baja organik ini kaya dengan unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil daripada penjerapan sisa akhir efluen POME," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Memperincikan teknologi itu, Ahmad Parveez berkata, penyelidik MPOB mula menjalankan kajian pada 2019, sebelum melancarkan teknologi berkenaan di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021 baru-baru ini.
Jelasnya, ia menggunakan penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit, sebelum dilepaskan ke persekitaran.
"Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif kerana mempunyai ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi, serta kandungan abu yang rendah.
"Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit dihasilkan dengan banyak di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini adalah rendah jika dihasilkan oleh kilang sawit," katanya, memaklumkan prototaip yang diuji di lapangan membuktikan keberkesanannya.
Bagi melengkapkan teknologi baharu itu, Ahmad Parveez berkata, MPOB turut membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.
"Proses pembakaran secara dua dalam satu ini mengurangkan kos pengeluaran, tenaga, dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan, sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.
"Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua dalam satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyedia peluang perniagaan kepada pengusaha kecil dan sederhana (PKS)," katanya.
Ulasan
Catat Ulasan