YB SENATOR N. BALA - UCAPAN PERBAHASAN TITAH YANG DI PERTUAN AGONG

 



UCAPAN PERBAHASAN TITAH YANG DI PERTUAN AGONG
BAGI MESYUARAT PERTAMA, PENGGAL KEEMPAT, PARLIMEN KEEMPAT BELAS, MAJLIS MESYUARAT DEWAN NEGARA
Terima Kasih Tuan Yang Di Pertua Dewan Negara kerana memberi saya ruang untuk membahaskan titah Yang Di Pertuan Agong pada hari ini.
Saya mulakan ucapan dengan tiga rangkap pantun sebagai usaha untuk membalas pantuan Yang di-Pertuan Agong ketika menyampaikan titah baginda semasa pembukaan Parlimen pada 13 September yang lalu ;
Dari Jerantut ke Kuala Lumpur,
Singgah di Temerloh membeli ikan,
Bakti disemai bantuan dihulur,
Kepada rakyat yang sangat memerlukan.
Gunung Tahan tinggi melangit,
Air sungai mengalir ke hulu,
Menghulur bantuan jangan sedikit,
Rakyat didahulukan sudahlah tentu.
Ikan patin sedap rasanya,
Enak dimakan bersama taulan,
Bersatu hati, bersatu tenaga,
Negara dipertahan, Raja didaulatkan
Tuan Yang Di Pertua,
Pantun-pantun yang telah saya sampaikan tadi adalah menggambarkan betapa kita sebagai rakyat Malaysia yang ketika ini sedang berjuang mendepani bencana Covid19 yang masih lagi tinggi kadar catatan hariannya dan masih lagi tinggi jumlah mereka yang masih lagi positif. Sudah tentulah apa yang sangat penting ketika ini adalah kesepaduan tindakan dalam usaha untuk mempercepatkan penurunan jumlah kes di dalam negara. Syukur kepada Tuhan apabila jumlah kes semakin hari semakin menurun dan ianya selari dengan perancangan kerajaan yang telah ditetapkan sebelum ini.
Inilah harapan dan hasrat yang dilahirkan dan disampaikan oleh YDPA dalam titahnya yang sangat mengharapkan agat kita sebagai Ahli Dewan Parlimen dan Dewan Rakyat Wakil perlu memastikan bahawa rakyat perlu dijadikan keutamaan ketika ini, berbanding kepentingan politik peribadi masing-masing. Titah YDPA bahawa negara dan rakyat telah terlalu lama dibelenggu dengan masa hadapan yang kelam, bergelut dengan isu kesihatan dan juga kemurungan ekonomi wajar diberikan perhatian secara paling serius.
Walaupun masih ada lagi sebahagian kecil daripada Ahli Dewan Parlimen yang saya lihat sebelum ini masih lagi cuba 'bermain politik' dengan tidak memfokuskan perbahasan menurut apa yang dititahkan oleh YDPA yang lebih cenderung kepada serangan yang tidak berkaitan dengan apa tajuk perbahasan, saya sangat berharap agar ianya tidak berlaku di Dewan Negara yang mulia ini.
Adalah sangat penting untuk kita fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 dan membantu rakyat yang terkesan akibat pandemik.
Tuan Yang Di Pertua,
Hari ini kita hidup di Malaysia dengan penuh kemajmukan dan latar belakang masyarakat yang pelbagai. Kehidupan aman, bersatu padu dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang, miskin, kaya, tua atau muda. Konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri YAB Dato' Sri Ismail Sabri Yaakob mengetengahkan aspek perpaduan dan kemajmukan dalam pembentukan suatu negara amatlah dihargai dah perlu kita dokong bersama, bukan sahaja kita yang berada dalam Dewan Yang Mulia ini malah seluruh rakyat Malaysia.
Di dalam Al-Quran ada tercatat ayat ini ;
“Wahai umat Manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain).
