SEMAKAN KEHAKIMAN PULAU BATU PUTIH - DOAKAN KEJAYAAN MALAYSIA


Doakan yang terbaik kepada Pasukan Petugas Khas yang terlibat dalam semakan semula isu Pulau Batu Puteh (PBP)

Semoga PBP akan kembali semula menjadi milik Malaysia!

Dua kenyataan saya sebelum ini tentang PBP. Kenyataan yang terkini akan menyusul, insya Allah.

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
15 November 2021
----------------------------------------------


11 individu sertai Pasukan Petugas Khas semak tuntutan Pulau Batu Puteh
WAN JUNAIDI TUANKU JAAFAR
Oleh AMREE AHMAD
14 November 2021, 12:48 pm

PUTRAJAYA: Seramai 11 individu bakal menyertai Pasukan Petugas Khas semakan semula undang-undang berhubung tuntutan Pulau Batu Puteh, Batuan Tengah dan Tubir Selatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, ia masih kekal dipengerusikan Tan Sri Mohamed Apandi Ali.

Dua peguam tempatan yang mengendalikan kes ini dari 2016 hingga 2017 iaitu Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin dan Datuk Abu Bakar As-Sidek Mohd. Sidek juga menyertainya.

“Turut terlibat ialah dua pengamal undang-undang, Datuk Datuk Dr. Baljit Singh Sidhu dan Datuk Tengku Ahmad Fuad Tengku Ahmad Burhanuddin,” katanya melalui kenyataan hari ini.

Penubuhan pasukan itu selaras persetujuan jemaah menteri pada 29 Oktober lalu dengan mereka akan mengesyorkan opsyen terbaik mengenai hala tuju kerajaan dalam kes tersebut.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 23 Mei 2008 memutuskan Pulau Batu Puteh sebagai milik Singapura manakala Batuan Tengah sebagai hak kedaulatan mutlak Malaysia.

Namun keputusan di The Hague, Belanda itu tidak memuktamadkan status Tubir Selatan pula dan hanya ditentukan kemudian dengan berdasarkan kedudukan terkini batuan itu terletak.

Pasukan itu juga akan mengenakan tindakan undang-undang ke atas individu yang didapati tidak mahu meneruskan permohonan semakan rayuan sebelum tempoh akhir pada 2018 lalu.

Isu ini menjadi panas kerana arahan itu dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas Pakatan Harapan menang Pilihan Raya Umum Ke-14 pada tahun tersebut.

Tindakan drastik pemimpin itu bahkan telah membangkitkan kemurkaan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar sebagai perbuatan tidak patriotik dan menjual kedaulatan negeri itu.

Mengulas lanjut, Wan Junaidi berkata, bekas Duta Besar Malaysia ke Belanda, Datuk Ahmad Nazri Yusof juga menganggotai pasukan itu dan Wan Nuzul Wan Mansor sebagai setiausaha.

Empat wakil masing-masing dari Kementerian Luar Negeri, Jabatan Peguam Negara, Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (Jupem) serta kerajaan negeri Johor yang akan terlibat sama.

“Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Peguam Negara dan Kementerian Luar Negeri akan bertindak sebagai urus setia pasukan ini, tambah beliau.

Memorandum Kabinet berhubung penubuhan pasukan ini ujarnya, termasuk terma rujukan, keanggotaan dan implikasi kewangan akan dibentangkan untuk kelulusan pihak jemaah menteri.

Pasukan berkenaan perlu mengemukakan dapatan dan syor kepada mesyuarat Kabinet dalam tempoh enam bulan sebagaimana keputusan dibuat oleh jemaah menteri akhir bulan lepas.

Isu pertindihan Pulau Batu Puteh atau dirujuk Singapura sebagai Pedra Branca, mula tercetus pada 1979 apabila Jupem menerbitkan peta rasmi memaparkan ia dalam wilayah Malaysia.

Bagaimanapun sejurus keputusan ICJ pada 2008, Malaysia segera membina Pangkalan Maritim Abu Bakar di Batuan Tengah sebagai persediaan menuntut Tubir Selatan di sebelahnya. – UTUSAN


Ulasan