PUSAT Pengurusan Kecemasan dan Bencana Malaysia (Khidmat Malaysia) mengambil maklum berkaitan dengan kenyataan yang telah dikeluarkan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) yang meramalkan bahawa negara kita akan mengalami hujan lebat berterusan mulai pertengahan November ini, yang boleh membawa kepada banjir besar pada penghujung bulan tersebut.
Menurut Ketua Pengarah MetMalaysia, Muhammad Helmi Abdullah, cuaca yang dialami dijangka memberi impak lebih signifikan kerana Monsun Timur Laut yang aktif pada tempoh itu, di mana risiko berlaku hujan lebat berterusan dan banjir berskala besar adalah tinggi.
Kebimbangan tersebut ditambah lagi dengan fenomena La Nina yang masih berterusan dan dijangka sehingga awal tahun depan, menyebabkan peningkatan taburan hujan.
Seperti yang pernah dialami sebelum ini, negara akan mengalami fasa peralihan monsun yang berlaku pada akhir September hingga awal November dan kali ini dilaporkan bahawa negeri-negeri Pantai Barat serta pedalaman Semenanjung, Sarawak (Barat dan Tengah) dan Barat Sabah di sebelah petang hingga awal malam, ribut petir akan lebih kerap berlaku berbeza dengan cuaca di waktu pagi.
MetMalaysia juga melaporkan bahawa risiko untuk berlakunya banjir kilat adalah tinggi dalam tempoh ini terutamanya di kawasan yang rendah di Pantai Barat Semenanjung.
Mutakhir ini, kerap berlaku banjir kilat yang menenggelamkan beberapa kawasan di Malaysia. Antaranya, pada akhir bulan lalu, hujan lebat yang turun berterusan telah menyebabkan berlakunya kejadian banjir kilat di beberapa kawasan di sekitar bahagian Selatan Bangi yang melibatkan kawasan Bandar Seri Putra, Bandar Puteri dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS).
Pada Awal bulan tersebut juga, hujan lebat yang turun lebih sejam telah mengakibatkan beberapa jalan di bandar raya Johor Bahru dan perkarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA) mengalami banjir banjir kilat.
Khidmat Malaysia terus memantau perkembangan ini telah mengarahkan bantuan diberikan ke kawasan yang terlibat sepanjang berlakunya banjir kilat ini dan banjir kilat yang akan berlaku pada masa hadapan namun apa yang lebih diutamakan ketika ini adalah kemungkinan besar akan berlakunya bencana banjir besar pada penghujung bulan November nanti.
Sudah tentulah persediaan dan persiapan awal bagi menghadapi ketibaan bencana ini hendaklah dipertingkatkan. Justeru semua entiti yang bernaung di bawah Khidmat Malaysia seperti Jabatan Amal, Briged Muslimat, Lajnah Kebajikan dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGOs) serta Khidmat Malaysia di peringkat Negeri dan Kawasan hendaklah memulakan persiapan termasuklah menyediakan tenaga kerja dan peralatan yang bersesuaian dengan operasi bencana nanti.
Bilik Gerakan Negeri dan Bilik Operasi di peringkat kawasan hendaklah dipersiapkan. Kelengkapan dan peralatan pentadbiran mestilah dipersiapkan.
Khidmat Malaysia Pusat akan mengadakan mesyuarat penyelarasan dalam masa terdekat yang akan dipengerusikan oleh Datuk Siti Zailah Mohd Yusof, Pengerusi Khidmat Malaysia merangkap Timbalan Menteri di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.
Amaran yang dikeluarkan oleh MetMalaysia mestilah dipandang serius oleh semua pihak yang ingin merancang apa jua aktiviti pada penghujung tahun ini. Apapun, marilah kita berdoa agar bencana yang diramalkan ini dapat dijauhkan dan tidak mendatangkan kesan besar kepada masyarakat.
Sekian.
KHAIRUL FAIZI AHMAD KAMIL
Ketua Pengarah Khidmat Malaysia – HARAKAHDAILY 13/9/2022
Ulasan
Catat Ulasan