Salam sejahtera dan Salam Keluarga Malaysia,
Terima kasih Tuan Yang Dipertua kerana memberikan saya ruang dan peluang untuk turut sama berbahas di dalam perbahasan ini yang melibatkan RUU Levi Perlepasan (Pindaan) 2022 bagi meminda Akta Levi Pelepasan 2019 (Akta 813).
Pindaan ini membolehkan jika terdapat kekangan untuk membayar cukai dalam tempoh yang ditetapkan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau penutupan operasi perniagaan, lanjutan tempoh boleh diberikan sebagai kelonggaran untuk pihak industri membayar levi tanpa dikenakan levi lewat bayar. Ini adalah merupakan satu pindaan yang perlu disokong di dalam Dewan yang mulia ini.
Tuan Yang Dipertua,
Saya menyokong pindaan RUU ini sebagai usaha untuk memberikan kuasa kepada Menteri untuk mengambil tindakan yang sewajarnya sekiranya berlaku krisis kesihatan seperti mana yang telah kita hadapi sewaktu berhadapan dengan Covid19.
Sememangnya kita memerlukan tindakan yang pantas dan effisien walaupun sudah tentulah kita mengharapkan dan berdoa agar krisis kesihatan seperti pendemik Covid19 tidak berlaku lagi pada masa akan datang namun kewaspadaan mestilah kita terus pertingkatkan.
Tuan Yang Dipertua,
Rang undang-undang yang mengandungi dua fasal ini memasukkan dua peruntukan baharu bagi menambah baik levi pelepasan melalui fasilitasi tertentu yang diberikan kepada pembayar cukai khususnya semasa berlakunya kecemasan awam seperti bencana alam.
Dengan adanya peruntukan baharu ini, sekiranya berlaku kecemasan atau krisis kesihatan awam di masa akan datang, Menteri Kewangan boleh melanjutkan tempoh penghantaran penyata dan bayaran levi melebihi 30 hari.
Tuan Yang Dipertua,
Saya melihat bahawa pindaan ini juga berperanan untuk Menteri menggunakan kuasa bagi memastikan bahawa ekonomi rakyat dapat dijana dan dipertingkatkan. Pengalaman ngeri melihat bagaimana rakyat kehilangan pekerjaan, pejabat dan kilang terpaksa ditutup dan industry ekonomi terhenti akibat dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) perlu kita elakkan pada masa akan datang.
Tuan Yang Dipertua,
Dalam masa yang sama, saya juga ingin menyatakan di sini berkaitan cukai yang dikenakan kepada rakyat lebih-lebih lagi ketika ini rakyat sedang dalam proses untuk meningkatkan kembali ekonomi masing-masing.
Kerajaan mestilah bertindak adil kepada rakyat dalam soal ini.
Firman Allah dalam Al-Quran ;
“Sesungguhnya Allah perintahkan kamu supaya menunaikan amanah kepada ahlinya. Dan apabila kamu berhukum di antara manusia, bahawa kamu menjatuhkan hukum dengan adil”
Surah An-Nisa’ ayat 58
Tanpa menafikan bahawa selain dari cukai yang dikutip dari hasil perniagaan, cukai juga dikutip daripada rakyat. Cukai yang di ambil daripada rakyat ini juga akan dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai saluran oleh kerajaan termasuk pembinaan infrastruktur. Hasil daripada cukai ini digunakan oleh kerajaan untuk mentadbir dan mengurus sesebuah negara dan juga bagi digunakan untuk perbelanjaan pembangunan.
Saya mencadangkan supaya kerajaan menilai kembali cukai yang dikenakan kepada rakyat yang ingin keluar negara bagi tujuan bukan perlancongan seperti untuk tujuan ibadah, kesihatan dan melanjutkan pelajaran.
Tuan Yang Dipertua,
Saya dengan ini menyokong Rang Undang Undang Cukai Perlepasan (Pindaan) 2022
Sekian, terima kasih.
YANG BERHORMAT SENATOR BALASUBRAMANIAM A/L NACHIAPPAN, JP
Ulasan
Catat Ulasan