Warisan hilang, sejarah terpadam


HARI Isnin lepas saya telah singgah di Stesyen Keretapi lama Kuala Lumpur (KL). Sebelum KL Sentral dibuka dalam tahun 2001, stesyen tersebut merupakan stesyen keretapi utama bagi Kuala Lumpur. Stesyen ini siap dibina dalam tahun 1917 dengan seorang Inggeris, Arthur Benison Hubback bertanggungjawab ke atas rekabentuknya. Beliau juga bertanggungjawab ke atas bangunan-bangunan utama lain di negara kita seperti Masjid Jamek Kuala Lumpur, Masjid Ubudiah Kuala Kangsar, Bangunan DBKL yang lama dan Stesyen Keretapi Ipoh. Hubback pernah berkhidmat di India dan tidak hairan kebanyakan rekabentuknya berdasarkan senibina Empayar Islam Mughal (1526 – 1857) di sana.

Ketika keretapi kendalian KTM merupakan pengangkutan yang tiada saingannya, stesyen ini selalunya penuh sesak ketika musim perayaan dan musim cuti sekolah dengan mereka yang hendak pulang ke kampung. Ia merupakan sebuah bangunan bersejarah dan penuh nostalgia di mana kewujudannya tidak boleh dipisahkan dari sejarah Kuala Lumpur dan negara kita. Justeru itu ketika saya melangkah masuk ke stesyen tersebut, saya mengharapkan satu bangunan yang begitu indah, sarat dengan kegemilangan masa lampau. Walau bagaimanapun saya tersilap.

Pada pandangan saya, stesyen tersebut tidak diselenggara dengan sempurna. Air menitik dari bumbung yang sudah tentu bocor dan berkumpul di atas lantai. Terdapat air yang meleleh di dinding mengakibat dinding di situ berlumut. Walaupun keadaannya bersih namun begitu tidak kelihatan usaha yang bersungguh-sungguh untuk menceriakan bangunan bersejarah itu. Stesyen tersebut kelihatan muram dan gelap.

Hari ini dengan keretapi di antara bandar-bandar besar beroperasi daripada KL Sentral, stesyen ini kelihatan lengang. Walau bagaimanapun komuter KTM ke sekitar Lembah Kelang dan Seremban masih beroperasi dari situ. Keadaan amat berbeza dari zaman kegemilangannya. Tetapi adakah kita patut melupakan bangunan yang di satu masa dahulu merupakan di antara mercu tanda ibu negara?

Keperluan dan pembangunan menyebabkan stesyen tersebut tidak lagi dapat memenuhi peranannya di satu masa dahulu. Bukan sahaja stesyen ini tetapi terdapat bangunan-bangunan lain yang di satu masa dahulu memainkan peranan yang penting di dalam pentadbiran kerajaan dan juga masyarakat tetapi hari ini tidak lagi dapat memenuhi peranan tersebut. Sama ada kerana lokasi yang tidak lagi strategik, saiz yang tidak lagi memadai atau tidak berupaya menerima teknologi baharu.

Terdapat bangunan-bangunan ini yang ditinggalkan begitu sahaja dan terdapat juga diubahsuai untuk memenuhi fungsi yang baharu. Banyak bangunan-bangunan tersebut yang mempunyai nilai sejarah, kebudayaan dan senibina yang tidak ternilai. Ia perlu diselenggara dengan baik dan dengan fungsi-fungsi baharunya boleh mengembalikan zaman kegemilangannya. Tetapi kita bukan sahaja bercakap mengenai bangunan-bangunan tertentu sahaja tetapi juga sejarah negara ini. Mungkin pada mulanya kita memadamkan memori bangunan-bangunan tersebut tetapi akhirnya sedikit demi sedikit sejarah akan terpadam. Negara dan bangsa yang tidak kenal kepada sejarahnya akan hilang harga diri dan senang diperbodohkan.

Hari ini tidak ramai dari kita yang mengetahui terdapat kampung-kampung Melayu di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur. Warga kota sudah tentu mengenali Jalan Tun Perak di mana terdapat Masjid Jamek dan sebuah stesyen LRT di situ. Nama lama Jalan Tun Perak adalah Jalan Mounbatten (1946 – 1961) dan sebelum itu Java Street atau Jalan Jawa (1889 – 1946). Nama Java Street diberi kerana terdapat penempatan rumpun Melayu dari suku Jawa dan suku Sumatera di situ. Terletak berhampiran adalah Jalan Melayu di mana terdapat Wisma Yakin dan namanya adalah kerana terdapat penempatan orang-orang Melayu.

Selain dari itu, terdapat juga pusat masyarakat rumpun Melayu dari suku Bawean (Boyan) di jalan tersebut. Terdapat juga kampung Rawa di utara Java street. Orang Rawa adalah rumpun Melayu Minangkabau dari Sumatera Barat. Mungkin ramai yang tidak akan percaya bahawa kawasan di sekitar kawasan Masjid Jamek, Wisma Yakin dan Masjid India merupakan kampung-kampung Melayu. Terdapat 2 buah masjid di situ ketika itu tetapi kita hanya tahu 2 masjid yang kekal hingga ke hari ini di itu.

Satu lagi fakta sejarah yang telah dilupakan adalah sejarah Bukit Nenas di mana hari ini terdapat Hutan Simpan Bukit Nenas, sekolah lelaki St John’s Institution dan sekolah perempuan Covent Bukit Nenas. Ramai yang tidak tahu di bukit tersebut terdapat penempatan terawal orang-orang Melayu di Kuala Lumpur. Menurut sejarah nama asalnya adalah Bukit Gombak dan telah bertukar kepada Bukit Nenas kerana terdapat pokok-pokok nenas yang ditanam sebagai pertahanan terhadap serangan ketika peperangan di Selangor (1867 – 1874). Tetapi kesemuanya itu telah dilupakan.

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH) – HARAKAHDAILY 25/5/2022

Ulasan