Susunan ZIAUDDIN SHARUDDIN
DHAKA: Taufan Sitrang yang melanda kawasan pantai Bangladesh, hari ini, membunuh sekurang-kurangnya sembilan orang, memusnahkan rumah, mencabut pokok, menyebabkan lalu lintas kelam kabut, bekalan elektrik dan perhubungan terputus.
Pemindahan besar-besaran sebelum taufan melanda pantai barat negara itu membantu menyelamatkan nyawa, tetapi jumlah keseluruhan mangsa dan kerosakan hanya akan diketahui selepas komunikasi dipulihkan sepenuhnya.
“Ia amat mengerikan, taufan kelihatan seperti air laut datang untuk menangkap kami,” Mizanur Rahman, penduduk daerah Bhola selepas komunikasi dipulihkan di kawasan kejiranannya.
“Kami berjaga sepanjang malam, apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa,” katanya.
Taufan itu melanda dari Teluk Bengal dengan angin kencang sehingga 88 kilometer sejam dan gelombang ribut kira-kira tiga meter yang membanjiri kawasan rendah berhampiran pantai.
Sebahagian besar bekalan elektrik dan telefon terputus, manakala kawasan pantai bergelap. Kebanyakan orang yang terbunuh dihempap pokok tumbang.
Tiada kerosakan besar dilaporkan di kem pelarian tenggara Bangladesh yang menempatkan lebih sejuta pelarian etnik Rohingya dari negara jiran, Myanmar, yang tinggal di tempat perlindungan yang rapuh.
Pegawai kerajaan menasihat hampir 32,000 pelarian Rohingya yang berpindah dari kem ke pulau yang terdedah kepada banjir di Teluk Bengal supaya tinggal dalam rumah.
“Kami merasakan kuasa angin kencang, tetapi terhindar dari bencana,” kata pelarian Rohingya, Mohammed Arman.
Ulasan
Catat Ulasan