Surah Al-Hujurat ayat 13
Ayat ini jelas menunjukkan prinsip Islam yang amat mementingkan kedamaian dan perpaduan. Prinsip Islam yakin bahawa Tuhan menjadikan manusia dengan pelbagai bangsa dan suku kaum agar kita dapat saling mengenali dan memahami di antara satu sama lain.
Pembentukan Negara Malaysia hari ini merupakan kesungguhan setiap anggota masyarakat membentuk keluarga mereka dengan nilai murni, akhlak yang mulia dan nilai etika yang tinggi. Peranan inilah yang kita mahu ia dipupuk dalam setiap sebuah keluarga, agar Keluarga Malaysia itu dapat diterjemahkan dan diseiringkan semangatnya dalam menterjemahkan kepada masyarakat. Pembentukan itu mestilah dimulakan dengan diri kita sendiri, kemudian terhadap keluarga, seterusnya kepada masyarakat dan akhirnya sumbagan kita kepada Negara Malaysia.
Ternyata ia sangat selari dengan apa yang dititahkan oleh YDPA iaitu hanya menerusi perpaduan, kesepakatan dan kebersamaan yang erat bagaikan sebuah Keluarga Malaysia, kita dapat mengharungi pelbagai cabaran dan dugaan yang bakal ditempuh.
Tuan Yang Di Pertua,
Di dalam perbahasan ini, saya ingin memberikan beberapa pandangan dan cadangan untuk diberikan fokus oleh kerajaan. Rancangan Malaysia Ke 12 dengan matlamat 'Keluarga Malaysia - Makmur, Inklusif, Mampan' merupakan satu pelan perancangan yang sangat tepat ketika ini bagi membolehkan semua rakyat menikmati taraf hidup lebih baik dengan sasaran menjadi negara berpendapatan tinggi pada 2025 seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri.
Fokus kerajaan mestilah tertumpu terhadap usaha meningkatkan kesejahteraan keluaga Malaysia, meningkatkan pemangkin pertumbuhan, membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan.
Isu yang sedang dihadapi oleh rakyat ketika ini ;
1. Golongan M40 tergelicir ke B40 sejak Covid19 melanda negara sejak Mac 2020. Sebelum ini telah dilaporkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) sebanyak 20 peratus daripada kumpulan isi rumah M40 yang berpendapatan di antara RM4,850 hingga RM10,959 beralih kepada kumpulan B40, faktor penurunannya adalah disebabkan pendapatan bergaji dan bekerja sendiri yang menjadi punca utama pendapatan isi rumah masing-masing menyusut 16.1 peratus dan 9.7 peratus pada 2020. Ia disumbangkan oleh isi rumah atau individu yang mengalami kehilangan atau pengurangan pendapatan, terutama mereka yang berstatus pekerja, bekerja sendiri dan lain-lain.
2. Isu pendidikan perlu diberi fokus. Isu pendidikan merangkumi perkara yang berkaitan dengan cara mengendalikan persekolahan ketika ini secara PDPA dan persekolahan yang dilasanakan secara fizikal di sekolak dalam keadaan COVID19 masih tinggi. Sistem Pembelajaran dan Pengajaran di Rumah (PDPR) yang kini diguna pakai oleh sistem persekolahan negara dalam usaha membendung penularan pandemik Covid-19, dilihat secara tidak langsung mencetuskan isu learning burnout atau hilang motivasi untuk belajar dan membaca dalam kalangan pelajar, khususnya murid sekolah rendah.
3. Bagi menghadapi perkara ini maka usaha meningkatkan kualiti guru dan prasarana sekolah serta IPT. Tidak dapat dinafikan bahawa ianya satu perkara yang tidak dirancang apabila COVID19 menyerang dunia khususnya Malaysia. Menghadapi PDPR tidak dirancang dari awal maka pelbagai kaedah dilakukan oleh para guru untuk mengajar anak murid di rumah. Begitu juga dengan persediaan bagi menghadapi persekolahan yang sedang beransur-ansur dibuka kepada pelajar ketika ini. Ianya perlu dipastikan bahawa guru-guru diberikan pendedahan yang mencukupi.
