Perhimpunan Agung PBB adakan sidang tergempar isu Ukraine


GENEVA - Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengadakan sidang tergempar pada Isnin bagi membincangkan referendum "haram" yang disokong Moscow untuk menggabungkan bahagian timur Ukraine, dengan utusan Kyiv menuduh Rusia sebagai "negara pengganas", beberapa jam selepas ia melakukan serangan maut di seluruh negaranya yang membunuh sekurang-kurangnya 14 orang awam.

"Seluruh dunia sekali lagi melihat wajah sebenar negara pengganas yang membunuh rakyat kita,'' lapor Agensi Anadolu, memetik duta PBB untuk Ukraine, Sergiy Kyslytsya pada Perhimpunan Agung PBB.



''Menyasarkan orang awam secara sengaja adalah jenayah perang. Dengan melancarkan serangan peluru berpandu ke atas orang awam yang tidur di rumah, mereka yang dalam perjalanan ke tempat kerja, kanak-kanak bergerak ke sekolah, Rusia telah membuktikan sekali lagi bahawa ia adalah negara pengganas yang mesti dihalang dengan cara yang paling tegas,'' kata Kyslytsya.

Beliau berkata, pengilhakan haram Rusia ke atas wilayah Ukraine menimbulkan 'ancaman' ke atas PBB, dan masyarakat antarabangsa perlu mempertahankan prinsip Piagam PBB.

''Kita kini berada di titik kritis sama ada PBB akan memulihkan kredibilitinya atau ia akhirnya akan gagal. Dan jika gagal kita tidak harus menyalahkan sesiapa kecuali diri kita sendiri,” katanya.

Utusan PBB Rusia, Vassily Nebenzia, menganggap pertemuan itu sebagai 'terlalu dipolitikkan' sambil menambah ia dijalankan secara khusus untuk mempromosikan naratif anti-Rusia.

Nebenzia menuduh NATO meningkatkan konflik dan berkata Rusia sebenarnya berhadapan dengan NATO di Ukraine.

Perhimpunan Agung dijangka mengundi draf resolusi minggu ini yang mengutuk referendum "haram" yang disokong Moscow untuk menggabungkan bahagian timur Ukraine -- Donetsk, Luhansk, Zaporizhzhia dan Kherson yang melanggar undang-undang antarabangsa.

Resolusi yang dirangka Kesatuan Eropah dan ditaja bersama Türkiye itu meminta badan dunia itu menimbang untuk mengasingkan Rusia daripada masyarakat antarabangsa, jika diterima pakai.

Rusia meminta undi sulit untuk undian resolusi itu namun, Perhimpunan Agung PBB menolak permintaan itu dengan 107 undi menyokong.

Tiga belas negara mengundi menentang mengadakan undian awam mengenai draf resolusi itu manakala 39 negara berkecuali.

Rusia dan China tidak mengundi, bersama beberapa lagi negara lain.

''Ini satu lagi langkah ke arah perpecahan yang lebih besar yang kami yakin bukanlah diingini majoriti negara yang wakilnya berkumpul di dewan ini,'' kata Nebenzia.

Draf resolusi Perhimpunan Agung PBB meminta semua negara dan pertubuhan antarabangsa supaya tidak mengiktiraf perubahan yang dibuat Rusia di empat wilayah di timur Ukraine serta menuntut Rusia segera membatalkan keputusannya itu tanpa syarat. - Bernama

Ulasan