ASAS utama dalam kehidupan adalah ‘hak dan tanggungjawab’, ‘rights and duties’.
Dalam isu air, Kerajaan Kelantan sedar akan keduanya. Maka tanggungjawab dipikul di pundak, hak negeri dipinta dan didesak.
Umno pula, puluhan tahun di Pusat. Masalah di Kelantan dijaja dan diarak, tetapi hak Kelantan mereka membisu seakan pekak.
Ada pula suara sumbang, meminta kita berlaku adil. Katanya, jangan hanya memetik kezaliman, ceritalah juga bab bantuan. Begitulah, bila pekung mula terdedah, mula meracau tak tentu arah.
Mahathir mengaku bahawa di zamannya, Umno Kelantan yang menyekat hak negeri. Mereka bimbang, jika keadilan diberi, PAS Kelantan terus kukuh dan bersemi.
Niat mereka, bila rakyat menderita tiada air, Kerajaan PAS akan dibenci, memilih Umno sebagai pengganti.
Rakyat Kelantan perlu sedar, politiking Umno tidak bertepi. Hari ini, mereka tampil seakan hero menjulang derita rakyat, sedangkan merekalah yang bersubahat memasang jerat.
Mereka memanipulasi isu air, rakyat menderita tidak mengapa, asalkan kerajaan negeri dirampas mereka.
Oh, di zaman Najib hutang Kelantan RM56 juta dihapus kata mereka. Teringat kata-kata Dato’ Mohd Amar, “bila dia buat jahat, semakin dia tak menang”. Barangkali zaman Najib mereka mula sedar, lalu perlahan-lahan cuba menjadi baik.
Ibarat mudah, pelajar bijak nak jawab peperiksaan. Sampai di depan pintu dewan, pengawas peperiksaan merampas pen dan pensil. Jika pengawas yang sama berkata budak itu bodoh tidak menjawab, maka pengawas itulah yang sebenarnya bodoh.
Jika masa ujian adalah sejam, saat berbaki 15 minit terakhir pengawas mula menyerahkan kembali pen dan pensil, berusahalah pelajar itu menjawab dalam waktu yang terdesak.
Lalu pengawas berkata, “jangan cerita saya rampas pen sahaja, cerita juga saya serahkan balik”.
Jahat tuan-tuan. Jahat dan dangkal pengawas peperiksaan itu.
Jika pelajar itu bandingkan kezaliman dia alami dengan pelajar lain yang tidak dirampas pen mereka, ianya dikatakan perbandingan adil.
Jika Dato’ Mohd Amar membandingkan peruntukan RM2 bilion kepada Pulau Pinang, dan hakikat negeri lain mendapat ‘soft loan’, ianya juga perbandingan yang adil. Jahat tuan-tuan. Jahat dan dangkal perangai mereka.
MUHAMMAD NABIL ZULKIFLI
Darulnaim Research Centre
Ulasan
Catat Ulasan