YB BALASUBRAMANIAM : RUU KEUNTUNGAN LUAR BIASA (PINDAAN) 2022




RUU KEUNTUNGAN LUAR BIASA (PINDAAN) 2022

Salam sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,

Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas di dalam perbahasan ini yang melibatkan RUU Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022.

Tuan Yang Dipertua,

Tahun lalu, ketika menggulung perbahasan RUU Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2020, Timbalan Menteri Kewangan ada menyebut bahawa pindaan dalam RUU ini adalah untuk memberi keadilan kepada pemain industri. Kerajaan mengikuti apa yang telah dikehendaki pemain industri untuk memberi keadilan dalam Rang Undang-Undang ini dan pindaan ini juga telah dilakukan hasil libat urus bersama pemain industri.

Pindaan pada kali ini pula bagi meminda peruntukan sedia ada Akta Levi Keuntungan Luar Biasa 1998 (Akta 592) dan memasukkan peruntukan baharu dengan tujuan untuk menambah baik pentadbiran levi keuntungan luar biasa melalui peruntukan remisi dan pulang balik levi serta penalti yang boleh memberi manfaat kepada orang yang membayar levi.

Tuan Yang Dipertua,

RUU Keuntungan Luar Biasa kini dikaitkan dengan Minyak Sawit Mentah (MSM) yang mencatatkan nilai eksport yang tinggi. Enam bulan pertama 2022, eksport minyak sawit dan produk berasaskan minyak sawit lain (POPP) berjumlah sehingga 11.47 juta tan, meningkat 2.8 peratus berbanding 11.15 juta tan dalam tempoh yang sama tahun 2021.

Levi Keuntungan Luar Biasa bagi Kelapa Sawit, Levi yang dikenakan adalah pada kadar 3% ke atas harga minyak sawit yang melebihi RM 3,000/tan di Semenanjung Malaysia dan pada kadar 3% ke atas harga minyak sawit melebihi RM 3,500/tan di Sabah & Sarawak.​​ ​

Tuan Yang Dipertua,

Saya ingin mendapatkan maklumbalas daripada Menteri/Timbalan Menteri, adakah levi ini yang dikenakan kepada pengusaha sawit dalam negara tidak mendatangkan bebanan kepada mereka sedangkan pelabur daripada luar tidak dikenakan cukai yang sama.

Dalam hal ini, adalah penting untuk berlaku adil dan tidak berlaku zalim.

Sabda Nabi Muhammad dalam sebuah hadis qudsi bahawa Allah SWT berfirman:

“Wahai hamba-hamba-Ku! Sesungguhnya Aku telah mengharamkan sifat zalim ke atas diri-Ku dan Aku jadikannya (kezaliman) haram antara kalian, maka janganlah kalian berlaku zalim sesama kalian.”

(Hadith Riwayat Muslim)

Tuan Yang Dipertua,

Saya juga ingin mendapatkan penjelasan, berapakah keuntungan levi yang dikembalikan kepada rakyat Malaysia daripada hasil yang berjaya dikutip pada tahun lalu? Saya difahamkan bahawa kutipan bagi MSM pada separuh pertama tahun ini adalah sebanyak RM 2.1 billion.

Tuan Yang Dipertua,

Saya dengan ini menyokong Rang Undang Undang Keuntungan Luar Biasa (Pindaan) 2022

Sekian, terima kasih.

YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP

Ulasan