PRN Johor: Perikatan Nasional gabungan paling kuat



Oleh SYAHIRAH SALLEH


JOHOR BAHRU: Gabungan PAS, Bersatu dan Gerakan di bawah Perikatan Nasional disifatkan sebagai gabungan paling mantap bagi berdepan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Penolong Setiausaha Agung PAS, Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, perkara itu dapat dilihat melalui pelancaran jentera Perikatan Nasional dan penyusunan gerak kerja yang teratur dan bersemangat.

“Ini kali yang kelima saya bertanding, bermula sejak 2004. Cuma, berbanding sejak pertama kali saya bertanding, saya lihat ini adalah satu pasukan parti politik paling kuat PAS sertai berbanding dengan 2004 atau 2013 bersama Pakatan Rakyat.

“Saya yakin, peluang PAS bersama Perikatan Nasional, bukan sekadar mampu memang kerusi, tapi saya yakin dengan kesepaduan yang ada.

“Gerak kerja bersepadu akan membantu Perikatan Nasional menang dalam pilihan raya yang akan diadakan nanti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui Harakahdaily, selepas selesai menghadiri Majlis Memperkenalkan Calon Perikatan Nasional PRN Johor 2022, di sini, hari ini.

Khairul Faizi yang dicalonkan bertanding di DUN Senggarang juga berharap pengundi Johor bijak dalam menilai berdasarkan kejayaan Perikatan Nasional dalam membentuk kerajaan di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin.

“Dengan kepimpinan dan semangat kerja yang ada, pengundi perlu bijak memilih memimpin dan sudah tentulah Perikatan Nasional merupakan parti politik yang terbaik untuk dipilih sebagai kerajaan dalam masa akan datang,” katanya.

Pada PRN Johor kali ini, 15 calon Perikatan Nasional adalah daripada PAS, Bersatu (33) dan Gerakan (lapan).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 12 Mac sebagai tarikh pengundian bagi PRN Johor.

Tarikh penamaan calon bagi pilihan raya itu ditetapkan pada 26 Februari manakala pengundian awal pada 8 Mac. – HARAKAHDAILY 24/2/2022

Ulasan