4. Sebelum ini, Kementerian Kewangan telah mengistiharkan bahawa seramai 150,000 murid di 500 buah sekolah rintis akan menerima komputer riba bagi memudahkan proses pembelajaran dalam talian seperti yang diluluskan dalam belanjawan 2021. Apakah ianya telah berjaya dilaksanakan?
5. Isu ekonomi dan pembangunan. Terdapat pelan pembangunan di dalam RMK12 dengan kos yang tinggi. Walaupun ada Ahli Parlimen yang membantah dan minta ianya ditangguhkan dahulu projek mega namun pada pandangan saya, ianya mestilah diteruskan dan jangan ditangguh kerana pembangunan mestilah berjalan seiiring. Ini adalah kerana RMK12 berpaksikan kepada 3 tema ; iaitu usaha jana semula ekonomi, perkukuh keselamatan, kesejahteraan dan inklusitiviti dan lonjak kemampanan.
6. Kerajaan perlu meningkatkan teknonolgi IR4.0 dan transformasi digital. Negara perlu bersedia untuk menghadapi dunia teknologi dan transformasi digital dengan lebih cepat. Sektor pembuatan dijangka beralih kepada pengeluaran produk yang mempunyai nilai tinggi. Contoh ; Shoppe, Lazada jualan semakin tinggi apabila berlaku pendemik kerana rakyat ketika ini sudah semakin selesa dengan jual beli atas talian. Begitu juga dengan sesi persidangan dan mesyuarat yang kini sudah serasi dilaksanakan dalam talian sahaja. Oleh itu proses penambahbaikan rangkaian 4G dan mempercepat perlaksanaan 5G di seluruh negara perlu diperkasanakan.
7. Kerajaan perlu menangani isu ketidakpadanan graduan dan pekerjaan. Kita mungkin boleh berbangga dengan anak-anak muda yang bersedia untuk membuat apa sahaja kerja yang boleh mendatangkan pendapatan namun kerajaan perlu berikan perhatian terhadap isu ini.
8. Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) telah meluluskan 4.98 juta permohonan i-Citra setakat 31 Ogos lalu, membabitkan kadar pengeluaran berjumlah RM20.58 bilion. Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, memaklumkan daripada jumlah itu, sebanyak RM4.71 bilion atau 23 peratus daripada kadar diluluskan, sudah dikreditkan kepada pemohon. Apakah isu yang menyebabkan masih tinggi lagi permohonan yang masih belum dikreditkan?
9. Program pembangunan luar bandar hendaklah terus ditingkat dan diperkasakan. Ketika ini, sejumlah 7.6 juta warganegara adalah merupakan penduduk luar bandar termasuk 198,015 orang penduduk Orang Asli.
Tuan Yang Di Pertua,
Sebagai penutup saya ingin menyeru dan mengajak seluruh Ahli Dewan Negara dan seluruh rakyat Malaysia supaya kita membina Keluarga Malaysia dengan membina hubungan mesra sesama rakyat Malaysia, seperti yang telah saya nyatakan dalam perbahasan dalam sidang yang lalu supaya mengamalkan kehidupan saling muafakat yang tidak berpecah belah ibarat serumpun bak serai, sesusun bak sirih. Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh. Negara ini perlukan rakyatnya yang bersatu-padu untuk kekal merdeka, bukannya rakyat yang saling bermusuhan atau bercakaran sesama sendiri.
Patrick Henry ; Gabenor Virginia yang pertama berkata ;
"Let us trust God, and our better judgment to set us right hereafter. United we stand, divided we fall. Let us not split into factions which must destroy that union upon which our existence hangs."
Sekian, salam hormat. Terima kasih.
YB SENATOR BALASUBRAMANIAM NACHIPPAN JP

Ulasan