27832 KES POSITIF ; REKOD KES HARIAN TERTINGGI DI MALAYSIA - APA KHABAR PRN JOHOR?





Asssalamu'alaikum dan salam perjuangan,

Mungkin tidak ramai yang terkejut dengan pengumuman semalam bahawa kes harian COVID19 di negara kita telahpun mencecah 27,832 kes positif  dan merupakan catatan yang tertinggi dalam sejarah sejak virus ini menyerang Malaysia pada tahun 2020.

Kali terakhir catatan yang paling tinggi adalah pada 26 Ogos 2021 di mana catatan yang direkodkan ketika itu adalah  24,599 kes dan ketika itu hampir tiga juta rakyat Malaysia sudah dijangkiti. Usaha kerajaan untuk meningkatkan suntikan vaksin dipertingkatkan dengan harapan kes positif COVID dapat diturunkan. 

Secara umumnya, kita dapat lihat kes Covid19 di Malaysia semakin terkawal dengan jumlah kes harian yang turun sekitar purata 4 ribu kes sehari pada bulan Disember 2021 dan Januari 2022 namun kes harian naik mendadak bermula bulan Februari tahun ini. 

Peningkatan ketara dapat dilihat sejak 4 Februari yang lalu dengan catatan 7,234 kes dan terus meningkat naik dengan mendadak setiap hari. Pada 6 Februari kes positif harian telahpun mula mencatatkan kes melebihi 10 ribu (10,089 kes) dan pada 11 Februari telah mencatatkan kes melebihi 20 ribu (20,939 kes).

Walaupun langkah berjaga-jaga dan peringatan telah diberikan supaya rakyat Malaysia terus memberikan tumpuan terhadap pematuhan prosedur operasi standard (SOP) namun nampaknya peningkatan kes harian ketika ini telahpun mencatatkan rekod baharu yang kita tidak impikan.

Kemunculan varian Omicron juga telah berulang kali disebarkan dalam massa namun ia tidak 'menakutkan' sebahagian daripada kita yang masih juga 'tidak ambil pusing' dengan kehadiran varian baharu ini.

Di Johor, Pilihan Raya Umum Negeri Johor (PRN Johor) akan bermula pada 26 Februari ini dan akan berakhir pada 12 Mac. PRN Johor yang secara konsistennya saya melihat sememangnya tidak perlu pun diadakan ketika negara sedang berlawan dengan Covid19 namun atas kehendak Menteri Besar Johor yang mahukan DUN dibubarkan di atas hujahnya untuk kestabilan kerajaan negeri terpaksa juga kita hadapi melainkan pengisytiharan Darurat dibuat untuk menangguhkan PRN Johor ini.

Perdana Menteri  Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 23 Januari yang lalu telah mengumumkan dan memberikan  jaminan bahawa kerajaan tidak akan melaksanakan kembali Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan sekatan untuk pulang ke kampung bagi sambutan Aidilfitri tahun ini. Tiada lagi PKP melainkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) secara bersasar akan dilakukan di kawasan terbabit saja.

Pada 23 Januari, ketika itu kes positif harian Covid19 adalah sebanyak 3,856 kes. Semalam mencatatkan peningkatan TUJUH KALI GANDA daripada tarikh 23 Januari. Adakah PM masih lagi dengan jaminannya?

Khairul Faizi bin Ahmad Kamil
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur
17 Februari 2022, 9.34 pagi

Ulasan