PAS DAN UMNO PERLU TERUS BERSAMA DALAM MUAFAKAT NASIONAL DEMI MASA HADAPAN UMMAH





PAS DAN UMNO PERLU TERUS BERSAMA DALAM MUAFAKAT NASIONAL DEMI MASA HADAPAN UMMAH

Tarikh 29 September 2018 ; buat pertama kali saya hadir ke PAU di PWTC mewakili PAS. Perasaan masa ini memang luar biasa kerana pertama kali menghadiri PAU yang sangat asing bagi PAS.
Namun bermula di sini saya sangat berharap agar PAS dan UMNO segera temui titik persamaan.
Saya terlibat secara langsung dalam Himpunan Penyatuan Ummah (HPU) selaku PSUA PAS membantu Dato' Taki dalam urusan sekretariat.
Selama lebih kurang dua bulan turun naik ke Ibu Pejabat UMNO untuk mesyuarat, perbincangan dan lain-lain urusan sebelum HPU dilaksanakan sehingga wujudnya Muafakat Nasional (MN).
Selepas MN ditubuhkan, saya dilantik sebagai Koordinator bersama Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berperanan sebagai Ketua Sekretariat (PAS), berganding bahu dengan Dr Fauzi Shaffie selaku Ketua Sekretariat (UMNO) dan sahabat saya Mohd Sumali Reduan SUK UMNO dan beberapa orang lagi termasuk Salfarina Samsi yang sentiasa berada di pejabat MN Pusat.
Membina pertautan ukhuwwah bersama UMNO tidaklah sangat sukar kerana kedua-dua parti ini ada banyak persamaan. Namun usaha untuk meyakinkan ahli PAS dan UMNO yang puluhan tahun menjadi seteru politik dihadapi dengan berhemah dan tenang kerana di sini ada cabarannya tetapi ianya berjaya dilalui sehinggalah kepada kemuncak pada 14 September 2019 apabila MN dimetrai bersama.
Ketika PAS dan UMNO dapat bersama dalam MN, ada pihak yang cukup bimbang dengan perkembangan itu. Namun, pihak yang 'cukup bimbang' ini tentu selesa bila PAS dan UMNO tidak lagi semesra seperti dua tahun yang lalu, ketika bersama-sama meraikan HPU.
Asasnya, carilah dan perkukuhkan titik persamaan yang telah ditemui sebelum ini. PAS dan UMNO perlu terus bersama demi masa hadapan ummah.
Selamat Ulang Tahun Kedua Muafakat Nasional.
Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Penolong Setiausaha Agung PAS
Koordinator MN Pusat (PAS)
15 September 2021

Ulasan