PANGLIMA KIAI HAJI SALLEH : TOKOH PEJUANG MENENTANG KOMUNIS DI JOHOR


PANGLIMA KIAI HAJI SALLEH : TOKOH PEJUANG MENENTANG KOMUNIS DI JOHOR

Jika di Pahang terkenal dengan allahyarham Mat Kilau yang sedang menjadi fenomena ketika ini, di Johor nama allahyarham Panglima Kiai Haji Salleh cukup sinonim kerana jasanya dalam menentang Komunis.

Penduduk di Muar, Batu Pahat dan Parit Sulong cukup berbangga apabila bercerita tentang Kiai Haji Salleh. Malah semangat juang Kiai Haji Salleh terus kekal dalam jiwa dan sanubari khususnya di kalangan orang lama di kawasan ini.

Namun, generasi muda semakin lupa dengan kehebatan seorang ulamak yang disegani dan dihormati ini. Penulis pakar motivasi, Dr HM Tuah Iskandar pernah menukilkan bahawa sekiranya tiada Panglima Salleh, mungkin tidak ramai penduduk asal Batu Pahat dan Muar di Johor yang masih hidup ketika ini kerana mereka mungkin mati dibunuh komunis. Beliau bimbang sejarah perjuangan Kiai Haji Salleh yang kini semakin dilupakan ramai pihak.

Mat Kilau, sejarahnya mula dikenang ketika ini apabila kisahnya difilemkan dan ditayangkan di pawagam serta mendapat sambutan yang luar biasa daripada rakyat Malaysia. Jika tidak, mungkin juga ia menerima nasib yang sama dengan pahlawan-pahlawan terdahulu dalam perjuangan menentang penjajah.

Kekejaman Komunis

Sejarah penjajahan Jepun ke atas Tanah Melayu memang cukup tragis dan memeritkan. Disusuli pula dengan kekejaman Komunis yang mengganas dengan menyeksa dan membunuh kejam penduduk tempatan khususnya selepas Jepun menyerahkan kalah dalam Perang Dunia Kedua. Di sekitar Batu Pahat dan Muar ketika itu, Kiai Haji Salleh telah bangun menentang pengkhianat negara itu bagi mempertahankan maruah bangsa yang diseksa.

Tentangan hebat diberikan Panglima Salleh dan pasukan yang mendapat jolokan 'Tentera Selempang Merah' yang ditubuhkan oleh Kiai Haji Salleh menyebabkan nama tokoh itu digeruni komunis sehinggakan komunis tidak berani bermaharajalela dan menganiaya penduduk sekitar daerah berkenaan sesuka hati kerana Kiai Haji Salleh adalah pendekar yang mempertaruhkan diri dan nyawa untuk turut sama menentang komunis pada ketika itu.

Tokoh Ulamak, Pemimpin dan Penyatu Ummah

Kiai Haji Salleh dilihat sebagai seorang tokoh ulamak, pemimpin dan penyatu ummah apabila berjaya menyatupadukan dan memimpin penduduk Melayu di Batu Pahat. Penduduk di daerah ini terdiri dari pelbagai suku iaitu Banjar, Jawa, Bugis serta Melayu untuk menentang Komunis. Kekejaman (The Malayan Peoples' Anti-Japanese Army) MPAJA dan sekutunya cukup dirasai selepas kekalahan Jepun dalam Perang Dunia Kedua telah diambil kesempatan untuk berkuasa dan bertindak kejam terhadap orang-orang yang dianggap bekerjasama dengan Jepun.

Walaupun serba kekurangan, masyarakat Melayu di kawasan Parit Sulong dan Batu Pahat yang pada ketika itu tidak mempunyai kelengkapan senjata api telah memilih Haji Mohd Salleh untuk memimpin mereka dalam mempertahankan diri dari kekejaman Askar Bintang Tiga. Mereka hanya bersenjatakan parang panjang, tombak, lembing dan pedang bagi memerangi pihak Bintang Tiga yang bersenjatakan senapang dan pistol.

Siapa Panglima Kiai Haji Salleh?

Secara ringkasnya, Haji Mohd Salleh bin Abdul Karim atau Pangliman Kiai Haji Salleh dilahirkan di Tanjung Olak Panchur, Bukit Pasir, Muar, Johor. Kiai Haji Salleh adalah merupakan seorang yang cintakan ilmu dan menghabiskan masa mudanya dengan menuntut ilmu daripada beberapa orang guru. Antara guru-gurunya adalah Haji Hussein (belajar agama dan al Quran), Haji Alias, Haji Adam dan Haji Ahmad. Beliau juga turut belajar daripada Haji Abdul Fadhil bin Abu Bakar Banten yang membawa ajaran Wirid Khaujakan di Johor selepas mendapat perkenan Sultan Ibrahim dan telah dilantik sebagai ketua kumpulan Wirid Khaujakan di Batu Pahat , Johor.

Kemampuan dan keberanian Kiai Haji Salleh telah diiktiraf oleh Kebawah Duli Sultan Johor AlmarhumSultan Ibrahim ibni Sultan Abu Bakar yang bertitah pada 26hb Disember 1945 bahawa Haji Mohd Salleh adalah Panglima Melayu yang membawa kepada gelaran Panglima.

Beliau telah kembali ke rahmatullah setelah dirawat di Hospital Besar, Johor Bahru akibat serangan penyakit paru-paru pada 21 April 1959. Namun sebelum itu, DYMM Sultan Johor telah mengurniakan beliau Pingat Ibrahim Sultan (PIS) pada 17hb September 1955 sebagai mengenang jasanya selama ini.

Penutup

Sebagai anak Johor, sudah tentulah kisah Kiai Haji Salleh ini menjadi inspirasi dan kebanggaan diri. Mungkin kehebatan Kiai Haji Salleh hanya tertumpu di Batu Pahat sahaja namun pengorbanan dan ketokohannya dengan jasa beliau yang berjaya menyatupadukan orang Melayu bagi menentang keganasan pihak komunis di Batu Pahat membawa kesan yang amat besar dalam perkembangan sejarah perjuangan politik Johor.

Sudah tiba masanya Kiai Haji Salleh diangkat sebagai Tokoh Pejuang Kemerdekaan di peringkat yang lebih tinggi dan dikenali oleh rakyat Malaysia.

KHAIRUL FAIZI BIN AHMAD KAMIL
5 Muharram 1444 / 3 Ogos 2022
Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur

www.khairulfaizi.com.my

Ulasan