DATO' SERI HISHAM DIGANTUNG ENAM TAHUN : IKON UMNO JOHOR YANG DISISIHKAN



DATO' SERI HISHAM DIGANTUNG ENAM TAHUN : IKON UMNO JOHOR YANG DISISIHKAN

Malam tadi, saya kira ramai tertunggu-tunggu pengumuman 'senarai panjang' pengumuman pemimpin dan ahli UMNO yang akan dipecat dan digantung keahlian.

Ini berikutan kenyataan Presiden UMNO bahawa akan ada pembersihan besar-besaran terhadap mereka yang mensabotaj parti dan calon pada PRU15.

Tidaklah mengejutkan apabila Khairy Jamaluddin (KJ) dipecat kerana KJ telahpun ditunjuk jalan keluar apabila diletakkan di Parlimen Sungai Buloh pada PRU15 yang lalu. Ditambah lagi dengan pelbagai ucapan dan kenyataan KJ yang mengkritik Presiden UMNO sepanjang kempen PRU15.

Namun, tiba-tiba nama Tan Sri Noh Omar juga dipecat setelah beliau mencabar Presiden UMNO supaya memecat keahliannya terus daripada parti, berbanding keputusan MKT untuk menggantung keahliannya selama enam tahun.

Dato' Seri Hishammuddin pula telah digelar sebagai 'pengkhianat' kerana memberikan SD kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk diangkat semula sebagai Perdana Menteri selepas PRU15 dan tindakan menggantungkan keahlian beliau dilihat lebih ringan berbanding jika dipecat dari UMNO.

Begitu juga dengan nasib Datuk Seri Hasni yang digugurkan daripada jawatannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor. Selain dari terlibat sama dalam menyokong dengan SD terhadap Tan Sri Muhyiddin, Hasni juga menggesa supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden UMNO dipertandingkan.

Hasrat UMNO Johor telah dikemukakan dalam PAU baru-baru ini apabila perwakilan UMNO Johor, Datuk Pandak Ahmad yang menggambarkan bahawa jika hujah mahukan kestabilan parti menjadi alasan, sepatutnya jawatan lain juga disaran agar tidak dipertandingkan termasuk usul tambahan untuk tidak mempertandingkan jawatan-jawatan parti di bahagian-bahagian dan cawangan.

Keputusan menggantungkan Hishammuddin adalah satu tindakan yang dilihat akan memberikan kesan kepada UMNO khususnya di Johor. Beliau adalah seorang ikon yang cukup disegani oleh kawan dan lawan khususnya di Johor.

Walaupun hanya berjawatan sebagai Ketua UMNO Bahagian Semberong (sebelum digantung keahlian) namun pengaruhnya cukup besar. Beliau adalah Ahli Parlimen Semberong sejak persempadanan semula tahun 2003 sehingga kini. (2004, 2008, 2013, 2018 dan 2022).

Hishammuddin adalah Ikon UMNO Johor yang disisihkan. Berbanding dengan KJ walaupun kedua-duanya adalah mantan Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Hishammuddin cukup berpengaruh di Johor. Malah pengaruh Hishammuddin cukup meluas kerana pernah dipilih sebagai Naib Presiden UMNO sebelum ini.

Bukan semua ahli UMNO dapat menerima perlebelan beliau sebagai Pengkhianat Parti kerana jasanya kepada UMNO cukup tinggi.

Dato' Seri Hishamuddin perlu tentukan hala tujunya selepas ini.

Khairul Faizi bin Ahmad kamil
Kluang, Johor
28 Januari 2023

Ulasan