Firman Allah SWT:
يَاأَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِنْ قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa”. (Surah al-Baqarah: ayat 185)
Ternyata terdapat perdebatan dan perbincangan yang agak panas dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap klip video ini, yang diringi watak penari yang jauh daripada adab ketimuran dan ajaran Islam, pastinya saya kira kurang sesuai untuk dikaitkan dengan kemenangan umat Islam pada bulan Syawal kelak setelah kita menempuh ujian dan tarbiah di dalam bulan Ramadan.
Saya cuba untuk mengambil peluang terhadap isu ini dengan mengajak semua rakyat Malaysia dan seluruh umat Islam khususnya untuk kita menjaga sensitiviti kepada perkara yang berkaitan dengan agama dan menjaga batasan terhadap hiburan yang kita mahu tonjolkan kepada masyarakat. Apatah lagi negara kita baru nak pulih daripada ingatan Allah terhadap bala Covid-19 yg melanda seluruh dunia.
Peluang dan rezeki yang Allah berikan kepada kita sebagai seorang yang berpengaruh, manfaatkanlah sebaiknya untuk mengajak umat Islam untuk lebih takutkan Allah dan menjauhi tingkah laku yang menjarakkan diri kita dengan ketaqwaan dan reda Allah SWT, lebih-lebih lagi kita berhadapan dengan bulan yang cukup mulia.
Sebagai tindakan awal, klip video ini telah saya rujuk kepada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk dibawa ke pihak berkuasa.
Nasihat saya, dengan penuh kasih sayang dan cintanya saya kepada insan-insan hebat yang mampu membangunkan ummah, agar klip video seumpama ini boleh dikeluarkan daripada disiarkan di mana-mana platform media, atau ianya boleh ‘diprivatekan’ hanya untuk tatapan peribadi empunya video.
Saya yakin ianya mampu memberi jiwa yang besar dan hati yang lebih lapang jika kita patuh pada ajaran dan nilai agama yang tidak rugi pun jika kita menturutinya, malah insya-Allah, Allah akan melapangkan lagi rezeki kepada kita atas patuhnya kita kepada Allah SWT.
Dalam masa yang sama, saya seru untuk semua rakyat Malaysia agar sentiasa berhati-hati dan cakna terhadap perkara yang boleh menyentuh sensitiviti agama yang makin baik dalam kalangan rakyat Malaysia.
Sekali lagi, dengan penuh rendah diri dan kasih sayang saya kepada semua saudara seIslam, moga nasihat ini adalah kerana Allah, dan biarlah Allah sahaja yang menentukan segala aturan kebaikan kepada hamba-Nya.
Jika ada peluang, mungkin saya boleh bertemu mata bersama dengan empunya video ini sebagai tanda ingatan dan ukhwah sesama Islam, dan mungkin banyak perkara yang boleh dikongsi bersama dalam pertemuan ini. Insya-Allah.
Ulasan
Catat Ulasan