Keputusan MKT UMNO gantung, pecat ahli disifatkan diktator




JOHOR BAHRU - Ahli Jawatankuasa MIC Johor, S Deva menyifatkan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menggantung dan memecat beberapa bekas pemimpin serta ahli parti itu sebagai kepimpinan diktator dan bukan bernaratif kepentingan parti.
Beliau berkata, tindakan itu adalah salah malah bukan sahaja mendukacitakan ahli UMNO tetapi juga ahli parti komponen BN secara keseluruhan.

"Tindakan MKT yang bacul dan hanya membiarkan sahaja Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merencana nafsu kuasa politik boleh dianggap pengkhianatan terbesar dalam sejarah BN.

"Sepatutnya selepas kekalahan teruk pada PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang lalu, kepimpinan BN terbabit dengan rela hati perlu muhasabah diri dan berjiwa besar untuk meletak jawatan.

"Lakukan seperti Datuk Seri Najib Tun Razak yang berundur pada 12 Mei 2018 selepas Putrajaya berjaya dirampas Pakatan Harapan (PH) pada PRU14. Ini baharu dikatakan 'gentleman' dan anak jantan namanya," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

MKT UMNO pada Jumaat menggantung selama enam tahun keahlian bekas Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, bekas Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan, Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Datuk Maulizan Bujang dan bekas Ahli Parlimen Jempol, Datuk Seri Salim Sharif.

Selain itu, MKT UMNO turut memecat bekas Pengerusi UMNO Selangor, Tan Sri Noh Omar dan bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

MKT UMNO juga menggugurkan Datuk Seri Hasni Mohamad sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor dan menggantikan beliau dengan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Mengulas lanjut, Deva berkata, sudah jelas terdapat beberapa pemimpin dalam UMNO menjadi liabiliti kerana dihimpit pelbagai isu integriti yang lebih dikenali sebagai kluster mahkamah dan disebabkan faktor itu rakyat menolak parti berkenaan pada PRU15.
"Justeru saya mengesa ahli-ahli MIC jangan hanya berpeluk tubuh dan buta mata. Jangan biarkan mereka yang kerakusan kuasa ini terus bermaharajarela dan menggorak langkah-langkah yang akan menghancurkan BN.

"Ayuh beranikan diri dan bersedia untuk dengar suara hati akar umbi atau MIC juga akan terus ditolak secara bulat-bulat dan dianggap tidak relevan oleh masyarakat India, ini kerana gelagat jembalang 'yes man' yang saban hari berkeliaran di peringkat pentabdiran MIC Pusat dan negeri sekali gus mengundang kebencian dalam kalangan orang ramai," ujarnya.

Beliau berkata, ahli MIC sekiranya masih percayakan perjuangan BN wajar bangkit dan terus bersuara serta tidak perlu takut kepada kepemimpinan diktator.

"Ingatlah BN ditubuhkan atas keringat atau titik peluh rakyat. Kita adalah parti akar umbi dan bukannya parti yang dimiliki seseorang individu seperti Ahmad Zahid Hamidi dan konco-konconya sahaja," tambahnya.


https://www.sinarharian.com.my/article/242759/berita/politik/keputusan-mkt-umno-gantung-pecat-ahli-disifatkan-diktator

Ulasan